Melindungi Hidupan Liar dan Alam Sekitar di Warwick
Saksi-Saksi Yehuwa telah memulakan kerja pembinaan ibu pejabat sedunia yang baru berdekatan Tasik Sterling Forest (Tasik Biru) di kawasan terpencil New York. Bagaimanakah mereka melindungi hidupan liar dan alam sekitar di sana?
Saksi-Saksi Yehuwa membina pagar sementara di sekeliling tapak pembinaan untuk mencegah ular orok-orok, kura-kura jenis eastern box turtle, dan wood turtle daripada memasuki kawasan itu. Hal ini adalah supaya binatang itu tidak tercedera. Pagar tersebut sentiasa diperiksa untuk memastikan tiada haiwan dapat memasuki tapak pembinaan. Setelah kerja pembinaan selesai, pagar itu akan dibuka. Jika terdapat ular orok-orok di sekitar kawasan bangunan, ular itu akan dipindahkan dengan selamat oleh orang yang terlatih.
Pada musim-musim tertentu, burung eastern bluebird akan membuat sarang. Agar burung-burung itu tidak terganggu, pokok-pokok ditebang pada musim sejuk. Setelah kerja pembinaan di kawasan itu selesai, Saksi-Saksi Yehuwa akan memasang kotak sarang burung supaya burung-burung itu kembali.
Kerja-kerja pembersihan sesetengah tapak pembinaan dilakukan antara bulan Oktober dan Mac. Hal ini adalah supaya musim penyebaran dan percambahan benih bunga yang terancam, hyssop skullcap, tidak terganggu. Jadual ini masih dituruti walaupun bunga itu tidak dijumpai lagi di tapak pembinaan Warwick sejak tahun 2007.
Tasik Sterling Forest yang berdekatan dengan tapak pembinaan mempunyai pelbagai jenis angsa dan ikan seperti trout, bass, pickerel, serta perch. Pereka bangunan menggunakan pelbagai jenis teknologi pembinaan hijau untuk melindungi tasik itu. Salah satu cara adalah dengan menanam tumbuh-tumbuhan di atas bumbung bangunan. Cara ini dapat menapis bahan pencemaran daripada hujan dan mengurangkan aliran air hujan. Tumbuh-tumbuhan di sekitar tasik juga dipelihara dan dilindungi.
Seorang Saksi yang terlibat dalam projek ini berkata: “Walaupun kerja ini memerlukan banyak perancangan dan masa, kami bertekad untuk melindungi ekosistem di tapak pembinaan Warwick.”