Ribuan Orang Melawat Pejabat Cawangan Amerika Tengah
Pada tahun 2015, hampir 175,000 orang melawat pejabat cawangan Amerika Tengah Saksi-Saksi Yehuwa yang terletak di Mexico. Maksudnya, secara purata, 670 orang datang setiap hari! Banyak pelawat datang dalam kumpulan yang besar dan menaiki bas carter selama beberapa hari. Ada yang buat perancangan berbulan-bulan lebih awal.
“Projek Bethel”
Ada yang perlu membuat pengorbanan agar dapat melawat pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa, atau Bethel. Contohnya, hampir semua Saksi dalam sebuah sidang di Veracruz tidak mempunyai wang untuk menampung kos perjalanan ke Bethel. Mereka perlu menaiki bas sejauh 550 kilometer. Maka mereka membuat suatu rancangan yang dipanggil “Projek Bethel.” Mereka bekerja dalam beberapa kumpulan untuk memasak dan menjual makanan. Mereka juga menjual botol-botol plastik untuk dikitar semula. Selepas bekerja keras selama tiga bulan, mereka mendapat wang yang diperlukan.
Adakah usaha mereka berbaloi? Sudah tentu. Misalnya, Lucio, seorang pemuda dalam sidang itu, menulis, “Selepas melawat Bethel, saya terdorong untuk menetapkan matlamat rohani dan untuk membantu sidang dengan lebih bersungguh-sungguh.” Elizabeth, yang berumur 18, berkata, “Di Bethel, saya dapat merasai kasih sejati yang ditunjukkan oleh mereka yang berkhidmat untuk Yehuwa. Saya tergerak untuk memberi sesuatu kepada Tuhan, maka saya menceburi khidmat sepenuh masa.”
Ribuan Orang Pelawat
Ada kalanya, ribuan pelawat tiba di Bethel pada hari yang sama. Mereka yang berkhidmat di Bahagian Lawatan bekerja keras untuk menyambut para tetamu dengan ramah. “Kami digalakkan bila melihat begitu banyak orang yang datang,” kata Lizzy. “Iman saya diteguhkan semasa melihat penghargaan yang ditunjukkan para pelawat dan pengorbanan yang perlu dibuat agar dapat datang ke sini.”
Agar dapat menyambut ribuan pelawat, mereka yang berkhidmat di bahagian-bahagian lain turut melibatkan diri. Meskipun mereka perlu bekerja lebih keras, mereka menikmati peluang tersebut. “Selepas membawa tetamu melawat Bethel, saya puas hati kerana melihat wajah mereka yang tersenyum lebar,” kata Juan.
Kanak-Kanak Suka Melawat Bethel
Kanak-kanak juga suka melawat Bethel. Noriko, yang bekerja di Bahagian Komputer, berkata, “Saya tanya kanak-kanak yang datang melawat sama ada mereka mahu berkhidmat di Bethel. Mereka semua menjawab, ‘Ya!’” Mereka paling suka singgah di “Sudut Johan.” Di sana, mereka dapat bergambar dengan Johan dan Sofia, iaitu watak yang muncul dalam video bersiri yang bertajuk, Jadilah Sahabat Yehuwa. “Kanak-kanak memang rasa seronok,” kata Noriko.
Banyak kanak-kanak mengungkapkan penghargaan mereka atas kerja yang dilakukan di Bethel. Contohnya, Henry, seorang budak dari Mexico, menyimpan wangnya dalam tabung dan memberikannya sebagai sumbangan semasa dia melawat Bethel. “Sila gunakan wang ini untuk buat lebih banyak bahan bacaan,” katanya semasa memberi sumbangan itu. Dia menambah, “Terima kasih kerana bekerja untuk Yehuwa.”
Anda Dijemput untuk Datang
Saksi-Saksi Yehuwa menjemput semua orang untuk melawat pejabat-pejabat dan bangunan-bangunan pencetakan mereka secara percuma. Jika anda berminat untuk melawat pejabat-pejabat cawangan kami di serata dunia, kami mengalu-alukan anda. Kami yakin bahawa anda akan menikmatinya. Dapatkanlah maklumat lanjut di bahagian MENGENAI KAMI > PEJABAT & LAWATAN.