Harapan Sejati bagi Masa Depan
Adakah anda berasa bahawa keadaan akan bertambah baik? Ramai orang cuba mengekalkan pandangan positif biarpun menghadapi cabaran yang berat. Namun, dapatkah kita berharap bahawa keadaan akan bertambah baik? Ya! Bible memberi kita harapan sejati bagi masa depan.
Apakah harapan yang dijanjikan Bible?
Bible mengatakan bahawa manusia menghadapi banyak cabaran. Namun, Bible berjanji bahawa cabaran yang kita hadapi tidak akan berterusan. Perhatikan beberapa contoh spesifik yang berikut.
Cabaran: Tiada rumah
Bible berkata, “Orang akan membina rumah dan mendiaminya.”—Yesaya 65:21.
Maksudnya: Orang akan mempunyai rumah sendiri.
Cabaran: Kemiskinan dan tiada kerja
Bible berkata, “Umat pilihan-Ku akan menikmati hasil kerja mereka dengan sepuas-puasnya.”—Yesaya 65:22.
Maksudnya: Semua orang akan menikmati kerja yang memuaskan.
Cabaran: Ketidakadilan
Bible berkata, “Para pemimpin akan memerintah dengan saksama.”—Yesaya 32:1.
Maksudnya: Orang tidak akan dilayan berdasarkan kaum, kedudukan sosial, atau keadaan ekonomi. Semua orang akan dilayan dengan adil.
Cabaran: Masalah kelaparan dan kekurangan zat
Bible berkata, “Bumi akan melimpah dengan biji-bijian, dan puncak gunung akan mengeluarkan hasil yang lumayan.”—Mazmur 72:16.
Maksudnya: Semua orang akan mendapat makanan berkhasiat yang berlimpah-limpah. Tiada seorang pun yang akan mengalami kelaparan atau masalah kekurangan zat.
Cabaran: Jenayah dan keganasan
Bible berkata, “Setiap orang akan duduk di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing. Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.”—Mikha 4:4.
Maksudnya: Semua orang akan berasa aman dan selamat kerana tiada lagi orang jahat dan “orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi.”—Mazmur 37:10, 29.
Cabaran: Perang
Bible berkata, “Satu bangsa tidak akan mengangkat pedang untuk melawan bangsa yang lain, dan mereka tidak akan belajar berperang lagi.”—Yesaya 2:4.
Maksudnya: Seluruh bumi akan damai. (Mazmur 72:7) Tiada lagi orang yang meratapi kematian orang tersayang akibat peperangan dan tiada lagi orang yang menjadi pelarian.
Cabaran: Wabak dan penyakit
Bible berkata, “Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’”—Yesaya 33:24.
Maksudnya: Orang tidak akan menderita lagi akibat kecacatan atau jatuh sakit. (Yesaya 35:5, 6) Bible juga berjanji bahawa “kematian tidak akan ada lagi.”—Wahyu 21:4.
Cabaran: Kerosakan alam semula jadi
Bible berkata, “Padang belantara dan tanah yang gersang akan bersukacita. Padang gurun akan bergembira dan dipenuhi bunga-bunga.”—Yesaya 35:1.
Maksudnya: Seluruh bumi akan menjadi firdaus untuk didiami manusia, seperti tujuan asal Tuhan bagi bumi dan manusia.—Kejadian 2:15; Yesaya 45:18.
Adakah realistik untuk percaya janji Bible?
Mungkin anda rasa tidak. Namun, kami menggalakkan anda untuk mengkaji dengan lebih lanjut lagi janji Bible tentang masa depan. Hal ini kerana janji Bible berasal daripada Tuhan dan berbeza daripada janji dan ramalan manusia. Mengapa?
Tuhan dapat dipercayai. Bible mengatakan bahawa Tuhan “tidak dapat berdusta.” (Titus 1:2) Tambahan lagi, hanya Tuhan yang tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. (Yesaya 46:10) Bible mengandungi banyak contoh yang membuktikan bahawa kata-kata Tuhan sentiasa menjadi kenyataan. Untuk maklumat lanjut, sila tonton video Mengapakah Kita Yakin bahawa Kandungan Bible Memang Benar?
Tuhan mampu menyelesaikan masalah kita. Bible berkata bahawa Tuhan berkuasa untuk “melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.” (Mazmur 135:5, 6) Tiada apa-apa yang dapat menghalang Tuhan daripada menunaikan janji-janji-Nya. Lagipun, Tuhan ingin sekali membantu kita kerana Dia mengasihi kita.—Yohanes 3:16.
Mungkin anda tertanya-tanya, “Jika Tuhan ingin membantu kita dan Dia berkuasa untuk berbuat demikian, mengapakah kita masih menderita?” Untuk menjawab soalan itu, sila tonton video Mengapakah Tuhan Membenarkan Penderitaan?
Bagaimanakah janji Bible akan menjadi kenyataan?
Tuhan akan menggunakan Kerajaan-Nya di syurga untuk melaksanakan semua janji-Nya. Dia telah melantik Yesus Kristus sebagai Pemerintah Kerajaan itu dan memberinya kuasa untuk menjaga bumi dan orang yang tinggal di sana. Semasa Yesus di bumi, dia menyembuhkan orang sakit, memberikan makanan kepada orang yang lapar, mengawal cuaca, dan juga membangkitkan orang mati. (Markus 4:39; 6:41-44; Lukas 4:40; Yohanes 11:43, 44) Dengan itu, dia menunjukkan apa yang akan dilakukannya sebagai Raja Kerajaan Tuhan.
Untuk mengetahui bagaimana Kerajaan Tuhan akan membawa manfaat bagi anda, sila tonton video Apa itu Kerajaan Tuhan?
Bilakah janji Bible akan menjadi kenyataan?
Tidak lama lagi! Bagaimanakah kita dapat pasti? Bible menubuatkan peristiwa yang menandakan bahawa Kerajaan Tuhan bakal memerintah bumi. (Lukas 21:10, 11) Kita dapat melihat bahawa peristiwa-peristiwa yang dinubuatkan Bible sedang berlaku pada zaman kita.
Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Bilakah Kerajaan Tuhan Akan Memerintah Bumi?”
Bagaimanakah janji Bible membawa manfaat bagi anda sekarang?
Seorang penulis Bible menyamakan janji Bible dengan “sauh bagi jiwa kita.” (Ibrani 6:19) Sepertimana sauh dapat menstabilkan kapal semasa ribut, janji Bible untuk masa depan dapat membantu kita bertabah semasa menghadapi masalah sekarang. Harapan membantu kita mengekalkan kestabilan emosi dan mental serta melindungi kita secara jasmani.—1 Tesalonika 5:8.