Lompat ke kandungan

Kerja Penuaian Selama Lima Puluh Tahun di Ladang Watchtower

Kerja Penuaian Selama Lima Puluh Tahun di Ladang Watchtower

Kira-kira 145 kilometer dari bahagian utara Bandar Raya New York, berhampiran dengan kampung Wallkill, New York, terdapat beberapa buah ladang yang dikenali sebagai Ladang Watchtower. Ladang-ladang ini memainkan peranan penting dalam kerja pendidikan Bible sedunia Saksi-Saksi Yehuwa. Ladang yang pertama dibeli pada 2 Januari 1963, iaitu 50 tahun yang lalu.

David Walker, salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang berkhidmat di Wallkill sejak permulaan lagi, menjelaskan sebabnya ladang ini dibeli: “Kakitangan yang berkhidmat di ibu pejabat di Brooklyn, New York, semakin meningkat. Jadi kami perlu mencari cara yang lebih jimat untuk membekalkan makanan kepada mereka. Saksi-Saksi Yehuwa sudah mempunyai ladang di utara New York, tetapi perjalanan dari Brooklyn ke sana mengambil enam hingga lapan jam, sedangkan perjalanan ke Wallkill hanya mengambil dua jam. Ini sangat sesuai untuk keperluan kami.” Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan ladang ini untuk menanam buah-buahan dan sayur-sayuran. Mereka juga menternak ayam, babi, dan lembu, serta menghasilkan produk tenusu. Dan selepas itu, lebih banyak ladang dibeli.

Dalam tempoh sepuluh tahun, peningkatan Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia membawa perubahan di Wallkill. Selain menghasilkan tanaman yang boleh dituai, Wallkill juga mula menghasilkan bahan bacaan untuk menyokong kerja tuaian rohani yang dikatakan Yesus. (Matius 9:​37; Lukas 10:2; Yohanes 4:​35, 36) Perhatikan beberapa kerja yang dilakukan di Wallkill.

Percetakan: Pada pertengahan abad ke-20, kebanyakan bahan bacaan Bible kita dihasilkan di tempat percetakan di Brooklyn, New York. Tetapi seraya keperluan meningkat, percetakan di Brooklyn tidak dapat memenuhi keperluan ini lagi. Jadi pada tahun 1973, Saksi-Saksi Yehuwa menambahkan satu lagi tempat percetakan di Wallkill. Sejak itu, tempat percetakan ini telah diluaskan beberapa kali. Perluasan yang terakhir dilakukan pada tahun 2004.

Teknologi Komputer: Pada tahun 1979, beberapa Saksi-Saksi di Wallkill mula mereka cipta satu sistem komputer yang sekarang dikenali sebagai Sistem Penerbitan Elektronik Berbilang Bahasa (MEPS). Sistem ini membolehkan bahan bacaan Bible diterbitkan dalam lebih daripada 600 bahasa.

Pendidikan: Pada tahun 1988 Sekolah Latihan Gilead dipindahkan dari Brooklyn ke Wallkill, dan kelas dimulakan pada 17 Oktober. Sekolah itu terus diadakan di sana sehinggalah dipindahkan ke Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, pada April 1995.

Seperti ladang yang lain, teknologi dan cara beroperasi di Ladang Watchtower juga mengalami perubahan dalam lima puluh tahun ini. Tetapi usaha yang banyak masih dicurahkan untuk membekalkan makanan yang berkualiti bagi Saksi-Saksi Yehuwa yang berkhidmat di Bethel Amerika Syarikat di New York.

Sekarang, Saksi-Saksi Yehuwa sedang membina pejabat, tempat penginapan, dan kemudahan baharu di Wallkill. Mereka juga mengubahsuai bangunan yang sudah sedia ada. Semua kerja ini membantu Ladang Watchtower untuk terus membekalkan keperluan rohani Saksi-Saksi Yehuwa yang semakin bertambah di kawasan ini.

David Walker, yang disebut tadi, mengatakan, “Dalam 50 tahun ini, saya sangat gembira melihat Wallkill yang dahulunya kecil semakin berkembang sehingga dapat menyokong usaha di serata dunia untuk mengajarkan kebenaran Bible!”