Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Manuel Reino Berengui/DeFodi Images via Getty Images

TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Dapatkah Piala Dunia Benar-Benar Menyatukan Orang?—Apakah yang Bible Katakan?

Dapatkah Piala Dunia Benar-Benar Menyatukan Orang?—Apakah yang Bible Katakan?

 Menurut suatu anggaran, sekitar lima bilion orang akan menonton Piala Dunia FIFA yang berlangsung dari 20 November hingga 18 Disember 2022. Ramai orang rasa bahawa acara seperti ini bukan sekadar dapat menyatukan para penonton, tetapi bahkan dapat mencapai perpaduan dunia.

  •   “Sukan mempunyai kuasa untuk mengubah dunia, mencetus inspirasi, dan menyatukan rakyat dalam cara yang sangat istimewa.”—Nelson Mandela, bekas presiden Afrika Selatan.

  •   “Bola sepak . . . menyatukan kita kerana [sukan ini] membangkitkan harapan, semangat, kasih, dan kegembiraan serta mengingatkan kita tentang persamaan yang kita miliki.”—Gianni Infantino, presiden FIFA. a

 Dapatkah Piala Dunia atau mana-mana acara sukan membawa perpaduan sedunia? Adakah impian kita untuk menikmati perpaduan dan kedamaian akan tercapai?

Perpaduan atau perpecahan?

 Hakikatnya, Piala Dunia tahun ini telah mencetus banyak perdebatan berkenaan isu sosial dan politik. Antara topik hangat yang dibincangkan termasuk isu hak asasi manusia, isu perkauman, dan ketidakseimbangan dari segi ekonomi.

 Namun, acara sukan seperti Piala Dunia tetap dinikmati ramai. Meskipun ramai berhasrat untuk mencapai perpaduan melalui acara sedemikian, hasil baik yang diraih hanyalah sementara. Apa yang lebih ketara ialah sikap dan perbuatan orang yang membawa perpecahan. Seperti yang Bible katakan, inilah sikap orang pada zaman yang digelar sebagai “hari-hari terakhir.”—2 Timotius 3:1-5.

Harapan sejati yang akan membawa perpaduan dunia

 Bible menjanjikan harapan sejati yang akan membawa perpaduan di serata dunia. Bible menyatakan bahawa semua manusia di bumi akan bersatu padu di bawah pemerintahan sebuah kerajaan di syurga, iaitu “Kerajaan Tuhan.”—Lukas 4:43; Matius 6:10.

 Yesus Kristus, iaitu Raja Kerajaan Tuhan, akan memastikan seluruh bumi kita aman damai. Bible kata:

  •   “Orang yang baik akan hidup makmur dan menikmati kedamaian yang melimpah.”—Mazmur 72:7.

  •   ‘Dia akan menyelamatkan orang miskin yang berseru meminta tolong. Dia akan menyelamatkan mereka daripada keganasan dan penindasan.’—Mazmur 72:12, 14.

 Sehingga hari ini, ajaran Yesus telah menyatukan jutaan orang dari 239 negara dan kawasan. Mereka telah belajar untuk menyingkirkan kebencian dari akar umbinya. Untuk tahu lebih lanjut, bacalah siri rencana yang bertajuk “Memutuskan Kitaran Kebencian.”

a Fédération Internationale de Football Association ialah badan pentadbiran bagi bola sepak antarabangsa.