Bagaimanakah Dewan Perjumpaan Membantu Masyarakat Setempat?
Selama lebih daripada seabad, Saksi-Saksi Yehuwa mereka bina bangunan untuk kegunaan ibadat. Adakah kawasan anda juga mempunyai tempat beribadat sedemikian yang dipanggil Dewan Perjumpaan? Bagaimanakah Dewan Perjumpaan dapat membantu masyarakat di kawasan anda?
“Sebuah Hadiah kepada Masyarakat”
Dewan Perjumpaan yang dibina biasanya mengindahkan lagi kawasan tempatan. Jason, salah seorang anggota yang mengatur kerja pembinaan Dewan Perjumpaan di Amerika Syarikat berkata, “Matlamat kami adalah untuk menjadikan setiap Dewan Perjumpaan bangunan yang mulia dan yang paling cantik.” Seorang lagi Saksi yang bertugas sebagai arkitek dalam bahagian rekaan menambah, “Bangunan yang dibina haruslah menjadi seperti sebuah hadiah kepada masyarakat dan membantu meningkatkan standard penjagaan bangunan di kawasan setempat.”
Saksi-Saksi Yehuwa yang membantu dalam kerja pembinaan Dewan Perjumpaan berusaha untuk menghasilkan bangunan yang bermutu tinggi. Sememangnya, hasil titik peluh mereka tidak terlepas daripada pandangan orang. Contohnya, di Richmond, Texas, A.S., seorang pemeriksa bangunan yang telah melihat pembinaan Dewan Perjumpaan berkata bahawa dia tidak pernah melihat bumbung yang dibuat dengan begitu teliti. Di Jamaica pula, seorang pemeriksa bangunan telah membawa beberapa pegawai baharu untuk melihat projek pembinaan Dewan Perjumpaan. Dia memberitahu rakan-rakan sekerjanya, “Kamu tidak perlu risau tentang kerja mereka. Saksi-Saksi Yehuwa selalu mengikut pelan dan melakukan lebih daripada apa yang dituntut dalam undang-undang pembinaan di kawasan tempatan.” Seorang pemeriksa bangunan di sebuah bandar di Florida, A.S., meluahkan kata-kata ini: “Saya pernah memeriksa projek pembinaan hospital dan projek kerajaan yang besar. Tapi, tiada yang dapat melakukannya dengan begitu teratur. Kerja kamu memang menakjubkan.”
Pengaruh Baik kepada Masyarakat
Perjumpaan yang diadakan di Dewan Perjumpaan amat bermanfaat bagi mereka yang hadir. Para hadirin dibantu untuk menjadi bapa, ibu, dan anak-anak yang lebih baik. Rod yang bekerja di bahagian rekaan Dewan Perjumpaan berkata, “Setiap Dewan Perjumpaan ialah pusat pendidikan yang mengajarkan nilai moral yang tinggi, dan ini dapat membantu masyarakat.” Dia menambah, “Di sinilah kita boleh mendapat bantuan untuk menghadapi cabaran hidup. Suasananya tenang dan ramah. Pintunya terbuka kepada semua yang mencari kelegaan dan bimbingan rohani.”
Orang yang beribadat di Dewan Perjumpaan mengambil berat tentang jiran mereka dan bersedia menghulurkan bantuan semasa bencana melanda. Misalnya, pada tahun 2016, selepas Taufan Matthew menimpa Bahamas, Saksi-Saksi Yehuwa telah membaiki 254 buah rumah. Di sebuah kawasan perumahan, terdapat seorang wanita berumur 80 tahun yang bernama Violet. Apabila dia melihat para Saksi yang memberikan bantuan bencana di kawasannya, dia ingin membayar mereka untuk membaiki rumahnya. Tetapi mereka enggan mengambil wangnya. Sebaliknya, mereka membaiki bumbung dan siling rumahnya secara percuma. Violet memeluk mereka dan berulang kali mengatakan terima kasih. Dia berkata, “Kamu betul-betul umat Tuhan!”
‘Kami Gembira kerana Mempunyai Dewan Perjumpaan di Komuniti Kami’
Untuk memastikan Dewan Perjumpaan dijaga, para Saksi mengadakan latihan untuk mengajar mereka dalam sidang tempatan cara menyelenggarakan dewan mereka. Latihan ini membawa hasil baik. Contohnya, seorang wanita di sebuah komuniti kecil di Arizona telah menghadiri perjumpaan para Saksi. Setelah melihat keadaan dewan yang dijaga dengan rapi dan mendengar tentang program penyelenggaraan yang dijalankan, dia berasa sangat kagum kerana usaha yang dicurahkan untuk meningkatkan mutu bangunan itu. Wanita itu kemudiannya menulis sebuah laporan dalam surat berita tempatan. Pada akhir laporan itu, dia menulis, “Kami gembira kerana . . . mempunyai Dewan Perjumpaan di komuniti kami.”
Anda dapat melihat Dewan Perjumpaan di seluruh pelosok dunia. Anda digalakkan untuk melawat mana-mana Dewan Perjumpaan. Kehadiran anda amat dialu-alukan.