Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pawel Gluza/500Px Plus/Getty Images

TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Jumlah Hidupan Liar Berkurangan 73 Peratus dalam 50 Tahun—Apakah yang Bible Katakan?

Jumlah Hidupan Liar Berkurangan 73 Peratus dalam 50 Tahun—Apakah yang Bible Katakan?

 Pada 9 Oktober 2024, Tabung Hidupan Liar Sedunia telah mengeluarkan laporan yang membimbangkan mengenai kesan kegiatan manusia terhadap hidupan liar. Menurut laporan itu, “jumlah hidupan liar yang dipantau dalam 50 tahun yang lalu (1970-2020) telah berkurangan sebanyak 73%.” Selain itu, laporan tersebut menyatakan bahawa “apa yang berlaku dalam lima tahun seterusnya akan menentukan masa depan hidupan di bumi.”

 Ramai orang berasa terkejut selepas mendengar laporan ini. Sememangnya, kita semua mengasihi bumi yang indah ini dan tidak suka melihat hidupan liar menderita. Kita ada perasaan itu kerana Tuhan ingin kita menjaga binatang dengan baik.—Kejadian 1:27, 28; Amsal 12:10.

 Anda mungkin terfikir, “Dapatkah manusia melindungi hidupan liar di bumi ini? Apakah yang Bible katakan?”

Harapan masa depan yang baik

 Meskipun manusia telah berusaha sedaya upaya, hanya Tuhan yang benar-benar dapat menyelamatkan hidupan liar. Bible kata di Wahyu 11:18 bahawa Tuhan akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.” Daripada ayat ini, kita belajar dua perkara berikut:

  1.  1. Tuhan tidak akan membenarkan manusia untuk merosakkan bumi ini dengan sepenuhnya.

  2.  2. Tuhan akan bertindak tidak lama lagi. Mengapakah kita boleh berkata demikian? Kerana terdapat semakin banyak kegiatan manusia sekarang yang mengancam dan mungkin melenyapkan hidupan liar.

 Apakah yang Tuhan akan lakukan untuk menyelesaikan masalah ini? Tuhan akan menggunakan Kerajaan-Nya di syurga untuk memerintah seluruh bumi. (Matius 6:10) Kerajaan Tuhan akan memberi latihan dan pendidikan kepada manusia untuk menjaga dan melindungi hidupan liar.—Yesaya 11:9.