Lompat ke kandungan

Membawa Harapan dan Kelegaan bagi Warga Emas

Membawa Harapan dan Kelegaan bagi Warga Emas

Seperti di negara-negara lain, jumlah orang tua di Australia semakin meningkat. Sesetengah orang tua telah berpindah ke pusat jagaan kerana di situ kesihatan dan keperluan mereka akan dijaga dengan baik.

Namun, warga emas bukan hanya memerlukan jagaan secara fizikal. Kadangkala mereka mungkin berasa bosan, sunyi, atau bahkan tidak berdaya. Maka, Saksi-Saksi Yehuwa ingin membawa harapan dan kelegaan kepada mereka. Seminggu sekali, para Saksi akan mengunjungi dua buah pusat jagaan warga emas di Portland, sebuah kota di Victoria, Australia.

Perbincangan Bible di Pusat Jagaan

Para Saksi tempatan akan berjumpa dengan sekumpulan penghuni di pusat jagaan itu untuk membincangkan topik Bible, seperti kisah tentang kehidupan Yesus. Jason berkata, “Kami membacakan ayat-ayat Bible dengan mereka, kemudian kami membincangkannya bersama mereka.” Oleh sebab kebanyakan antara mereka menghadapi masalah kesihatan, para Saksi membincangkan janji Tuhan bahawa pada masa depan Tuhan akan menghapuskan penyakit dan kematian. Sudah pasti mesej itu menggalakkan mereka dan memberi mereka harapan.

“Pada mulanya, kami hanya membuat kunjungan selama setengah jam, tetapi penghuni di sana mahu kami luangkan lebih banyak masa bersama mereka,” kata Tony, seorang Saksi tempatan. “Jadi sekarang perbincangan kami akan berlangsung selama kira-kira sejam, walaupun ada seorang penghuni yang mahu kami di situ selama dua jam!” Ada sesetengah orang tua yang buta, terlantar di katil, atau tidak dapat pegang apa-apa barang. Jadi para Saksi membantu mereka sepanjang perbincangan dan menggalakkan mereka untuk ambil bahagian sekerap yang mungkin.

Semasa kunjungan itu, para Saksi dan penghuni juga akan menyanyikan beberapa lagu untuk memuji Tuhan. Biasanya, penghuni sangat suka dan mahu terus bernyanyi. John, a seorang penghuni berkata, “Kami suka lagu-lagu kamu sebab lagu itu bantu kami untuk mengenal dan menghormati Tuhan.” Judith, seorang penghuni yang buta, telah menghafal lirik bagi semua lagu kegemarannya!

Para Saksi sangat prihatin terhadap setiap orang tua. Seorang sukarelawan bernama Brian menyatakan bahawa jika ada seorang penghuni yang tidak sihat, Saksi akan mengunjungi penghuni itu di biliknya. “Kami akan bercerita dengan mereka dan tanya khabar mereka. Kadangkala, kami akan datang lagi pada hari lain untuk melihat keadaan mereka.”

“Tuhan Telah Mengutus Kamu kepada Kami!”

Banyak orang tua suka kunjungan para Saksi. Peter yang menyertai perbincangan itu setiap minggu berkata, “Saya tidak sabar ikut perbincangan itu.” Judith pula akan berkata kepada staf yang menjaganya, “Hari ini hari Rabu! Bantu saya untuk bersiap-siap supaya dapat pergi perbincangan Bible. Saya tidak mahu terlambat!”

Orang tua suka apa yang dipelajari, dan mereka berasa lebih akrab dengan Tuhan. Selepas membincangkan salah satu ajaran Yesus, Robert berkata, “Saya tidak pernah faham maksud ayat ini. Tapi sekarang saya sudah faham!” David pula telah belajar betapa pentingnya untuk berdoa, dan dia berkata, “Doa bantu saya pupuk hubungan akrab dengan Tuhan dan bantu saya lihat Tuhan sebagai individu yang nyata.”

Para penghuni berasa senang hati mempelajari harapan masa depan yang terkandung dalam Bible. “Terima kasih kerana membawa mesej Bible yang amat melegakan,” kata seorang penghuni bernama Lynette kepada para Saksi. Seorang lagi penghuni berkata, “Tuhan telah mengutus kamu kepada kami!”

Margaret begitu menikmati kunjungan para Saksi sehingga dia menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa dengan tetap di Dewan Perjumpaan tempatan. Hal itu melibatkan banyak usaha kerana dia susah bergerak dan mempunyai masalah kesihatan. Margaret memberitahu para Saksi, “Kamu telah beri kami sebab untuk terus hidup.”

“Saya Gembira Melihat Usaha Kamu”

Kakitangan di situ juga menghargai kunjungan para Saksi. Anna, seorang Saksi tempatan, berkata, “Staf menggalakkan penghuni menyertai perbincangan itu kerana mereka lihat bahawa orang tua nampak lebih gembira selepas itu.” Brian yang disebut tadi, berkata, “Staf sangat peramah dan sudi bekerjasama. Mereka rela buat kerja tambahan untuk membantu kami.”

Keluarga para penghuni juga gembira melihat orang tersayang mereka menikmati perbincangan itu. Anak perempuan seorang penghuni memuji Saksi dengan berkata, “Saya gembira melihat usaha kamu untuk membantu ibu saya.”

a Nama-nama penghuni di pusat jagaan telah diubah.