Lompat ke kandungan

Membantu Orang Sinti dan Roma di Jerman

Membantu Orang Sinti dan Roma di Jerman

Terdapat beribu-ribu orang Sinti dan Roma di Jerman. a Belakangan ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah menerbitkan risalah, brosur, dan video Bible dalam bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Romany. b

Semasa sebuah kempen istimewa pada September dan Oktober 2016, Saksi-Saksi Yehuwa berusaha mengongsi maklumat Bible dalam bahasa Romany dengan orang Sinti dan Roma di beberapa bandar di Jerman, termasuk Bremerhaven, Freiburg, Hamburg, dan Heidelberg. Mereka juga mengadakan perjumpaan dalam bahasa Romany di Dewan Perjumpaan.

Sambutan yang Memberangsangkan

Kempen Saksi-Saksi Yehuwa membuat banyak orang Sinti dan Roma terkejut dan gembira. “Mereka teruja kerana kami berusaha membantu mereka,” kata Andre dan Esther, sebuah pasangan yang menyertai kempen itu. Ramai yang tersentuh semasa mendengar dan membaca mesej Bible dalam bahasa sendiri. Semasa menonton video Mengapa Belajar Bible? dalam bahasa Romany, seorang perempuan muda berkata berkali-kali, “Ini bahasa saya!”

Matthias, seorang Saksi yang menyertai kempen di Hamburg, berkata, “Saya dan isteri ditugaskan dalam sebuah kumpulan yang terdiri daripada lapan orang Saksi. Kami mengunjungi kawasan yang didiami oleh kira-kira 400 orang Sinti dan Roma. Semua orang yang kami temui meminta bahan bacaan.” Bettina, yang juga menyertai kempen di Hamburg, menambah, “Ada yang menangis semasa melihat Saksi-Saksi Yehuwa menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Romany.” Ramai yang segera membacakan bahan bacaan Bible dengan lantang, dan ada yang mendapatkan naskhah tambahan untuk sahabat mereka.

Ramai orang Sinti dan Roma telah menghadiri perjumpaan umum. Di Hamburg, terdapat 94 orang yang hadir, dan ramai antara mereka tidak pernah memasuki Dewan Perjumpaan. Di Reilingen, berhampiran Heidelberg, seramai 123 orang menghadiri perjumpaan, dan lima orang yang berbahasa Romany telah meminta pembelajaran Bible.

Sepanjang kempen itu, Saksi-Saksi Yehuwa telah mengedarkan hampir 3,000 helai risalah dan brosur. Para Saksi telah mengadakan perbincangan bersama lebih daripada 360 orang Sinti dan Roma, dan 19 orang mula belajar Bible. Beberapa antara mereka berkata, “Kami bersyukur kerana Tuhan ingin bantu kami.”

a Orang Sinti ialah golongan minoriti yang tinggal di Eropah Barat dan Eropah Tengah. Orang Roma ialah golongan minoriti yang berasal dari Eropah Timur dan Eropah Tenggara.

b Encyclopædia Britannica Online menyatakan bahawa bahasa Romany mempunyai “lebih daripada 60 dialek yang sangat berbeza.” Dalam rencana ini, “bahasa Romany” merujuk kepada bahasa yang digunakan oleh orang Sinti dan Roma yang tinggal di Jerman.