Apakah Meterai yang Digunakan pada Zaman Kuno?
Meterai adalah alat kecil yang terukir untuk membuat kesan dalam bahan-bahan seperti tanah liat atau lilin. Meterai dihasilkan dalam pelbagai bentuk, seperti kon, segi empat, silinder, dan juga kepala haiwan. Meterai digunakan sebagai bukti pemilikan atau untuk mengesahkan dokumen, dan juga boleh digunakan untuk menutup bungkusan atau bahagian yang terbuka, seperti pintu masuk ke makam.
Meterai mungkin diperbuat daripada pelbagai jenis bahan seperti tulang, batu kapur, logam, batu yang bernilai, atau kayu. Kadang kala, nama pemilik, gelarannya, dan nama bapanya akan diukir pada meterai.
Untuk mengesahkan sebuah dokumen, pemilik meterai akan melekatkan tanah liat, lilin, atau bahan lembut yang lain pada dokumen tersebut, dan kemudian menekankan meterai pada bahan lembut itu untuk menghasilkan kesan. (Ayub 38:14) Bahan lembut akan menjadi keras dan orang lain tidak dapat mengubah dokumen itu tanpa diketahui.
Meterai Digunakan sebagai Tanda Perwakilan Kuasa
Apabila meterai diberikan kepada seseorang, hal itu bermaksud bahawa dia juga menerima kuasa pemilik meterai itu. Perhatikan kisah ini yang melibatkan seorang Firaun di Mesir kuno dan seorang lelaki Ibrani yang bernama Yusuf. Yusuf merupakan anak kepada Yakub, namun dia telah menjadi seorang hamba di Mesir, dan dipenjarakan walaupun dia tidak berbuat salah. Beberapa waktu kemudian, Yusuf dibebaskan dan Firaun melantiknya sebagai perdana menteri. Bible berkata, “Lalu Firaun menanggalkan cincin mohor dari jarinya dan menyarungkannya pada jari Yusuf.” (Kejadian 41:42) Oleh kerana cincin mohor itu mempunyai meterai rasmi, Yusuf sekarang diberi kuasa untuk melakukan tugasnya.
Ratu Izebel dari Israel kuno telah menggunakan cap mohor suaminya untuk merancang pembunuhan seorang lelaki yang bernama Nabot. Izebel menulis beberapa surat atas nama Raja Ahab, dan mengirimkan surat-surat itu kepada para pemimpin kota, supaya mereka menjatuhkan tuduhan palsu bahawa Nabot telah mengutuk Tuhan. Izebel telah memeterai surat-surat itu dengan meterai raja, dan rancangannya yang jahat itu berjaya.—1 Raja-Raja 21:5-14.
Raja Ahasweros dari Persia menggunakan cincin mohor untuk mengesahkan titahnya.—Ester 3:10, 12.
Seorang penulis Bible, Nehemia, mencatatkan bahawa para pemimpin orang Israel, orang Lewi, dan imam-imam mengesahkan sebuah perjanjian dengan meterai mereka.—Nehemia 1:1; 9:38.
Bible pernah menyebut sebanyak dua kali tentang meterai yang digunakan untuk menutup pintu masuk. Apabila nabi Daniel dibuang ke dalam gua singa, “mulut gua itu ditutup dengan sebuah batu.” Kemudian, Raja Darius yang merupakan pemimpin Media dan Persia, telah “memeterai batu itu dengan cincin mohornya dan cincin mohor para bangsawan. Dengan itu, keputusan yang dibuat terhadap Daniel tidak dapat diubah.”—Daniel 6:17.
Apabila mayat Yesus Kristus diletakkan ke dalam makam, para musuhnya “memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung.” (Matius 27:66, Alkitab Versi Borneo) Menurut David L. Turner, seorang pengulas Bible bagi buku Matius, jika meterai itu merupakan cap mohor dari kerajaan Roma, kemungkinan besar tanah liat atau lilin telah digunakan untuk meliputi ruang retak antara batu dan pintu masuk makam.
Ahli kaji purba dan sejarawan sangat berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang meterai kuno, kerana mereka dapat belajar banyak tentang hal-hal yang telah berlaku pada zaman dahulu. Sebenarnya, kajian meterai, yang dikenali sebagai sigillografi, kini merupakan salah satu bidang pengajian yang penting.