Membawa Kelegaan semasa Tour de France
Perlumbaan ke-103 Tour de France, perlumbaan basikal yang terkenal, berlangsung dari 2 hingga 24 Julai 2016 dalam suasana yang tegang. Tahun sebelumnya, beberapa serangan pengganas di Perancis telah meragut nyawa lebih daripada 100 orang. Semasa cuti kebangsaan 14 Julai 2016, seorang pengganas telah memandu lori lalu merempuh orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di bandar Nice. Sebanyak 86 orang terbunuh dan lebih banyak lagi tercedera.
Saksi-Saksi Yehuwa ingin membawa harapan dan kelegaan kepada penduduk Perancis yang diselubungi rasa takut dan sedih, maka mereka mendirikan rak mudah alih di lokasi peringkat-peringkat pertengahan Tour de France. Lebih daripada 1,400 orang Saksi menawarkan diri untuk menyertai usaha itu, dan mereka menyediakan lebih daripada 2,000 naskhah bahan bacaan Bible untuk diedarkan kepada orang yang mencari jawapan kepada soalan-soalan penting dalam kehidupan.
“Kamu Ada di Merata Tempat!”
Para peminat yang mengikuti perlumbaan dari pekan ke pekan kagum semasa melihat Saksi-Saksi Yehuwa di begitu banyak lokasi. Lebih daripada sekali, pihak pengurusan Tour de France memuji Saksi-Saksi kerana mengaturkan kerja mereka dengan baik. Sesetengah kakitangan berkata, “Kamu ada di merata tempat, di setiap peringkat perlumbaan!” Ramai peminat berkata, “Di sini pun ada Saksi-Saksi Yehuwa!” Beberapa hari selepas perlumbaan bermula, seorang pemandu bas menolak dengan sopan risalah yang ditawarkan kepadanya, kerana dia sudah diberi empat helai risalah sebelum itu!
Memandangkan Saksi-Saksi terdapat di mana-mana sahaja, sesetengah individu berasa hairan lalu datang dan mengambil bahan bacaan buat kali pertama. Itulah yang dilakukan seorang pekerja rancangan sukan televisyen. Dia pernah nampak Saksi-Saksi Yehuwa di Tour de France tahun lalu, dan tahun ini dia datang ke rak mudah alih dan mengambil buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga, yang mengandungi satu topik yang menarik baginya. Setelah membaca buku itu dalam kenderaannya, dia memberitahu rakan kerjanya tentang rak itu, dan mereka juga mengambil bahan bacaan tentang pelbagai topik.
Membawa Harapan dan Keyakinan
Beberapa hadirin di perlumbaan itu mencari Saksi-Saksi Yehuwa lalu meluahkan isi hati mereka. Seorang wanita muda berkata bahawa dia berasa putus harapan dan ingin membunuh diri pada hari itu dengan membiarkan dirinya dilanggar kereta api. Tetapi selepas mendengar berita Bible tentang masa depan yang cerah di bawah Kerajaan Tuhan, dia berasa lega dan membatalkan niatnya untuk membunuh diri. Seorang lagi wanita berkata, “Teruskan usaha baik kamu!”
Seorang lelaki yang tempang sudi menerima bantuan daripada seorang wanita yang berpakaian kemas setelah mengetahui bahawa wanita itu seorang Saksi. Dia mengakui bahawa dia biasanya curiga terhadap orang yang tidak dikenali, tetapi dia berkata kepada wanita itu, “Terima kasih kerana senyum dan berpakaian sopan. Kamu membuat orang percaya akan kamu.”