Saksi-Saksi Yehuwa Membantu Mengindahkan Rostov-on-Don
Pada 20 Mei 2015, ketua pentadbiran bandar terbesar di Rusia selatan, Rostov-on-Don, telah menulis sepucuk surat penghargaan kepada Saksi-Saksi Yehuwa untuk memuji mereka “kerana penyertaan yang sangat aktif dalam program pengindahan bandar semasa musim bunga.”
Dalam usaha bergotong-royong untuk mengindahkan Rostov-on-Don, Saksi-Saksi Yehuwa dari empat sidang telah mengumpul sampah dan serpihan yang bertimbun di lorong-lorong kecil dan tebing-tebing sungai bandar itu. Hanya dalam beberapa jam, mereka telah mengumpul kira-kira 300 beg sampah yang kemudiannya dipindahkan dengan lori.
Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa ingin sekali membantu masyarakat? “Saya tidak dapat terus bersikap acuh tak acuh,” kata Raisa yang berumur 67 tahun. “Saya mahu bandar saya menjadi bersih supaya semua orang dapat hidup dalam keadaan yang bersih. Walaupun hanya segelintir orang yang tahu apa yang telah kami lakukan, saya menikmati kerja tersebut. Lagipun, Tuhan Yehuwa dapat melihatnya.” Alexander menambah, “Kami bukan sahaja menginjil kepada orang lain tetapi juga memberikan perkhidmatan yang diperlukan mereka. Saya berasa bahagia dan puas apabila dapat melakukan sesuatu untuk jiran-jiran saya.”
Mereka yang memerhati kerelaan Saksi-Saksi Yehuwa sangat menghargai semangat itu. Seorang penduduk di situ terkejut apabila mengetahui bahawa Saksi-Saksi Yehuwa melakukan kerja tersebut tanpa bayaran. Dia membuat keputusan untuk menyertai mereka dalam kerja pembersihan. Kemudiannya, dia berkata, “Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan menikmati kerja pembersihan dan mendapat kepuasan melaluinya!” Katanya lagi, “Walaupun ada yang tidak tinggal di sini, mereka masih datang untuk membantu kami dalam kerja pembersihan!”
Seorang pegawai bandar telah memerhati bahawa sekumpulan kecil Saksi-Saksi Yehuwa telah mengumpulkan sampah yang luar biasa jumlahnya. Dia mengambil gambar mereka di tepi beg-beg sampah yang telah diisikan mereka supaya dapat “menunjukkan kepada orang lain bagaimana kerja itu dapat dilaksanakan.”