Siapakah yang Akan Menyelamatkan Bumi?
Ramai orang risau kerana mereka percaya bahawa tindakan manusia sedang merosakkan bumi dan hidupan di bumi. Menurut sesetengah pakar alam sekitar, tindakan manusia menyebabkan pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan rosak sehingga ada yang hampir pupus. Pada masa ini, kerosakan alam sekitar adalah yang paling teruk dalam sejarah manusia.
Adakah manusia akan memusnahkan bumi? Atau dapatkah mereka hidup dalam cara yang tidak merosakkan alam semula jadi?
Adakah usaha manusia akan berjaya?
Banyak pakar yakin bahawa manusia dapat melindungi bumi dan hidup dalam cara yang tidak merosakkan alam semula jadi. Sesetengah penyelidik berkata bahawa untuk berjaya, manusia mesti melakukan beberapa perubahan pada masa yang sama. Berikut adalah beberapa perubahan tersebut:
Menjaga tanah, hutan, tanah lembap, dan laut dengan lebih baik.
Menggunakan kaedah pertanian dan sumber tenaga lain.
Mengubah sistem penghasilan makanan agar orang makan lebih banyak makanan yang berasaskan tumbuhan dan sedikit daging dan ikan sahaja, dan mengurangkan pengambilan dan pembaziran makanan.
Menyedari bahawa kehidupan yang baik tidak bergantung pada harta benda.
Apakah pendapat anda? Bolehkah kita mengharapkan setiap orang, perniagaan, dan kerajaan untuk bekerjasama membuat perubahan sedemikian? Atau adakah hal ini mustahil memandangkan sesetengah orang bersifat tamak, mementingkan diri, dan tidak berfikiran panjang?—2 Timotius 3:1-5.
Harapan bagi bumi
Bible meyakinkan kita bahawa bumi tidak akan musnah. Bible juga menjelaskan mengapa usaha manusia tidak mencukupi untuk menyelamatkan bumi. Selain itu, Bible memberitahu kita tentang perubahan sebenar yang mesti dibuat dan bagaimana perubahan itu akan berlaku.
Mengapa usaha manusia untuk menyelamatkan bumi tidak mencukupi. Tuhan Yehuwa a menciptakan bumi dan memberi manusia tanggungjawab untuk menjaganya. (Kejadian 1:28; 2:15) Mereka hanya dapat berjaya jika mereka bergantung pada bimbingan Pencipta mereka dan mematuhi arahan-Nya. (Amsal 20:24) Sedihnya, mereka menolak Yehuwa dan memilih untuk mengikut cara sendiri. (Pengkhutbah 7:29) Tanpa bimbingan Yehuwa, manusia tidak mampu menjaga bumi, dan usaha mereka hanya akan membawa hasil yang sedikit.—Amsal 21:30; Yeremia 10:23.
Perubahan yang mesti dibuat. Tuhan akan menghalang manusia daripada terus merosakkan bumi. (Wahyu 11:18) Dia tidak akan memperbaik kerajaan dan masyarakat yang merosakkan bumi. Sebaliknya, Dia akan menggantikan mereka. (Wahyu 21:1) Itulah sebabnya Yehuwa berfirman, “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.”—Wahyu 21:5.
Bagaimana perubahan itu akan berlaku. Yehuwa akan menggantikan kerajaan manusia dengan sebuah kerajaan di syurga, yang dipanggil Kerajaan Tuhan. Di bawah pimpinan Yesus Kristus, kerajaan itu akan memerintah bumi.—Daniel 2:44; Matius 6:10.
Kerajaan Tuhan akan mendidik manusia untuk hidup selaras dengan piawaian Tuhan. Apabila manusia menerima Yehuwa sebagai Pencipta mereka dan mematuhi arahan-Nya, mereka akan dapat memelihara alam semula jadi. (Yesaya 11:9) Bible menjelaskan bagaimana Kerajaan Tuhan akan membolehkan rakyatnya menikmati kehidupan terbaik dalam cara yang tidak merosakkan bumi. Kerajaan itu akan melakukan perkara-perkara berikut:
Menyediakan makanan bagi semua orang.—Mazmur 72:16.
Memulihkan sumber semula jadi.—Yesaya 35:1, 2, 6, 7.
Memastikan agar manusia dan binatang hidup damai.—Yesaya 11:6-8; Hosea 2:18.
Melenyapkan bencana alam.—Markus 4:37-41.
Kerajaan Tuhan akan membuat semua perubahan ini tidak lama lagi. Untuk maklumat lanjut, baca rencana “Bilakah Kerajaan Tuhan Akan Memerintah Bumi?”
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.—Mazmur 83:18.