Lompat ke kandungan

Sukarelawan Menyertai Projek Pengubahsuaian di Tuxedo

Sukarelawan Menyertai Projek Pengubahsuaian di Tuxedo

Pada jam 6:45 pagi, langit di Tuxedo, New York kelihatan kebiru-biruan, dan lapisan ais meliputi tasik kecil di sebelah sebuah bangunan bertingkat empat. Ramai kaum muda lelaki dan wanita memakai baju serta kasut keselamatan memasuki bangunan itu. Ada antara mereka yang datang dari hotel atau tempat penginapan yang berdekatan, dan ada yang datang dari bahagian lain di New York, seperti Paterson, Wallkill, dan Brooklyn yang jaraknya kira-kira 80 kilometer (50 batu) dari situ.

Kebanyakan daripada sukarelawan itu berasal dari serata Amerika Syarikat dan luar negara. Ada sukarelawan yang bekerja selama satu minggu, enam minggu, atau lebih lama lagi. Mereka membayar perbelanjaan sendiri untuk datang ke sini dan tidak meminta bayaran untuk khidmat mereka. Walaupun begitu, mereka masih gembira untuk berada di sini.

Kira-kira 120 orang sukarelawan berada di sini hari ini, tetapi bilangan mereka akan bertambah pada bulan-bulan akan datang. Mereka masuk ke dalam ruang makan yang penuh dengan aroma makanan dari dapur. Ada yang duduk di meja-meja yang setiap satunya boleh muat sepuluh orang, dan ramai juga yang membancuh kopi untuk diminum. Pada jam 7 pagi, televisyen menyiarkan perbincangan ayat Bible. Lima belas minit kemudian, pelayan pun menghidangkan sarapan seperti bakon, roti, telur dan oat. Banyak makanan tersedia untuk mereka.

Selepas makan dan doa penutupan, masa bekerja pun bermula. Mereka yang terlibat dengan kerja pembinaan berbual-bual dengan gembira semasa memakai topi, kaca mata, baju keselamatan, serta beg peralatan yang diikat pada pinggang mereka.

Tugas mereka adalah untuk mengubahsuai bangunan yang dahulunya dimiliki International Paper Company di Tuxedo. Bangunan itu akan digunakan sebagai tapak persiapan untuk projek pembinaan ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa, yang akan berlangsung di pekan Warwick yang tidak jauh dari situ. Bangunan yang tersedia digunakan untuk membina bilik kediaman, pejabat, bengkel, dan stor. Pada hari Selasa, 12 Mac 2013, pihak berkuasa Tuxedo telah meluluskan pelan pengubahsuaian itu.

Bagaimanakah sukarelawan sementara dialu-alukan apabila mereka tiba di tempat penginapan mereka? William yang berasal dari New Jersey berkata, “Apabila kamu mendaftar diri, saudara-saudara di lobi akan memberitahu maklumat asas seperti di mana bilik kamu, pengangkutan, dan cara menggunakan kunci. Semua orang rela membantu. Apabila kamu tiba di Tuxedo, kamu akan berjumpa dengan ketua krew selepas sarapan dan dia akan menjelaskan tugas kamu.”

Bagaimanakah rasanya berkhidmat di sini? Yajaira dan suaminya berasal dari Puerto Rico, mereka datang membantu memasang rangka dan dinding (drywall). Dia berkata, “Kami bangun jam 4:30 pagi. Kami perlu membersihkan apartmen, membancuh kopi, dan menaiki bas yang disediakan. Selepas habis kerja, kami memang berasa penat tetapi kami selalu ketawa. Semua orang di sini sangat gembira.”

Hartanah Warwick dikelilingi dengan hutan. Zach dan isterinya, Beth, berasal dari Minnesota. Mereka membantu menyediakan tapak Warwick. Semasa ditanya mengapa mereka datang ke sini, Beth berkata, “Kami yakin bahawa tujuan hidup yang terbaik adalah untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Kami ingin menggunakan kemahiran kami untuk berkhidmat kepada-Nya.”