Menepati Tempoh Masa 60 Hari
Pada Jumaat, 5 Julai 2013, keluarga Bethel di Amerika Syarikat berasa gembira apabila mendengar pengumuman yang disampaikan oleh Anthony Morris, salah seorang ahli Badan Pimpinan. Dia berkata, “Persetujuan telah dicapai untuk menjual bangunan di 117 Adams Street dan kompleks di 90 Sands Street di Brooklyn. a Sebanyak enam buah bangunan akan dijual. Jadi, kita perlu mengosongkan Bangunan 1 hingga 5 sebelum pertengahan bulan Ogos tahun ini.”
Sememangnya ini sebuah projek yang sangat besar. Keluasan bagi kelima-lima bangunan ini adalah bersamaan dengan 11 bidang padang yang digunakan untuk perlawanan bola sepak antarabangsa! Tambahan lagi, semua bangunan ini perlu dikosongkan dalam tempoh masa 60 hari!
Selama puluhan tahun, mesin cetak dan mesin penjilid buku diletakkan di Bangunan 1 hingga 5. Tetapi pada tahun 2004, mesin-mesin ini dipindahkan ke sebuah lokasi baru di Wallkill, New York.
Semenjak itu, bangunan-bangunan ini digunakan untuk menyimpan barang dan melakukan kerja penyenggaraan. Perabot pejabat, bahan pembinaan, dan alat yang digunakan untuk projek pembinaan di Amerika Syarikat dan negara lain juga disimpan di situ.
Rancangan yang teliti diperlukan agar dapat mengosongkan bangunan-bangunan tersebut dalam tempoh masa yang diberikan. Pertama, mereka menyenaraikan barang yang terdapat dalam bangunan tersebut sebelum menentukan barang yang akan dijual, dibuang, atau disimpan. Kemudian, aturan dibuat agar kerja dapat dijalankan dengan teratur dan selamat.
Ahli Bethel bekerja keras untuk menyokong projek ini. Selain itu, seramai 41 orang sukarelawan dari pelbagai tempat di Amerika Syarikat dijemput ke Bethel untuk memberikan bantuan. Kebanyakannya ialah lelaki bujang yang muda dan bertenaga. Para sukarelawan ini meninggalkan keluarga, kawan, dan kerja agar dapat membantu di Bethel selama 6 hingga 10 minggu. Apakah perasaan mereka yang terlibat dalam projek ini?
Jordan, 21 tahun, dari negeri Washington berkata, “Saya sepatutnya mendaftar diri sejak awal lagi.”
Steven, 20 tahun, dari Texas berkata, “Saya rasa seperti saya adalah sebahagian daripada sebuah keluarga besar yang bekerja keras dan selalu gembira.”
Justin, yang berusia 23 tahun, menulis, “Bethel seperti rumah saya. Di sini, pengetahuan rohani berlimpah. Kasih dan persahabatan di Bethel sangat menakjubkan.”
Adler, 20 tahun, dari Puerto Rico berkata, “Bangun awal pagi merupakan cabaran bagi saya. Tetapi, di sini, saya dapat menjalinkan persahabatan yang sejati.”
William yang berusia 21 tahun, berkata, “Sejak kecil lagi, saya ingin datang ke Bethel. Saya fikir saya akan berasa sunyi, tetapi rupanya tidak. Saya mendapat pengalaman yang terbaik di Bethel! Saya sangat menikmati masa berkhidmat di sini.”
Adakah mereka yang terlibat dalam projek ini menepati tempoh masa yang ditetapkan? Ya! Mereka menyiapkan projek ini dalam masa 55 hari sahaja.
a Bangunan kediaman yang terletak di 90 Sands Street akan dikosongkan pada tahun 2017.