Lompat ke kandungan

Berkongsi Harapan Bible di Paris

Berkongsi Harapan Bible di Paris

Dari 30 November hingga 12 Disember 2015, Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP21) telah diadakan di Paris, Perancis. Wakil dari 195 buah negara telah menghadiri persidangan ini untuk membincangkan cara mengurangkan kesan aktiviti manusia ke atas iklim sedunia. Hampir 38,000 orang menghadiri persidangan ini, mereka termasuk pegawai kerajaan, saintis, para pencinta alam, dan pemimpin perdagangan. Selain itu, puluhan ribu orang telah melawat bahagian informasi umum yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perubahan iklim.

Walaupun kami, Saksi-Saksi Yehuwa, tidak mengambil bahagian dalam persidangan tersebut, kami masih berminat tentang pemuliharaan alam sekitar. Ratusan Saksi telah mengambil bahagian dalam satu kempen istimewa di Paris untuk berkongsi harapan Bible tentang kehidupan di bumi yang bebas daripada pencemaran.

Semasa menggunakan pengangkutan awam, seorang Saksi telah berbual dengan seorang lelaki dari Peru, yang memakai baju tradisional. Lelaki itu berkata bahawa walaupun dia sihat dan tinggal di atas sebuah gunung yang indah, dia masih risau tentang masa depan bumi kita. Setelah dia mendengar tentang harapan yang disampaikan oleh Saksi itu, dia sangat terharu, dan dengan senyuman lebar, dia mengambil kad yang mengandungi alamat laman web kami, iaitu www.pr418.com.

Semasa menaiki kereta api, dua orang Saksi telah berbual dengan seorang saintis alam sekitar dari Amerika. Dia terkejut apabila mengetahui bahawa Saksi-Saksi Yehuwa telah mendapat anugerah (Four Green Globes) dari Inisiatif Bangunan Hijau (GBI) sebanyak dua kali bagi dua buah bangunan baharu kami di Wallkill, New York, Amerika Syarikat. Hal ini kerana komitmen Saksi-Saksi Yehuwa untuk membina bangunan yang memelihara alam sekitar. Saintis ini telah menerima kad perhubungan kami dengan senang hati.

Setelah mengetahui bahawa Saksi-Saksi sangat prihatin terhadap alam sekitar, ramai orang kagum dengan kami dan berkata bahawa mereka akan melawat laman web kami. Seorang wanita dari Kanada mendengar bahawa Saksi-Saksi Yehuwa telah berusaha untuk melindungi habitat burung (yang dipanggil eastern bluebird) di Warwick, New York, iaitu lokasi baharu ibu pejabat kami. Dia berkata, “Sebelum menjadi pencinta alam, saya pernah menjadi ahli kaji burung. Saya tidak tahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa begitu menghargai hidupan liar. Saya akan membaca bahan bacaan dan melayari laman web kamu untuk mengetahui lebih banyak tentang kamu!”