Dua Penterjemah yang Mengembalikan Nama Tuhan Ke Dalam Perjanjian Baharu
Doa Bapa Kami ialah salah satu doa yang dihafal oleh ramai orang Kristian. Doa ini sebenarnya diajarkan oleh Yesus kepada pengikutnya, dan dapat dijumpai dalam bahagian Bible yang biasanya dipanggil Perjanjian Baharu. Doa itu berbunyi, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan [atau dikuduskan].” (Matius 6:9) Menurut doa ini, Tuhan mempunyai nama. Dalam bahasa Inggeris, nama Tuhan sering diterjemahkan sebagai “Jehovah” atau “Yahweh.” a Tapi nama ini jarang dijumpai dalam terjemahan-terjemahan Perjanjian Baharu dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya, nama tuhan-tuhan palsu seperti Zeus, Hermes, dan Artemis dapat dijumpai. Jadi, bukankah nama Tuhan yang benar dan Pengarang Bible seharusnya digunakan juga?—Kisah 14:12; 19:35; 2 Timotius 3:16.
Dua orang penterjemah Bible bahasa Inggeris yang bernama Lancelot Shadwell dan Frederick Parker percaya bahawa nama Tuhan patut dikembalikan ke dalam Perjanjian Baharu. Mengapa? Kerana mereka berpendapat bahawa nama Tuhan sepatutnya ada di sana, tetapi telah dikeluarkan pada kemudian hari. Bagaimanakah mereka mencapai kesimpulan itu?
Shadwell dan Parker tahu bahawa nama peribadi Tuhan telah muncul ribuan kali dalam manuskrip Perjanjian Lama (sebahagian besarnya ditulis dalam bahasa Ibrani). Jadi mereka hairan mengapa manuskrip Perjanjian Baharu tiada nama Tuhan atau hanya mengandunginya dalam bentuk singkatan. b Selain itu, Shadwell mendapati bahawa apabila manuskrip Perjanjian Baharu memetik ungkapan daripada Perjanjian Lama, misalnya “the angel of Jehovah” (“malaikat Yehuwa”), para penyalin Perjanjian Baharu dalam bahasa Yunani telah menggantikan nama Tuhan dengan gelaran seperti Kyʹri·os, yang bermaksud “Tuan.”—2 Raja-Raja 1:3, 15; Kisah 12:23.
Sebenarnya, sebelum Shadwell dan Parker menerbitkan terjemahan mereka, terdapat juga penterjemah lain yang mengembalikan nama Tuhan di beberapa ayat Bible dalam Perjanjian Baharu bahasa Inggeris. c Pada tahun 1863, Parker menerbitkan A Literal Translation of the New Testament. Berbanding terjemahan-terjemahan bahasa Inggeris yang lain pada masa itu, hanya terjemahan Parker mengembalikan nama Tuhan di banyak tempat. Siapakah Lancelot Shadwell dan Frederick Parker?
Lancelot Shadwell
Lancelot Shadwell (1808-1861) ialah anak kepada Tuan Lancelot Shadwell, seorang timbalan canselor dalam kerajaan England. Dia merupakan seorang peguam dan anggota Gereja England (Church of England). Walaupun dia mempercayai ajaran Tritunggal, dia sangat menghormati nama Tuhan dan menyebutnya sebagai “nama YEHUWA yang agung.” Dalam terjemahannya bagi buku Matius dan Markus (The Gospels of Matthew, and of Mark), dia menggunakan nama “Yehuwa” sebanyak 28 kali dalam teks utama dan 465 kali dalam catatan sampingan.
Barangkali, Shadwell telah belajar tentang nama Tuhan daripada Perjanjian Lama dalam bahasa asal, iaitu bahasa Ibrani. Oleh sebab itu, dia kata bahawa mereka yang menggantikan nama Tuhan dengan istilah Kyʹri·os semasa menterjemahkan Perjanjian Lama ke dalam bahasa Yunani “merupakan penterjemah yang tidak jujur.”
