Galeri Foto Britain 2 (September 2015 hingga Ogos 2016)
Pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di London akan berpindah dari Mill Hill ke sebuah tempat berdekatan kota Chelmsford, Essex. Jauhnya kira-kira 70 kilometer ke arah timur dari tempat asalnya. Dalam galeri foto ini, lihatlah kemajuan projek pembinaan pejabat cawangan dari September 2015 hingga Ogos 2016.
29 Oktober 2015—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan
Para pekerja menuang konkrit di bahagian depan bangunan yang akan digunakan untuk menyelenggarakan mesin pembinaan.
9 Disember 2015—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan
Kontraktor memasang bumbung bangunan yang akan dijadikan pejabat dan ruang makan selama projek berlangsung.
18 Januari 2016—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan
Di jalan masuk utama, seorang pekerja menggunakan jentera yang dilengkapi alat pemotong untuk memotong pokok-pokok tertentu. Alat itu mengepit pokok dan memotong batang pokok, kemudian jentera itu akan digunakan untuk membuang tunggul pokok itu. Untuk menggantikan pokok-pokok yang ditebang, ahli landskap akan menanam ribuan pokok baharu sebelum projek tamat.
31 Mac 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Para pekerja membuang bendasing yang ditinggalkan oleh bekas pemilik tanah. Tanah itu akan dibersihkan dan digunakan semula.
14 April 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Para pekerja bersedia untuk mengangkat kabin sementara dengan menggunakan kren. Pasukan pembinaan serta kontraktor akan menggunakan kabin ini sebagai pejabat.
5 Mei 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Para pekerja mengumpulkan benda-benda yang masih boleh digunakan dan memasukkannya ke dalam tong kitar semula. Jawatankuasa Projek Pembinaan bermatlamat untuk mengeluarkan 95 peratus bahan buangan yang tidak berbahaya dari lokasi projek. Tetapi mereka telah berjaya melakukannya lebih daripada apa yang dijangkakan. Selain itu, 89 peratus reruntuhan, seperti batu bata, konkrit, dan kayu, dikumpulkan agar dapat digunakan semula untuk projek ini.
23 Mei 2016—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan
Seorang pekerja menutup saluran kabel dan paip di lokasi tempat tinggal sementara yang digunakan para pekerja pembinaan.
26 Mei 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Seorang kontraktor mengumpulkan contoh tanah untuk memastikan sama ada tanah tersebut sesuai digunakan untuk membina jalan di sekitar lokasi projek atau tidak.
31 Mei 2016—Gambaran lokasi pejabat cawangan
Pada 31 Mei 2016, reka bentuk ini diluluskan oleh Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Selain itu, reka bentuk bangunan ini juga sudah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan. Maka, projek pembinaan ini dapat diteruskan.
16 Jun 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Para pekerja mengeluarkan bendasing daripada tanah supaya tanah itu boleh digunakan semula. Hasilnya, kos untuk memindahkan tanah dan membeli tanah baharu dapat dikurangkan.
20 Jun 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Para pekerja membersihkan lokasi yang akan dijadikan jalan masuk utama. Kerja terus berlangsung walaupun hujan lebat selama sebulan menjadikan tempat itu berlumpur.
18 Julai 2016—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan
Air disemburkan ke atas jalan untuk mengurangkan habuk. Kawasan pembinaan yang bersih adalah sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh organisasi Considerate Constructors Scheme. Jawatankuasa Projek Pembinaan telah mendaftar dengan organisasi itu kerana ingin mematuhi garis panduan daripada pihak berkuasa tempatan dan kerana syarat-syarat yang ditetapkan organisasi tersebut selaras dengan prinsip Bible, iaitu untuk menghormati masyarakat dan jiran tetangga.
18 Julai 2016—Tapak sementara untuk menyelia kerja pembinaan
Seorang pekerja memotong rod besi yang akan digunakan untuk memasang paip bagi penyaman udara.
22 Julai 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Pekerja mengasingkan 20,000 meter padu tanah dan serpihan batu. Gambar menunjukkan tanah yang dimasukkan ke dalam mesin untuk proses pengasingan. Pelbagai saringan digunakan, dan serpihan yang bersaiz besar dan sederhana diasingkan, dan tanah yang halus turun ke bawah. Kemudian bahan yang telah diasingkan dimasukkan ke dalam tiga buah lori.
22 Julai 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Kontraktor memindahkan tanah supaya tapak pembinaan sesuai dengan reka bentuk bangunan.
18 Ogos 2016—Tapak pembinaan bagi pejabat cawangan
Di bahagian kiri tengah gambar menunjukkan kontraktor yang sudah meratakan permukaan tanah supaya kerja untuk membina asas bagi bangunan tempat tinggal dapat dimulakan. Di bahagian kiri atas gambar menunjukkan tempat tinggal sementara yang sudah disediakan bagi sebanyak 118 orang pekerja.