Galeri Foto Wallkill 2 (November 2014 hingga November 2015)
Baru-baru ini, Saksi-Saksi Yehuwa telah menambah serta menaikkan taraf kemudahan mereka di Wallkill, New York. Dalam galeri foto ini, lihatlah bagaimana kemajuan projek pembinaan berlangsung dari November 2014 hingga November 2015.
4 Disember 2014—Bangunan Pejabat 2
Kerja landskap dan penurapan bagi jalan masuk ke dalam bangunan pejabat yang baharu ini sedang berlangsung. Kaki lima dilengkapi dengan alat pemanas supaya tidak menjadi licin pada musim sejuk. Pejabat Bethel, Pejabat Jawatankuasa Cawangan, dan Bahagian Kerja Penyebaran ditempatkan dalam bangunan ini.
5 Disember 2014—Kediaman D
Ahli Bahagian Rekaan Dalaman menggunakan mesin pengisar sebelum pemasangan lantai dilakukan. Mesin pengisar ini dipasangkan pada vakum untuk mengurangkan habuk.
9 Januari 2015—Kediaman E
Bilik yang berbentuk rotunda telah diubahsuai untuk menyambut tetamu. Terdapat lebih daripada 200 ahli Bethel yang tinggal di Kediaman E. Pengubahsuaian bangunan ini termasuklah pemasangan tingkap yang boleh menjimatkan tenaga dan juga sistem penggera kebakaran yang baharu.
9 Februari 2015—Bangunan percetakan
Seorang juruteknik sedang memasang wayar untuk alat telekomunikasi bagi Bahagian Latihan Teknikal. Bahagian ini melatih para pekerja tentang keselamatan dan cara menyelenggarakan paip serta alat elektrik.
17 Februari 2015—Bangunan percetakan
Seorang juruelektrik memasang lampu LED di kemudahan baharu bagi Bahagian Latihan Teknikal.
2 Mac 2015—Bangunan Pejabat 1
Seorang pekerja memeriksa jarak antara konduit elektrik. Kawasan ini diubahsuai untuk menempatkan pejabat-pejabat yang dipindahkan dari Brooklyn.
3 Mac 2015—Kediaman D
Seorang tukang paip menyediakan beberapa batang paip yang kemudiannya akan digunakan untuk saluran air panas.
31 Mac 2015—Kediaman D
Pekerja Bahagian Rekaan Luaran sedang menebat tingkap supaya menjadi kedap udara. Terdapat sebanyak 298 tingkap pada bangunan ini yang dapat membantu penjimatan tenaga pada musim panas dan musim sejuk.
17 April 2015—Bangunan Pejabat 1
Dengan menggunakan batu-batu yang asal sejak tahun 1970-an, para pekerja sedang membina sebuah dinding di tempat letak kereta, di antara Bangunan Pejabat 1 dan Kediaman E.
17 April 2015—Bangunan Pejabat 1
Seorang pekerja menggosok dinding sebelum dinding itu dicat. Bahagian Perakaunan, Komputer, dan Pembelian akan ditempatkan di bangunan yang diubahsuai ini.
8 Jun 2015—Kediaman D
Seorang juruelektrik menarik wayar ke bumbung untuk menyambungkannya pada pengalir kilat. Apabila kilat menyambar, pengalir kilat itu akan menyalurkan tenaga ke tanah, lalu melindungi bangunan itu.
8 Jun 2015—Kediaman D
Semasa projek meluaskan kemudahan di Wallkill diadakan, banyak usaha dicurahkan untuk memelihara persekitaran termasuklah pokok-pokok yang terdapat pada gambar ini. Menara air di sebelah kiri yang mempunyai kapasiti 150,000 liter digunakan untuk membekalkan air serta mengawal kebakaran yang mungkin berlaku.
25 Jun 2015—Bangunan Pejabat 1
Seorang tukang kayu memasang sebanyak 1,800 bongkah kayu cherrywood pada dinding belakang auditorium. Bongkah kayu ini yang mempunyai pelbagai ketebalan boleh mengurangkan pantulan bunyi.
9 Julai 2015—Bangunan Pejabat 2
Charles Reed telah berkhidmat di Bethel sejak tahun 1958. Dia telah membantu memasang tapak konkrit untuk mesin cetak semasa Bethel Brooklyn menghasilkan bahan bacaan bagi Amerika Syarikat serta negara-negara lain. Semasa projek meluaskan kemudahan di Wallkill diadakan, Saudara Reed bekerja dengan sekumpulan orang yang memeriksa mutu hasil kerja.
17 Ogos 2015—Bangunan Pejabat 1
Pekerja membawa kerusi-kerusi baharu ke auditorium yang akan mempunyai sebanyak 812 tempat duduk.
21 September 2015—Bangunan Pejabat 1
Kerja pengubahsuaian pada auditorium merangkumi pemasangan beberapa skrin video dan juga siling akustik.
12 Oktober 2015—Kediaman D
Ruang kerja jururawat telah dipasang di tempat rawatan yang telah diubahsuai. Demi menjaga keperluan para pesakit, laluan koridor dan tandas juga telah diluaskan.
15 Oktober 2015—Tapak pembinaan
Pandangan dari atas kompleks Wallkill, merangkumi kediaman keluarga Bethel yang berjumlah 2,000 ahli. Kebanyakan kerja meluaskan kemudahan di sana yang melibatkan keluasan 102,000 meter persegi telah pun siap pada 30 November 2015.