Pesta dan Pameran untuk Orang Asli Amerika di Bandar Raya New York
Kebanyakan orang berfikir bahawa orang asli di Amerika Syarikat tinggal di tanah rizab atau di kawasan pedalaman. Sebenarnya, lebih daripada 70 peratus orang asli Amerika tinggal di kawasan bandar. Pada 5-7 Jun 2015, bandar raya terbesar di Amerika Syarikat, New York, telah menganjurkan “Gateway to Nations,” sebuah pesta dan powwow orang asli Amerika Syarikat. a Setelah mengetahui tentang acara ini, Saksi-Saksi Yehuwa segera membuat aturan untuk menghadirinya. Mengapakah mereka berbuat demikian?
Saksi-Saksi Yehuwa telah menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam ratusan bahasa, termasuk bahasa-bahasa orang asli Amerika, seperti Blackfoot, Dakota, Hopi, Mohawk, Navajo, Odawa, dan Plains Cree. Oleh itu, para Saksi telah mempamerkan bahan bacaan ini semasa acara “Gateway to Nations.” Mereka menggunakan rak dan meja yang telah dihias untuk menarik perhatian para pengunjung. Antara bahan yang dipamerkan ialah risalah “Anda Boleh Percaya kepada Pencipta!” (You Can Trust the Creator!)
Laman web rasmi kami juga mengandungi bahan audio dan video dalam beberapa bahasa ini. Memandangkan kebanyakan daripada program, bahan, serta papan tanda di pameran “Gateway to Nations” hanya terdapat dalam bahasa Inggeris atau Sepanyol, para pengunjung tertarik untuk melihat bahan yang dipamerkan di tempat pameran Saksi-Saksi Yehuwa. Para Saksi mengambil kesempatan ini untuk memainkan beberapa rakaman bagi pengunjung yang datang.
Ramai yang menghadiri acara ini mengagumi usaha para Saksi untuk menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa orang asli Amerika. Mereka juga berasa takjub dengan kerja pendidikan Bible yang dijalankan di bandar dan di kawasan tanah rizab. Setelah memahami sedikit sebanyak tentang kerja ini, salah seorang pekerja bagi acara ini ingin belajar Bible bersama para Saksi. Dia berkata, “Saya tidak sabar-sabar untuk mula belajar Bible dengan kamu!”
Sepasang suami isteri yang pekak juga telah menghampiri tempat pameran para Saksi. Namun, mereka tidak dapat berkomunikasi dengan pasangan ini. Pada masa itu juga, seorang Saksi yang pandai berbahasa isyarat tiba dan dia pun berbual dengan mereka selama 30 minit. Dia juga telah menunjukkan lokasi konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa dalam bahasa isyarat yang akan diadakan berdekatan dengan tempat tinggal pasangan itu.
Semasa acara tiga hari ini, lebih daripada 50 orang Saksi-Saksi Yehuwa telah membantu di tempat pameran ini dan para pengunjung telah mengambil lebih daripada 150 naskhah bahan bacaan.
a Menurut William K. Powers, seorang pakar dalam bidang antropologi, powwow zaman moden “merupakan suatu acara yang melibatkan nyanyian secara berkumpulan untuk mengiringi tarian yang disertai oleh lelaki, wanita, dan kanak-kanak.”—Ethnomusicology, September 1968, muka surat 354.