Lompat ke kandungan

Para Saksi di Itali Membantu Jiran Mereka

Para Saksi di Itali Membantu Jiran Mereka

Selepas hujan lebat melanda utara Itali pada November 2016, sesetengah perkampungan di selatan bandar Moncalieri dibanjiri air. Di sesetengah kawasan, ketinggian paras air adalah lebih daripada setengah meter. Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa semua orang yang tinggal di sana terjejas akibat banjir itu. Kira-kira 1,500 orang penduduk segera dipindahkan oleh pihak berkuasa. Oleh sebab pasukan penyelamat bertindak dengan cepat, tiada kematian dilaporkan. Namun, banyak orang kehilangan harta benda mereka.

Bekerjasama untuk Menghulurkan Bantuan

Pasukan para Saksi tempatan segera bertindak untuk membantu mangsa banjir. Mereka menggunakan penyodok untuk mengeluarkan lumpur dan kotoran, dan cuba menyelamatkan perabot dan barangan peribadi. Apabila satu pasukan yang membawa peralatan dan makanan berdepan dengan sebuah jalan yang ditutup, pihak berkuasa mengizinkan mereka untuk lalu supaya dapat membantu sebuah keluarga yang memerlukan bantuan. Para sukarelawan menolong rakan seiman mereka dan juga jiran tetangga yang menganut agama lain.

Contohnya, bilik bawah tanah di sebuah apartmen ditenggelami air. Setelah pasukan penyelamat mengepam air keluar dari tempat itu, sekumpulan besar Saksi membantu rakan seiman mereka, iaitu Antonio dan keluarganya, untuk mengeluarkan kotoran dari bilik bawah tanah mereka. Kemudian para Saksi juga membantu membersihkan bilik bawah tanah penghuni lain di bangunan itu. Mereka dapat menghabiskan kerja itu dalam masa hanya beberapa jam, dan semua orang sangat menghargai bantuan mereka. Dengan air mata yang berlinangan, seorang penghuni bernama Viviana berkata kepada isteri Antonio, “Tolong ucapkan terima kasih kepada saudara saudari kamu. Kamu semua memang hebat!”

Penduduk di salah sebuah perkampungan yang mengalami banjir teruk telah memperhatikan pasukan Saksi yang menghulurkan bantuan. Sesetengah daripada mereka tersentuh melihat usaha para Saksi lalu menawarkan diri untuk membantu dan sudi mengikut arahan daripada ketua pasukan.

Menghargai “Bantuan yang Tidak Terhingga”

Rumah seorang lelaki rosak teruk akibat banjir, dan garajnya penuh dengan lumpur. Dia sangat kagum melihat lapan orang Saksi yang bekerja tanpa henti selama empat jam untuk membuang kotoran dari garajnya. Dengan rasa penghargaan, dia memeluk sesetengah pekerja dan mengucapkan terima kasih menerusi media sosial kerana mereka memberinya “bantuan yang tidak terhingga.”

Seorang Saksi menceritakan, “Kami membantu beberapa orang jiran tetangga yang bukan Saksi, yang kebanyakannya berumur 80-an. Ada antara mereka yang menitiskan air mata dan mengucapkan terima kasih atas apa yang kami lakukan.” Seorang jiran yang sangat aktif dalam gereja Katolik memberitahu Saksi bahawa dia amat menghargai bantuan yang diberikan. Dia juga berkata, “Saya sangat kagum kerana walaupun kita berbeza kepercayaan agama, kita membantu satu sama lain.” Seorang lagi lelaki berkata, “Sayangnya, kamu hanya dikenali kerana sering mengetuk pintu orang pada Ahad pagi, dan bukannya kerana bantuan yang kamu berikan.”