TERUSLAH BERJAGA-JAGA!
Mengapakah Manusia Tidak Dapat Mencapai Kedamaian?—Apakah yang Bible Katakan?
Para pemimpin dunia dan organisasi antarabangsa tidak dapat membawa kedamaian sejagat. Sejak Perang Dunia Kedua, terdapat banyak konflik yang berlaku. Namun, masalah ini telah menjadi lebih parah berbanding dulu. Kira-kira dua bilion orang, iaitu satu perempat penduduk dunia, tinggal di kawasan yang terdapat konflik pada hari ini.
Mengapakah manusia tidak dapat mencapai kedamaian sejagat? Apakah yang Bible katakan?
Tiga sebab mengapa manusia tidak dapat mencapai kedamaian
1. Manusia menunjukkan sikap buruk yang menghalang mereka untuk mencapai kedamaian. Bible kata bahawa pada zaman ini, ‘manusia akan mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh, tidak setia, tidak mahu dibawa berbincang, tidak tahu mengawal diri, garang, keras kepala, dan sombong.’—2 Timotius 3:2-4.
2. Tidak kira secara individu atau berkumpulan, manusia tidak ada kemampuan untuk menyelesaikan masalah tanpa bantuan Pencipta mereka, Tuhan Yehuwa. a Bible menjelaskan bahawa “manusia yang sedang berjalan pun tidak dapat mengarahkan langkahnya.”—Yeremia 10:23.
3. Dunia sekarang berada di bawah pengaruh Syaitan Si Iblis, pemerintah yang jahat dan berkuasa. Dia “sedang menyesatkan seluruh dunia.” (Wahyu 12:9) Selagi “seluruh dunia [ini] berada di bawah kuasa Si Jahat,” perang dan konflik tidak akan berakhir.—1 Yohanes 5:19.
Siapakah yang dapat membawa kedamaian sejati?
Bible meyakinkan kita bahawa hanya Tuhan yang dapat membawa kedamaian sejati, dan bukannya manusia.
“‘Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu,’ firman Yehuwa, ‘Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.’”—Yeremia 29:11.
Bagaimanakah Tuhan akan menunaikan janji-Nya? “Tuhan yang memberikan kedamaian akan menghancurkan Syaitan.” (Roma 16:20) Dengan menggunakan “Kerajaan Tuhan,” iaitu sebuah kerajaan di syurga, Dia akan membawa kedamaian ke seluruh bumi. (Lukas 4:43) Di bawah pemerintahan Yesus Kristus, Raja Kerajaan Tuhan, semua manusia akan belajar untuk hidup dengan damai.—Yesaya 9:6, 7.
Untuk belajar lebih lanjut, bacalah rencana “Apakah yang Akan Dilakukan Kerajaan Tuhan?”
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.