Dalam terjemahannya, Shadwell menggunakan nama “Yehuwa” buat kali pertama di Matius 1:20. Catatan sampingan untuk ayat itu menyatakan, “Perkataan [Kyʹri·os] dalam ayat ini dan ayat-ayat lain dalam Perjanjian Baharu merujuk kepada YEHUWA, iaitu nama Tuhan. Adalah mustahak untuk mengembalikan nama ini ke dalam terjemahan bahasa Inggeris.” Dia juga kata, “Kita mesti melakukan hal ini untuk memuliakan Tuhan. YEHUWA sendiri telah memberikan nama itu kepada diri-Nya. Maka, kita mesti menggunakan nama itu.” Dia juga menambah mengenai Bible King James Version (juga dikenali sebagai Authorized English Version), “Nama YEHUWA jarang digunakan . . . Sebaliknya, gelaran Tuan digunakan untuk menggantikan nama Tuhan.” Shadwell mengatakan bahawa gelaran “Tuan” tidak sesuai untuk menggantikan nama Tuhan kerana bahkan dia pun dipanggil “Tuan” di kediamannya sendiri.
“YEHUWA sendiri telah memberikan nama itu kepada diri-Nya. Maka, kita mesti menggunakan nama itu.”—Lancelot Shadwell
Shadwell menerbitkan terjemahan buku Matius pada 1859, dan gabungan buku Matius dan Markus pada 1861. Namun, kerjanya tidak dapat diteruskan kerana dia meninggal pada 11 Januari 1861, ketika berumur 52 tahun. Walaupun demikian, usahanya tidak sia-sia.
Frederick Parker
Terjemahan buku Matius yang diterbitkan oleh Shadwell telah menarik perhatian seorang ahli niaga yang kaya di London, iaitu Frederick Parker (1804-1888). Semasa berumur kira-kira 20 tahun, dia mula menterjemahkan Perjanjian Baharu. Tidak seperti Shadwell, dia menolak ajaran Tritunggal. Dia menulis bahawa semua orang Kristian harus “menerima kebenaran dengan hati yang terbuka . . . dan menyembah Yehuwa, satu-satunya Tuhan Yang Maha Kuasa.” Bagi Parker, penggunaan Kyʹri·os dalam manuskrip Perjanjian Baharu untuk merujuk kepada Tuan Tuhan dan Tuan Yesus sebenarnya sangat mengelirukan. Hal ini kerana para pembaca tidak dapat membezakan identiti dan kedudukan mereka. Jadi dia sangat berminat terhadap terjemahan Shadwell yang menggunakan nama “Yehuwa” bagi istilah Kyʹri·os di sesetengah ayat Bible.
Mengapakah Parker mempunyai pandangan sebegitu? Kerana dia pernah mempelajari bahasa Yunani dan menulis beberapa buah buku dan bahan rujukan tentang tatabahasa Yunani. Dia juga menjadi ahli sebuah institut (Anglo-Biblical Institute) yang menggalakkan penyelidikan manuskrip Bible dengan tujuan untuk menghasilkan terjemahan Bible bahasa Inggeris yang lebih baik. Pada 1842, Parker mula menerbitkan terjemahan pertamanya bagi Perjanjian Baharu dalam beberapa bahagian dan edisi. d
Usaha Parker untuk Mengembalikan Nama Tuhan ke Tempat Asalnya
Selama beberapa tahun, Parker telah mengemukakan soalan-soalan seperti: “Bagaimanakah kita tahu sama ada perkataan Kyʹri·os merujuk kepada Tuan Yesus atau Tuan Tuhan? Mengapakah Kyʹri·os sering digunakan sebagai suatu nama dan bukannya gelaran?”
