Lompat ke kandungan

Papan Tanda Watchtower—Sebuah Tanda yang Bersejarah di Brooklyn

Papan Tanda Watchtower—Sebuah Tanda yang Bersejarah di Brooklyn

Sejak lebih daripada 40 tahun yang lalu, huruf-huruf merah yang tingginya 4.6 meter di atas bangunan ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa merupakan sebahagian daripada kehidupan penduduk Bandar Raya New York. Ramai antara mereka mengetahui masa dan suhu melalui papan tanda itu.

Dari apartmennya di Brooklyn, Eboni dapat melihat papan tanda itu. Dia berkata, “Saya gembira kerana dapat melihat masa dan suhu sebelum pergi bekerja. Saya dapat menepati masa dan memilih pakaian yang sesuai dengan cuaca.”

Adakah papan tanda itu akan terus memaparkan waktu dan suhu untuk 40 tahun yang akan datang? Mungkin tidak. Memandangkan Saksi-Saksi Yehuwa merancang untuk memindahkan ibu pejabat mereka ke utara New York, terpulanglah kepada bakal pemilik bangunan sama ada mereka ingin mengekalkan papan tanda itu.

Lebih daripada 70 tahun yang lalu, sebuah papan tanda telah dipasang di bangunan itu oleh pemilik asal. Saksi-Saksi Yehuwa telah mengubahsuainya menjadi rupa sekarang setelah membeli bangunan itu pada tahun 1969.

Papan tanda itu memerlukan jagaan yang tetap. Banyak saudara muda telah ditugaskan untuk menyelenggarakan papan tanda itu. Mereka harus bersedia melakukan kerja pembaikan pada bila-bila masa.

Seorang saudara yang bekerja pada syif malam berkata, “Pada suatu malam, seorang pengarah berita televisyen menelefon kami. Dia beritahu kami bahawa masa kami sudah lari 15 saat dan perlu diselaraskan, kerana dia mahu bercakap tentang papan tanda itu semasa rancangannya malam itu. Tidak lama kemudian, seorang juruteknik yang mengantuk telah membetulkan masalah itu.”

Papan tanda itu telah diubahsuai beberapa kali agar lebih cekap dan tepat. Pada pertengahan 1980-an, papan tanda itu memaparkan suhu dalam unit Selsius, selain daripada waktu dan suhu dalam unit Fahrenheit yang sedia ada.

Pada tahun 2009, tiub neon yang menjadi sumber cahaya papan tanda telah digantikan dengan LED yang lebih tahan dan yang menjimatkan lebih daripada $4,000 USD setiap tahun dari segi kos penyelenggaraan. Sekarang papan tanda ini menggunakan sedikit kuasa elektrik berbanding dahulu, justeru menjadikannya papan tanda merah yang “berteknologi hijau.”