Dewan Perhimpunan Baharu di Hutan Hujan Amazon
Di tengah-tengah hutan hujan Amazon, terdapat sebuah Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa yang baharu. Dewan itu terletak di sebidang tanah yang luasnya 52 hektar, yang berada di utara kota Manaus, Brazil. Sebahagian besar tanah itu masih diliputi hutan hujan asli. Anda dapat melihat burung makaw yang berwarna-warni, burung toucan, dan pelbagai jenis burung yang lain hinggap di atas pokok cupuaçu, pokok kacang Brazil, dan pokok-pokok lain. Mengapakah sebuah Dewan Perhimpunan dibina di sini?
Kota Manaus, yang terletak sejauh 1,450 kilometer dari muara Sungai Amazon, mempunyai kira-kira dua juta orang penduduk. Dewan yang baharu ini akan digunakan oleh kira-kira 7,000 orang saudara saudari dari Manaus dan beberapa pekan yang berdekatan, termasuk beberapa kawasan penempatan di sepanjang Amazon dan anak-anak sungainya. Pekan yang terjauh, iaitu pekan São Gabriel da Cachoeira, terletak sejauh lebih daripada 800 kilometer di barat Manaus. Terdapat sebilangan saudara dan saudari yang perlu menaiki bot selama tiga hari untuk menghadiri perhimpunan atau konvensyen di Dewan Perhimpunan ini!
Memang tidak mudah untuk membina sebuah Dewan Perhimpunan di tengah-tengah hutan hujan Amazon. Kira-kira 13 buah kontena bahan pembinaan perlu dibawa masuk dari pelabuhan Santos, São Paulo. Kemudian kontena-kontena itu perlu diangkut menyusuri persisiran pantai Brazil dan diangkut menyusuri Sungai Amazon agar dapat sampai ke tapak pembinaan.
Dewan ini ialah Dewan Perhimpunan yang ke-27 yang dibina di Brazil. Seramai 1,956 orang menghadiri program pentahbisan pada hari Ahad, 4 Mei 2014. Banyak saudara saudari amat gembira kerana inilah kali pertama mereka dapat menghadiri perjumpaan di Dewan Perhimpunan.
Para hadirin bukan sahaja dapat mendengar ceramah, mereka bahkan juga dapat melihat penceramah. Dahulu apabila mereka menghadiri perhimpunan dan konvensyen di tempat awam, mereka tidak dapat melihat pentas dan penceramah. Seorang saudara berkata, “Saya telah menghadiri konvensyen selama bertahun-tahun, tetapi saya tidak pernah melihat drama Bible. Saya hanya dapat mendengarnya.” Sekarang semua orang dapat melihat pentas.