Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Hidup Kita Akan Kembali Normal? Dapatkah Bible Bantu Kita Menangani Kehidupan selepas Pandemik?

Adakah Hidup Kita Akan Kembali Normal? Dapatkah Bible Bantu Kita Menangani Kehidupan selepas Pandemik?

 “Kita cuma mahu hidup yang normal.”—Angela Merkel, canselor Jerman.

 Anda pasti setuju dengan kata-katanya setelah melihat kesan pandemik COVID-19 di serata dunia. Tapi, apakah kehidupan “normal” yang dimaksudkan dan diingini orang?

  •   Kembali ke gaya hidup lama. Orang mahukan kebebasan untuk bergaul, berjabat tangan, berpeluk, dan melancong. Bagi mereka, hidup yang “normal” bermaksud mereka bebas “pergi restoran, pawagam, [dan] sebagainya,” kata Dr. Anthony Fauci. a

  •   Hidup yang lebih baik. Sesetengah orang rasa bahawa inilah peluang untuk wujudkan “normal baharu,” iaitu kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. Mereka mahu masalah seperti beban kerja yang terlalu berat, ketidakadilan sosial, dan masalah kesihatan mental ditangani. “Pandemik ini,” kata Klaus Schwab, pengasas Forum Ekonomi Dunia, “memberi kita masa dan peluang untuk fikir tentang keadaan dunia sekarang, membayangkan masa depan yang diinginkan, serta tindakan yang perlu diambil untuk mengubah dunia.”

 Orang lain pula patah semangat dan rasa bahawa hidup yang “normal” tidak mungkin kembali kerana mereka telah kehilangan kerja, rumah, kesihatan, atau bahkan orang tersayang.

 Sudah tentu, tiada orang dapat ramalkan dengan tepat bagaimana keadaan dunia selepas COVID-19. (Pengkhutbah 9:11) Namun, Bible dapat membantu kita ada pandangan yang realistik dan menghadapi hal-hal yang bakal berlaku. Tambahan lagi, Bible memberitahu kita tentang masa depan indah yang di luar bayangan orang.

Pupuk pandangan yang betul terhadap pandemik COVID-19

 Sejak dulu lagi, Bible sudah kata bahawa penyakit berjangkit atau “wabak” akan berlaku pada “penghujung sistem ini.” (Lukas 21:11; Matius 24:3) Jadi kita sedar bahawa pandemik COVID-19 ialah salah satu daripada peristiwa-peristiwa, seperti perang, gempa bumi, dan kebuluran, yang sudah dinubuatkan dalam Bible.

 Bagaimana maklumat ini bantu kita: Walaupun keadaan pandemik mungkin menjadi semakin baik, kita akan berpandangan realistik kerana Bible sudah memberi kita amaran bahawa kita sedang hidup pada “masa genting yang sukar dihadapi.”—2 Timotius 3:1.

 Tapi, Bible juga menunjukkan bahawa kita sedang memasuki fasa seterusnya. Apakah yang dimaksudkan?

Masa depan yang tidak dijangkakan

 Bible bukan hanya sebut tentang masalah yang kita hadapi tetapi juga masa depan cerah yang bakal tiba. Bible menggambarkan masa depan yang tidak mungkin dicapai oleh kerajaan manusia. Perubahan ini hanya dapat dibawa oleh Tuhan. Bible kata, “Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”—Wahyu 21:4.

 Tuhan Yehuwa b berjanji, “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.” (Wahyu 21:5) Dia akan menyelesaikan semua masalah di dunia, termasuk pandemik ini dan akibat buruk yang dibawanya. Inilah berkat-berkat yang bakal dinikmati:

  •   Kesihatan fizikal dan mental yang sempurna. Tiada lagi penyakit dan kematian.—Yesaya 25:8; 33:24.

  •   Kerja yang benar-benar memuaskan. Tiada orang akan mengalami tekanan kerja atau gejala burnout.Yesaya 65:22, 23.

  •   Semua orang hidup makmur. Tiada lagi kemiskinan dan kelaparan.—Mazmur 72:12, 13; 145:16.

  •   Pulih daripada trauma emosi. Orang tersayang yang sudah meninggal dapat hidup semula.—Yesaya 65:17; Kisah 24:15.

