Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan
Setiap tahun, ribuan orang melawat pejabat cawangan Amerika Syarikat dan ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di New York. Bangunan-bangunan ini dipanggil sebagai Bethel, yang bermaksud “Rumah Tuhan” dalam bahasa Ibrani. Pelawat dari pelbagai tempat datang untuk melihat bagaimana bahan bacaan dihasilkan, cara kerja kami diatur, dan melawat sahabat mereka yang berkhidmat di sana. Mari kita baca pengalaman tentang seorang lelaki yang ingin sekali melawat Bethel.
Marcellus ialah Saksi-Saksi Yehuwa yang tinggal di Anchorage, Alaska, A.S. a Sejak diserang strok beberapa tahun yang lalu, dia mengalami kesukaran untuk bercakap. Marcellus juga memerlukan bantuan untuk melakukan aktiviti seharian kerana dia menggunakan kerusi roda. Walaupun menghadapi masalah kesihatan, dia mempunyai keinginan untuk melawat Bethel. Akhirnya, impian Marcellus menjadi kenyataan.
Corey, kawan Marcellus yang membantunya untuk merancang perjalanan ke Bethel, berkata, “Dia tidak sabar-sabar untuk pergi. Dia selalu menelefon saya untuk mengetahui aturan yang telah dibuat. Oleh sebab Marcellus hanya dapat cakap, ‘Ya’ dan ‘Tidak,’ saya perlu menanyakan soalan-soalan apabila dia menelefon saya.” Perbualan mereka adalah seperti berikut:
“Kamu mahu saya datang?”
“Tidak.”
“Kamu mahu saya telefon doktor?”
“Tidak.”
“Kamu mahu tanya tentang lawatan ke Bethel?”
“Ya.”
“Kemudian saya harus menjelaskan aturan yang telah dibuat. Saya sangat gembira melihat dia mencapai hasratnya.”
Marcellus telah mengatasi beberapa halangan untuk membuat perjalanan sejauh 5,400 km ke New York. Pendapatannya terhad, jadi dia harus mengumpulkan wang selama dua tahun untuk membiayai kos perjalanannya. Kemudian, Marcellus perlu mencari seseorang yang dapat membantunya sepanjang perjalanan itu. Akhir sekali, dia perlu mendapatkan keizinan daripada doktor. Beberapa hari sebelum penerbangannya, doktor meluluskan permintaan Marcellus untuk membuat perjalanan tersebut.
Apabila Marcellus tiba di New York, dia melawat Bethel di Brooklyn, Patterson, dan Wallkill. Dia belajar tentang cara kerja kami diatur dan melihat mesin cetak yang menghasilkan bahan bacaan dan Bible. Dia juga melihat pameran “The Bible and the Divine Name” (Bible dan Nama Tuhan) dan “A People for Jehovah’s Name” (Umat yang Menyandang Nama Yehuwa). Selain itu, dia berpeluang berkenalan dengan banyak kawan baru. Bagi Marcellus, pengalaman ini tidak dapat dilupakan!
Ramai orang tidak dapat menggambarkan pengalaman dan kegembiraan mereka selepas melawat Bethel. Tetapi apabila Marcellus ditanya sama ada lawatan ke Bethel berbaloi atau tidak, dia berkata, “Ya. Ya. Ya!”
Seperti Marcellus, lawatan ke Bethel pasti akan menggalakkan anda sekeluarga. Kami menjemput semua orang, termasuk anda, untuk melawat pejabat cawangan kami di seluas dunia.
a Marcellus meninggal pada 19 Mei 2014, semasa rencana ini sedang disiapkan.