TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Kemarau Melampau—Apakah yang Bible Katakan?
“China melaporkan gelombang haba ‘tahap tertinggi’ dan mencatatkan rekod musim panas yang ketiga paling teruk.”—The Guardian, 7 September 2022.
“Selama lima tahun berturut-turut, sesetengah negara Afrika dilanda kemarau yang teruk.”—UN News, 26 Ogos 2022.
“Beberapa tahap amaran kemarau diberikan kepada penduduk di dua pertiga kawasan Eropah. Situasi ini dikatakan yang terburuk dalam tempoh 500 tahun.”—BBC News, 23 Ogos 2022.
Ramai pakar meramalkan bahawa isu kemarau akan berterusan dan menjadi semakin parah. Apakah masa depan bumi kita? Apakah yang Bible katakan?
Adakah kemarau mempunyai kaitan dengan nubuat Bible?
Bible kata mengenai zaman kita:
“Kebuluran . . . akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.”—Lukas 21:11.
Biasanya, kemarau menyebabkan masalah kekurangan makanan dan kebuluran. Akibatnya, banyak orang menderita dan mati. Semua ini berlaku seperti yang dinubuatkan Bible.—Wahyu 6:6, 8.
Mengapakah kemarau semakin teruk sekarang?
Bible menjelaskan salah satu puncanya:
“Manusia tidak berkuasa untuk menentukan jalan hidupnya.”—Yeremia 10:23.
Ayat ini bermaksud bahawa manusia tidak dapat “menentukan jalan hidup [mereka],” atau memerintah diri sendiri dengan berjaya. Cara pengurusan yang tidak bijak sering menyebabkan kemarau dan masalah kekurangan air.
Banyak saintis setuju bahawa kegiatan manusia telah menyebabkan pemanasan global. Akibatnya, lebih banyak tempat di serata dunia mengalami kemarau.
Sesetengah pihak membuat keputusan yang hanya mementingkan keuntungan dan bukannya penjagaan alam sekitar. Pemusnahan hutan, pencemaran, dan penyalahgunaan sumber alam telah menjejaskan bekalan air bersih.
Walau bagaimanapun, Bible menjelaskan harapan yang dijanjikan Tuhan.
Apakah masa depan bumi kita?
Bible kata bahawa Tuhan akan menyelesaikan masalah bekalan air di serata dunia. Bagaimanakah Tuhan akan melakukannya?
1. Tuhan akan “membinasakan orang yang merosakkan bumi.” (Wahyu 11:18) Dia akan menyingkirkan salah satu punca masalah bekalan air, iaitu orang yang jahat, tamak, dan yang merosakkan alam sekitar.—2 Timotius 3:1, 2.
2. “Tanah yang panas akan menjadi kolam air.” (Yesaya 35:1, 6, 7) Tuhan akan memulihkan bumi kita yang gersang akibat kemarau dan menjadikannya sebuah taman yang indah dan subur.
3. “Engkau memelihara bumi dan menjadikan tanahnya sungguh baik dan subur.” (Mazmur 65:9) Tuhan akan mencurahkan berkat-Nya, dan bumi akan melimpah dengan makanan yang berkhasiat dan air yang bersih.