Kemudian, Parker membaca terjemahan buku Matius tahun 1859 yang diterbitkan oleh Shadwell. Semasa melihat catatan sampingan tentang perkataan Kyʹri·os, dia yakin bahawa perkataan Kyʹri·os “sepatutnya diterjemahkan sebagai Jehovah” di beberapa ayat Bible. Jadi, dia mengemaskinikan seluruh Perjanjian Baharu yang diterjemahkannya, dan mengembalikan nama “Yehuwa” ke tempat yang sesuai mengikut konteks atau tatabahasa Yunani. Hasilnya, buku A Literal Translation of the New Testament edisi 1863 oleh Parker mengandungi nama Tuhan sebanyak 187 kali dalam teks utama. Nampaknya, inilah Kitab Yunani Kristian versi Inggeris pertama yang menggunakan nama Tuhan secara menyeluruh. e
Pada 1864, Parker menerbitkan A Collation of an English Version of the New Testament . . . With the Authorized English Version. Dia menggabungkan dua versi Perjanjian Baharu dalam satu buku untuk menonjolkan perbezaan antara terjemahannya dengan terjemahan Authorized English Version. f
Dengan menggunakan Bible Authorized Version, Parker menunjukkan pentingnya untuk mengembalikan nama Tuhan ke tempat asalnya. Dia menggunakan beberapa ayat Bible sebagai contoh, termasuk Roma 10:13 yang mengatakan, “Hal ini demikian kerana semua orang yang menyeru nama Tuan akan diselamatkan.” Kemudian dia tanya, “Daripada Authorized English Version, adakah sesiapa akan tahu bahawa ayat ini merujuk kepada Jehovah dan bukan Anak-Nya”?
Parker menggunakan banyak duit untuk menerbitkan dan mengiklankan bahan bacaannya. Contohnya, dalam hanya satu tahun, dia menggunakan 800 paun dan jumlah itu bersamaan dengan lebih daripada 100,000 paun British (132,000 dolar Amerika) hari ini. Selain itu, dia memberikan bahan bacaannya secara percuma kepada kawan-kawan dan pemimpin gereja.
Perjanjian Baharu yang diterjemahkan oleh Parker dan bahan bacaan yang diterbitkannya mempunyai jumlah cetakan yang terhad. Sedihnya, sesetengah cendekiawan telah memandang rendah hasil kerjanya. Pandangan sedemikian menunjukkan bahawa mereka tidak menghargai usaha yang dicurahkan oleh Parker, Shadwell, dan orang lain untuk mengembalikan nama Tuhan ke dalam Perjanjian Baharu bahasa Inggeris.
Anda boleh menonton video berikut untuk maklumat lanjut: Lawatan ke Muzium Warwick: “Bible dan Nama Tuhan.”
a Dalam bahasa Melayu, nama “Jehovah” diterjemahkan sebagai “Yehuwa” ataupun “Yahweh.”
b Singkatan bagi nama “Yehuwa,” iaitu “Yah,” terdapat di Wahyu 19:1, 3, 4, 6, dalam ungkapan “Halleluyah” yang bermaksud “Pujilah Yah!”
c Shadwell tidak menterjemahkan seluruh Perjanjian Baharu. Terdapat penterjemah yang lain, iaitu Philip Doddridge, Edward Harwood, William Newcome, Edgar Taylor, dan Gilbert Wakefield.
d Parker menggunakan nama pena, iaitu Herman Heinfetter, untuk kerja terjemahan Bible dan penerbitan bahan bacaan agama supaya tidak bercampur aduk dengan hal-hal perniagaannya. Nama tersebut muncul beberapa kali di bahagian lampiran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.
e Pada 1864, Parker menerbitkan An English Version of the New Testament yang mengandungi nama Tuhan sebanyak 186 kali.
f Sebelum adanya terjemahan Parker, banyak Perjanjian Baharu terjemahan bahasa Ibrani juga mengandungi nama Tuhan di beberapa ayat. Selain itu, pada 1795, Johann Jakob Stolz menerbitkan terjemahan bahasa Jerman. Terjemahan itu mengandungi nama Tuhan lebih daripada 90 kali dalam buku Matius hingga Yudas.