Galeri Foto Britain 5 (September 2017 hingga Februari 2018)
Dalam galeri foto ini, anda akan melihat kemajuan projek pembinaan pejabat cawangan baharu Saksi-Saksi Yehuwa di Britain dari September 2017 hingga Februari 2018.
6 September 2017—Kediaman C
Para pekerja menggunakan alat pembersih, mortar-joint raker dan brick jointer, untuk membersihkan sambungan bata. Kepingan-kepingan bata yang tipis dipasang pada rangka besi untuk menyembunyikan sokongan dinding besi.
20 September 2017—Kediaman D
Seorang pekerja mengukur dan menandakan kedudukan dinding luar sebuah apartmen. Sementara itu, di Kediaman F, yang terletak di belakang, para pekerja sedang menyiapkan kerja kayu bahagian dalaman bangunan.
27 September 2017—Kediaman F
Seorang pekerja menyembur air ke atas dinding sambil meratakan permukaannya. Untuk menjimatkan penggunaan air, kumpulan pembinaan mengumpulkan air daripada alat penyingkir kelembapan (dehumidifier) dan menggunakannya semula dalam campuran plaster dan turap.
3 Oktober 2017—Tapak pembinaan pejabat cawangan
Di luar Kediaman E, para kontraktor menurap jalan.
10 Oktober 2017—Kediaman F
Seorang pekerja yang berusia 71 tahun membina dinding bata Kediaman F. Sejak projek pembinaan ini bermula, lebih daripada 100 orang Saksi-Saksi Yehuwa yang berusia lebih daripada 70 tahun telah menyumbangkan kemahiran dan pengalaman mereka.
16 November 2017—Bangunan-bangunan kediaman
Semua bangunan kediaman akan dilengkapi dengan “bumbung hijau.” Para pekerja akan memasang bahan penebat pada bumbung, meletakkan lapisan kalis air di atasnya, dan memasang sistem saliran air. Kemudian mereka akan menabur benih-benih tumbuhan tempatan. “Bumbung hijau” ini dapat membantu memelihara alam sekitar, mengurangkan kos tenaga, dan mengawal aliran air hujan. Di bahagian depan foto, terdapat asas bangunan Kediaman A dan asas sebahagian daripada kompleks pejabat.
21 November 2017—Kediaman F
Para pekerja memasang bingkai pintu besi yang telah disiapkan pada pintu masuk sebuah apartmen. Sebelum dihantar ke tapak pembinaan, bingkai-bingkai ini dan pintunya telah dicat dan dipasang dengan kunci dan engsel. Hal ini memudahkan kerja pemasangan.
28 November 2017—Bangunan Pejabat
Pada waktu petang, para kontraktor menyediakan asas bangunan pejabat. Mereka menggali lubang sedalam kira-kira 20 meter, mengisinya dengan konkrit, dan menancapkan tetulang keluli ke dalam konkrit itu. Kediaman B dapat dilihat pada bahagian belakang foto.
5 Disember 2017—Kediaman E
Seorang pekerja memasang pemegang paip yang mempunyai lapisan penebat pada siling tempat letak kereta. Siling itu juga dilapisi dengan bahan penebat haba agar kediaman di tingkat atas tidak menjadi terlalu sejuk.
8 Disember 2017—Kediaman F
Seorang pekerja mengempelas dinding sebelum permukaan dinding ditutupi dengan lapisan vinil. Lubang-lubang kecil pada pengempelas itu dapat menyedut habuk yang dihasilkan.
21 Disember 2017—Tapak pembinaan pejabat cawangan
Dua orang pekerja menyiapkan jalan dengan menggunakan penyembur api. Mereka membakar lapisan sementara di celah-celah konkrit agar rumput dapat bertumbuh di antara celah-celah itu. Permukaan jalan ini dapat mengawal aliran air hujan.
26 Disember 2017—Kediaman F
Para pekerja menggunakan alat penyembur cat untuk menyembur lapisan cat yang terakhir pada dapur dalam sebuah apartmen.
28 Disember 2017—Kediaman F
Para pekerja menanggalkan perancah (scaffolding) agar balkoni dapat dipasang. Paip-paip berwarna merah membekalkan udara panas pada musim sejuk untuk mengeringkan lantai simen, dinding plaster, dan permukaan yang dicat.
16 Januari 2018—Kediaman F
Seorang pekerja mengeluarkan lubang udara yang terperangkap di bawah lapisan vinil pada dinding. Lapisan ini boleh dicuci, tahan lama, dan amat praktikal bagi kawasan yang dilalui banyak orang. Di bahagian belakang foto, pekerja-pekerja lain mengecat dinding dan memotong lapisan vinil.
27 Januari 2018—Kediaman E
Para pekerja menghadiri taklimat sebelum memulakan kerja mereka. Ketua kumpulan mengenal pasti beberapa hal yang berbahaya dan mengingatkan mereka untuk mengutamakan keselamatan. Pekerja daripada pelbagai bahagian menawarkan diri untuk bekerja lebih masa agar dapat membersihkan Kediaman F dan kawasan di sekitarnya sebelum penghuninya tiba.
1 Februari 2018—Kediaman F
Dengan menggunakan lif, para kontraktor menyiapkan kerja pemasangan balkoni di Kediaman F. Warna-warna balkoni dipilih untuk memudahkan orang untuk mengenal pasti bangunan kediaman, dan warnanya seperti warna daun-daun pada musim luruh. Di bahagian belakang foto, pembalut kalis air sedang ditanggalkan daripada Kediaman E sebelum perancah ditanggalkan.
3 Februari 2018—Kediaman-kediaman
Selepas waktu bekerja, sepasang suami isteri memindahkan barangan mereka ke dalam sebuah apartmen di Kediaman F, yang baru sahaja disiapkan pada hari sebelumnya. Dengan menempatkan para pekerja pembinaan dalam bangunan kediaman yang siap dibina, kos sewa rumah dan kos pengangkutan dapat dikurangkan, dan para pekerja juga lebih produktif.
12 Februari 2018—Kediaman A
Para kontraktor mengepam konkrit ke atas lantai tempat letak kereta pada waktu petang. Kediaman B kelihatan di bahagian belakang foto.
15 Februari 2018—Kediaman E
Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai tukang kayu sedang memotong kaunter dapur dengan menggunakan sebuah gergaji. Gergaji itu juga dilengkapi dengan sistem penyedut habuk. Kaunter itu tidak dipotong sebelumnya agar tidak rosak semasa diangkut ke lokasi pemasangan.