Kelegaan dan Bantuan Praktikal untuk Pesakit
Orang yang menghidapi penyakit serius mudah menjadi khuatir. Jika pesakit memerlukan rawatan lanjut di hospital, hal ini dapat menyebabkan mereka lebih tertekan. Maka, sebuah laporan dalam jurnal perubatan mengatakan bahawa “jika keperluan emosi dan rohani seseorang pesakit dijaga, hal itu dapat memberi kesan yang baik untuk kesihatannya.” a
Untuk memenuhi keperluan itu, Saksi-Saksi Yehuwa berusaha memberikan kelegaan rohani dan bantuan praktikal kepada para Saksi yang dirawat di hospital. Penatua tempatan mengambil inisiatif untuk melawat ahli sidang mereka yang sakit. Namun, bagaimana pula jika seorang Saksi perlu menerima rawatan di hospital yang jauh dari tempat asalnya? Di beberapa bandar besar di seluas dunia, Saksi-Saksi Yehuwa telah menubuhkan Kumpulan Melawat Pesakit, atau Patient Visitation Groups (PVG). Apabila terdapat Saksi dari kawasan atau dari negara lain yang dirawat di hospital, para penatua dalam kumpulan PVG akan melawat mereka secara tetap dan membantu ahli keluarga mereka. Terdapat lebih daripada 28,000 sukarelawan daripada 1,900 kumpulan PVG di enam benua. b
Apakah bantuan rohani yang diberikan oleh kumpulan PVG?
Seorang ahli PVG bernama William berkata, “Saya dapat melegakan saudara saudari dan ahli keluarga mereka yang bukan Saksi. Saya meluangkan masa bersama mereka untuk berbual dan mendengar luahan mereka. Saya meyakinkan mereka bahawa Tuhan Yehuwa memahami keadaan mereka dan mengasihi mereka. Para pesakit dan keluarga mereka amat menghargai apabila kami berdoa bersama mereka.”
Ramai yang meluahkan penghargaan mereka atas galakan yang diterima menerusi lawatan PVG. Di Amerika Syarikat, terdapat lebih kurang 7,000 ahli PVG. Berikut merupakan kata-kata penghargaan daripada orang yang telah dikunjungi.
Priscilla berkata, “Terima kasih kerana melawat ayah saya di hospital apabila dia diserang strok. Dia begitu tersentuh dengan kunjungan kamu! Dia tidak sangka ada aturan ini. Saya rasa lawatan kamu bantu dia sembuh dengan lebih cepat.”
Ophilia, yang telah kehilangan ibunya, memberitahu wakil PVG, “Mama sangat menghargai lawatan kamu! Dia sedar bahawa Yehuwa telah menghantar kamu. Terima kasih atas jagaan kamu yang pengasih.”
Seorang pesakit patah semangat selepas mendapat tahu bahawa dia hanya mempunyai beberapa hari lagi untuk hidup. James, seorang ahli PVG, meluangkan masa bersamanya dan mengongsi ayat Bible di Filipi 4:6, 7. James berkata, “Semasa saya melawat dia pada keesokan harinya, sikapnya sangat berbeza. Meskipun dalam keadaan yang susah, dia sekarang berpandangan positif terhadap bantuan Yehuwa. Sebenarnya, dia telah menggalakkan saya!”
Apakah bantuan praktikal yang diberikan oleh kumpulan PVG?
Suami Pauline telah meninggal di sebuah hospital jauh dari tempat asal mereka. Pauline menulis, “Terima kasih banyak atas bantuan yang kamu berikan kepada kami sekeluarga pada saat-saat yang sukar ini. Kami rasa lega kerana kami tahu kamu akan berada di hospital bersama kami, biarpun sudah larut malam dan kamu perlu bekerja pada hari seterusnya. Terima kasih juga kerana membuat aturan penginapan untuk kami 11 orang, dan sentiasa bersama kami pada masa yang susah ini. Saya berterima kasih kepada Yehuwa dan organisasi-Nya kerana menyediakan bantuan yang melegakan kami.”
Nicki, Gayle, dan Robin, telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kemalangan itu berlaku kira-kira 300 kilometer dari rumah mereka. Setelah mengetahui hal ini, Carlos, seorang ahli PVG, segera pergi ke hospital. Dia berkata, “Saya sudi memberi apa saja bantuan kepada mereka. Akhirnya, saya memegang anak anjing Nicki supaya dia boleh mendapatkan rawatan.” Kemudian, Curtis, seorang ahli PVG yang lain, tiba bersama isterinya. Mereka berada di hospital sehingga ahli keluarga pesakit tiba beberapa jam kemudian. Salah seorang kawan keluarga itu berkata, “Ketiga-tiga mereka telah dilegakan dengan jagaan yang diberikan. Tetapi Robin, adik Nicki yang bukan Saksi, berasa sangat kagum dengan semua bantuan yang diberikan oleh ahli PVG.”
a “Memenuhi Keperluan Emosi dan Rohani Pesakit,” diterbitkan dalam The Joint Commission Journal on Quality and Patient Safety, Disember 2003, Jilid 29, No. 12, muka surat 661.
b Seperti penatua yang lain dalam kalangan Saksi-Saksi Yehuwa, mereka yang berkhidmat di PVG juga membantu dalam sidang tempatan. Mereka merupakan gembala rohani, guru, dan penginjil. Mereka berkhidmat dengan rela dan bersemangat, serta tidak menerima bayaran atas kerja mereka.—1 Petrus 5:2.