Lompat ke kandungan

Pameran Sejarah Kami

Pameran Sejarah Kami

Sebuah pameran yang menerangkan sejarah Saksi-Saksi Yehuwa telah dibuka pada Oktober 2012 di ibu pejabat sedunia kami yang terletak di Brooklyn, New York. a Pameran ini disediakan tanpa pemandu. Sepanjang lawatan ini, anda akan lihat perjuangan, ancaman, dan kejayaan yang dialami oleh mereka yang berusaha untuk hidup menurut ajaran Kristian.

Lawatan ini bermula dari zaman orang Kristian pada 33 M sehingga zaman kita sekarang. Seluruh pameran dibahagikan kepada empat bahagian dan mengandungi garis masa yang menunjukkan tahun berlakunya sesuatu peristiwa. Setiap bahagian mempunyai tema yang dipetik daripada Bible dan bermula dengan video singkat dalam bahasa Inggeris. Video-video ini juga disertai sari kata dalam enam bahasa berikut​—Itali, Jepun, Korea, Perancis, Portugis, dan Sepanyol.

Bahagian-Bahagian Utama dalam Pameran

Tema untuk bahagian pertama, “Orang Mencintai Kegelapan,” dipetik daripada kata-kata Yesus di Yohanes 3:​19. Bible bernubuat bahawa orang jahat akan “bangkit dan memutarbelitkan kebenaran.” (Kisah 20:30) Bahagian pameran ini mengingatkan kita tentang perbuatan jahat mereka.

Tema untuk bahagian kedua ialah “Biarlah Cahaya Bersinar.” Ungkapan ini dipetik daripada 2 Korintus 4:6. Bahagian ini meliputi peristiwa yang berlaku antara akhir abad ke-19 sehingga awal abad ke-20. Bahagian ini bermula dengan kisah sekumpulan lelaki yang mengkaji Bible dengan bersungguh-sungguh. Mereka tidak bergantung kepada pendapat umum pada masa itu, tetapi membiarkan Bible untuk menjelaskan ajarannya. Perhatikan bagaimana pengetahuan mereka semakin bertambah, dan semakin ramai orang menyertai mereka sebelum Perang Dunia Pertama.

Seterusnya, anda akan lebih mengenali tentang sebuah tayangan yang terkemuka iaitu “Drama-Foto Penciptaan.” Drama ini ditayangkan buat kali pertama oleh Pelajar Bible (yang kemudiannya digelar sebagai Saksi-Saksi Yehuwa) pada 1914. Berjuta-juta orang telah menonton tayangan gambar ini yang disertai dengan rakaman suara dan muzik. Dalam pameran ini, anda dapat melihat sesetengah lukisan yang digunakan dalam drama tersebut, sebuah video singkat yang memperkenalkan tayangan itu, dan lebih daripada 500 slaid berwarna.

Bahagian ketiga mempunyai tema “Naga Itu Menjadi Sangat Marah,” yang dipetik daripada Wahyu 12:17. Bahagian ini mengisahkan penganiayaan yang dialami oleh pengikut Kristus pada awal abad ke-20 dan juga pengalaman orang Kristian yang tetap neutral semasa peperangan. Sebuah video menceritakan pengalaman Remigio Cuminetti, seorang Saksi yang enggan memakai pakaian seragam tentera Itali atau bertempur dalam Perang Dunia Pertama. Sebuah video yang lain menceritakan pengalaman Alois Moser dari Austria, yang enggan mengatakan “Heil Hitler!” Akibatnya, dia dipecat daripada pekerjaannya dan dimasukkan ke kem konsentrasi di Dachau.

Terdapat juga sebuah replika sel penjara di bahagian ini. Di sini, anda dapat lihat gambar-gambar para Saksi yang telah dipenjarakan di Greece, Jepun, Poland, dan Serbia demi kepercayaan mereka.

Bahagian terakhir diberi tema “Berita Baik kepada Semua Bangsa,” yang berdasarkan Matius 24:14 dan menerangkan kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa dari 1950 sehingga sekarang. Gambar-gambar yang dipamerkan menceritakan beberapa tanda Saksi-Saksi Yehuwa seperti perkembangan yang pesat, kerja penyebaran yang berterusan, dan kasih persaudaraan mereka.

Sebelum anda meninggalkan pameran ini, anda juga boleh melawat Bible House dan Brooklyn Tabernacle melalui kiosk interaktif. Bangunan-bangunan ini pernah digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa lebih daripada 100 tahun yang lalu.

Apakah Tujuan Pameran Ini?

Perancangan selama satu tahun telah dibuat untuk pameran ini, diikuti dengan pembinaannya selama beberapa bulan. Para Saksi dari seluruh dunia telah menyumbangkan barang-barang pusaka yang sangat berharga kepada pameran ini.

Apakah tujuan semua usaha ini? Apabila ditanya tentang manfaat yang dapat diperoleh Saksi-Saksi Yehuwa daripada lawatan ini, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa menjawab, “Untuk mengetahui hala tuju kita, kita harus mengetahui asal usul kita.”

a Pameran ini terletak di 25 Columbia Heights, Brooklyn, New York, dan dibuka dari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma.