Para Pendidik di Filipina Mendapat Manfaat daripada JW.ORG
Pada 2016, Saksi-Saksi Yehuwa telah bertemu dengan sekumpulan orang yang bekerja dalam bidang pendidikan di Zamboanga del Norte, Filipina. Para Saksi berpeluang memperkenalkan video dan rencana di jw.org yang bermanfaat kepada mereka. Pertama sekali, para Saksi telah mengunjungi Jabatan Pendidikan di bandar Dipolog. Mereka begitu teruja dengan laman web jw.org dan kemudiannya menjemput para Saksi untuk memberikan penyampaian yang panjangnya 30 minit. Penyampaian ini diberikan di tiga buah seminar yang diadakan untuk guru-guru dari beberapa kawasan di Zamboanga del Norte.
Bagaimanakah penyampaian para Saksi dikendalikan?
Dalam setiap seminar itu, pelbagai video dan rencana dalam jw.org telah ditunjukkan kepada sekitar 300 orang guru. Para hadirin amat menikmatinya, terutamanya semasa pembentangan yang bertajuk, “Menangani Masalah Hutang.” Mereka setuju bahawa bahan-bahan itu bukan hanya dapat membantu para murid, tetapi mereka juga mendapat banyak manfaat daripadanya. Semua yang hadir telah menerima risalah Di Manakah Jawapan bagi Soalan Penting dalam Hidup? Risalah ini menggariskan bahan dan maklumat yang terdapat dalam jw.org. Beberapa guru juga memuat turun video-video daripada jw.org.
Ketiga-tiga penyampaian itu mendapat sambutan yang hangat. Maka, Jabatan Pendidikan di Zamboanga del Norte mengaturkan agar para Saksi memberikan penyampaian di hadapan sekitar 600 guru dan kaunselor lain. Kata-kata penghargaan telah diluahkan atas aturan dan bantuan yang diberikan para Saksi.
“Laman web kamu sangat berguna”
Sesetengah hadirin mengatakan bahawa penyampaian dan laman web jw.org telah banyak membantu mereka. Seorang guru berkata, “Saya mahu ucapkan terima kasih. Saya dapat guna laman web ini semasa mengajar murid-murid saya.” Seorang lagi guru juga berkata, “Ada banyak lagi hal yang saya perlu belajar, terutamanya cara untuk menangani stres. Laman web kamu sangat berguna, bukan saja untuk orang muda, tetapi untuk mereka yang semakin berumur.”
Antara mereka yang telah menghadiri seminar-seminar itu, lebih daripada 350 orang telah memohon untuk mendapatkan maklumat lanjut. Para Saksi berbesar hati untuk mengongsi nasihat Bible dan menawarkan bahan bacaan kepada mereka.
Lebih daripada 1,000 orang yang bekerja dalam bidang pendidikan di Zamboanga del Norte telah mendengar penyampaian Saksi-Saksi Yehuwa tentang jw.org. Para Saksi berasa amat gembira kerana dapat mengongsi laman web yang berguna ini kepada mereka. Sememangnya, laman web ini dapat melengkapi para pendidik di serata dunia dan memberi mereka maklumat tentang nilai-nilai moral dan bimbingan rohani. a
a Institusi pendidikan di negara Filipina bukan hanya diamanahkan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para murid, tetapi untuk “memupuk nilai-nilai moral dan memberikan bimbingan rohani [serta untuk] menanam sifat-sifat baik dan disiplin diri.”—Perlembagaan 1987 Republik Filipina, Artikel XIV, Seksyen 3.2.