Ukiran Mesir Kuno Menyokong Catatan Bible
Terdapat sebuah ukiran pada dinding atau hieroglif yang setinggi lapan meter terletak berdekatan di laluan masuk kuil tuhan Amun di Karnak pada zaman kuno Mesir. Menurut para cendekiawan, ukiran ini menggambarkan penaklukan Firaun Sisak di tanah-tanah sebelah timur laut Mesir, termasuk Yudea dan Kerajaan Israel di Utara.
Ukiran itu menggambarkan tuhan Amun mempersembahkan lebih daripada 150 orang tawanan kepada Firaun Sisak ataupun Sheshonk. a Setiap orang daripada tawanan itu mewakili salah satu kota atau kumpulan orang yang telah ditawan. Nama-nama kota itu diukirkan dalam bentuk bujur pada tubuh tawanan. Beberapa nama kota itu masih dapat dibaca dan ada juga yang sangat dikenali oleh para pembaca Bible, misalnya, Bet-sean, Megido, dan Sunem.
Serangannya ke atas kota Yudea turut dicatatkan dalam Bible. (1 Raja-Raja 14:25, 26) Sebenarnya, Bible memberikan maklumat yang terperinci mengenai serangan Firaun Sisak. Bible berkata, ‘Pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak dari Mesir menyerang Yerusalem. Raja Sisak membawa 1,200 buah kereta kuda dan 60,000 orang askar berkuda. Selain itu, dia juga membawa pasukan askar dari Mesir. Bilangan mereka tidak dapat dikira. Dia menawan kota-kota berkubu di Yehuda, dan akhirnya dia tiba di Yerusalem.’—2 Tawarikh 12:2-4.
Ukiran Karnak bukan sahaja bukti arkeologi yang mengesahkan serangan Sisak di kawasan bangsa Israel. Serpihan daripada tugu yang dijumpai di tapak kota Megido juga mempunyai nama “Sheshonk.”
Penaklukan Sisak ke atas Yehuda dicatatkan dengan tepat dalam Bible. Hal ini mencerminkan kejujuran para penulisnya. Mereka dengan jujur menceritakan kemenangan dan kekalahan bangsa sendiri. Sifat sebegini jarang dijumpai dalam kalangan penulis pada zaman kuno.
a Dalam Bible, nama “Sisak” dieja menurut sebutan bahasa Ibrani.