Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

mustafahacalaki/DigitalVision Vectors via Getty Images

TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Teknologi Kecerdasan Buatan Bawa Kebaikan atau Keburukan?—Apakah yang Bible Katakan?

Teknologi Kecerdasan Buatan Bawa Kebaikan atau Keburukan?—Apakah yang Bible Katakan?

 Baru-baru ini, pemimpin dunia, para saintis, dan pakar bidang teknologi telah membahas berkenaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Mereka setuju bahawa teknologi AI memang membawa kebaikan, tetapi mereka juga khuatir bahawa teknologi ini akan disalahgunakan.

  •   “Teknologi AI sangat berkuasa dan dapat meningkatkan mutu kehidupan orang . . . Pada masa yang sama, teknologi AI juga boleh menggugat keselamatan, privasi, dan hak sivil rakyat, serta melemahkan kepercayaan mereka terhadap pemerintahan demokrasi.”—Kamala Harris, naib presiden Amerika Syarikat, 4 Mei 2023.

  •   “Meskipun teknologi AI dapat membawa banyak faedah kepada sektor penjagaan kesihatan, teknologi ini juga mengancam kesejahteraan emosi dan fizikal manusia.”—Artikel dalam BMJ Global Health a oleh sekumpulan doktor dan pakar penjagaan kesihatan yang diketuai Dr. Frederik Federspiel, 9 Mei 2023.

  •   “AI sudah pun digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu. Teknologi ini mungkin akan menghapuskan peluang pekerjaan juga. Sesetengah pakar bidang teknologi bimbang bahawa penggunaan AI akan membahayakan manusia sejagat.”—The New York Times, 1 Mei 2023.

 Sesungguhnya, masa akan membuktikan sama ada teknologi AI merupakan alat yang membawa kebaikan atau keburukan kepada manusia. Apakah yang Bible katakan?

Mengapa usaha baik manusia tidak dapat menjamin keamanan

 Bible menunjukkan mengapa manusia mustahil menjamin teknologi hanya akan digunakan demi kebaikan masyarakat.

  1.  1. Walaupun mereka berniat baik, mereka tidak dapat menjangkakan atau mengelakkan semua kesan buruk yang mungkin berlaku akibat tindakan mereka.

    •   “Ada jalan yang disangka baik oleh seseorang, tetapi akhirnya jalan itu menuju kematian.”—Amsal 14:12.

  2.  2. Selain itu, tiada orang dapat mengawal perbuatan orang lain. Maka, sesetengah orang mungkin sengaja menyalahgunakan teknologi demi kepentingan diri.

    •   “Aku harus meninggalkan semua itu untuk orang yang datang selepas aku mati. Tidak kira sama ada orang itu bijak atau bodoh, akhirnya dia akan mengambil alih semua pekerjaan yang telah aku lakukan di bawah matahari dengan tenagaku dan kebijaksanaanku. Semua itu juga sia-sia.”—Pengkhutbah 2:18, 19.

 Jelaslah, manusia amat memerlukan bimbingan daripada Pencipta kita.

Siapakah yang dapat kita percayai?

 Pencipta kita berjanji bahawa Dia tidak akan membiarkan manusia atau penggunaan teknologi untuk melenyapkan bumi.

  •   “Bumi kekal buat selama-lamanya.”—Pengkhutbah 1:4.

  •   “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”—Mazmur 37:29.

 Dalam Bible, Pencipta kita memberikan bimbingan dan pedoman yang dapat memberi kita masa depan yang aman dan sentosa. Untuk belajar lebih banyak tentang ajaran Bible, bacalah rencana “Apakah yang Dapat Membimbing Kita untuk Memiliki Masa Depan yang Lebih Baik?” dan “Harapan Sejati bagi Masa Depan.”

a Daripada artikel “Threats by Artificial Intelligence to Human Health and Human Existence,” oleh Frederik Federspiel, Ruth Mitchell, Asha Asokan, Carlos Umana, dan David McCoy.