 Bagaimana maklumat ini bantu kita: Bible kata, “Harapan kita yang teguh dan pasti bagaikan sauh bagi kehidupan kita.” (Ibrani 6:19, nota kaki) Harapan ini dapat membantu kita tetap tenang meskipun menghadapi masalah. Emosi kita akan lebih stabil dan kita tidak akan terlalu risau.

 Tapi bolehkah janji-janji ini dipercayai? Bacalah rencana “Bible—Sumber Kebenaran yang Dapat Dipercayai.”

Prinsip Bible untuk membantu kita menangani peralihan ke kehidupan selepas pandemik

  •   Hargai nyawa

     Ayat Bible: “Kebijaksanaan memelihara hidup orang yang memilikinya.”—Pengkhutbah 7:12.

     Apa anda boleh buat: Buatlah keputusan yang bijak untuk mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19. Nilai tahap risiko di kawasan anda. Patuhi SOP serta ketahui kadar jangkitan dan peratus penduduk yang mendapat vaksinasi penuh.

  •   Terus berhati-hati

     Ayat Bible: “Orang bijak berwaspada dan berpaling daripada kejahatan, tetapi orang bodoh bersikap cuai dan terlalu yakin.”—Amsal 14:16.

     Apa anda boleh buat: Ambillah langkah pencegahan dan jaga kesihatan anda. Pakar menjangka bahawa virus ini akan kekal untuk tempoh masa yang lama.

  •   Cari maklumat yang dapat dipercayai

     Ayat Bible: “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—Amsal 14:15.

     Apa anda boleh buat: Jangan percaya semua nasihat yang disebarkan. Jika keputusan anda dibuat berdasarkan berita yang palsu, kesihatan anda mungkin terjejas.

  •   Tetap positif

     Ayat Bible: “Janganlah bertanya, ‘Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?’ kerana orang yang menanyakan soalan itu tidak mempunyai kebijaksanaan.”—Pengkhutbah 7:10.

     Apa anda boleh buat: Fokus kepada apa yang dapat anda buat sekarang dan lakukanlah yang terbaik. Janganlah asyik memikirkan kehidupan lama atau hal-hal yang tidak dapat dilakukan disebabkan pandemik.

  •   Hormati orang lain

     Ayat Bible: “Hormatilah segala macam orang.”—1 Petrus 2:17.

     Apa anda boleh buat: Setiap orang ada pandangan yang berbeza terhadap pandemik ini dan kesannya. Hormatilah pandangan mereka, tetapi berpeganglah pada keputusan baik yang telah anda buat. Bertimbang rasalah terhadap orang yang belum divaksin, orang tua, dan mereka yang ada masalah kesihatan yang serius.

  •   Terus bersabar

     Ayat Bible: “Kasih itu sabar dan baik hati.”—1 Korintus 13:4.

     Apa anda boleh buat: Jika seseorang berasa khuatir untuk melakukan hal-hal yang dianggap biasa sebelum pandemik, bersabarlah dan terus bersikap baik kepadanya. Bagi diri anda pula, jika keadaan menjadi lebih bagus, ambillah masa untuk sesuaikan diri dan rancanglah aktiviti anda secara bertahap.

Bagaimana Bible membantu orang menghadapi pandemik

 Saksi-Saksi Yehuwa dilegakan oleh harapan masa depan yang dijanjikan dalam Bible. Maka, ini membantu mereka kekalkan pandangan yang positif dan tidak terlalu fokus pada masa yang mencabar ini. Mereka juga berkumpul bersama untuk beribadat agar dapat menyokong satu sama lain. (Ibrani 10:24, 25) Anda dialu-alukan untuk menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa yang diadakan dalam talian semasa pandemik ini.

 Banyak orang setuju bahawa mereka mendapat manfaat daripada perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Contohnya, seorang wanita yang dijangkiti COVID-19 telah menerima jemputan untuk menghadiri perjumpaan para Saksi secara online. Perjumpaan sebegitu telah membantu dia rasa tenang biarpun kesihatannya terjejas akibat virus itu. Dia kata, “Saya rasa mereka ialah keluarga saya. Hati dan minda saya tenang bila saya baca Bible. Saya dapat bertumpu kepada harapan masa depan dan bukannya masalah saya. Terima kasih banyak! Akhirnya, saya dapat menghampiri Tuhan.”

a Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat.

b Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—Mazmur 83:18.