Berita Baik untuk Pelaut
Menurut sesetengah anggaran, terdapat satu setengah juta pelaut di serata dunia. Memandangkan pelaut sentiasa membuat perjalanan dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain, bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa dapat menyampaikan berita Bible kepada mereka? Apabila sebuah kapal berlabuh, Saksi-Saksi yang terlatih merelakan diri untuk naik ke kapal dan memberikan bahan bacaan dan kursus Bible yang percuma kepada pegawai dan anak kapal dalam bahasa pilihan mereka.
Apakah sambutan yang diterima oleh mereka? Stefano, seorang Saksi yang merelakan diri di pelabuhan Vancouver, Kanada, menjelaskan, “Sesetengah orang berfikir bahawa semua pelaut bersikap kasar dan tidak berperasaan. Meskipun ada yang mungkin bersikap sedemikian, kebanyakan pelaut yang kami temui bersikap rendah hati dan berminat untuk belajar.” Stefano menambah, “Kebanyakan daripada mereka percaya kepada Tuhan dan mahu diberkati-Nya, jadi kami sering disambut dengan ramah.” Antara September 2015 dan Ogos 2016 di Vancouver sahaja, Saksi-Saksi Yehuwa dipelawa untuk naik ke kapal lebih daripada 1,600 kali! Para pelaut menerima ribuan bahan bacaan dalam banyak bahasa, dan lebih daripada 1,100 orang mula mempelajari Bible.
Bagaimanakah perbincangan Bible dengan para pelaut diteruskan?
Memandangkan Saksi-Saksi boleh ditemui di pelabuhan-pelabuhan di serata dunia, para pelaut yang ingin meneruskan perbincangan Bible boleh memohon agar mereka dikunjungi di pelabuhan singgahan yang berikutnya. Sebagai contoh, pada Mei 2016, Saksi-Saksi Yehuwa di Vancouver menemui Warlito, ketua tukang masak di sebuah kapal kargo. Mereka menunjukkan video Mengapa Belajar Bible? kepadanya dan memulakan pembelajaran Bible dengan menggunakan brosur Berita Baik daripada Tuhan! Warlito telah menikmati kunjungan itu dan mahu meneruskan pembelajaran Biblenya, tetapi pelabuhan singgahan yang berikutnya terletak jauh di Paranaguá, Brazil.
Kira-kira sebulan kemudian, kapal Warlito akhirnya berlabuh di Paranaguá. Warlito seakan-akan tidak percaya apabila dua orang Saksi berbangsa Brazil datang mencarinya. Mereka mengetahui namanya kerana Saksi-Saksi di Vancouver telah memberitahu mereka tentang Warlito yang memohon agar dia dikunjungi. Warlito bergembira untuk menemui Saksi-Saksi berbangsa Brazil itu dan meluahkan penghargaannya atas aturan yang telah dibuat. Dia bersetuju untuk meneruskan pembelajaran Bible dengan Saksi-Saksi di pelabuhan singgahan yang berikutnya.