Ratusan Suara dalam Rakaman Audio Bible yang Percuma
“Menarik, merangsang fikiran, pembacaan yang bersemangat.”
“Menjadikan kisah-kisah Bible jelas terbayang di dalam minda.”
“Mempesonakan! Kisah-kisah Bible kini menjadi lebih nyata.”
Itulah beberapa komen yang biasa diberikan oleh mereka yang telah mendengar rakaman audio Bible bagi buku Matius, dalam bahasa Inggeris, di jw.org.
Pada tahun 1978, Saksi-Saksi Yehuwa mula menghasilkan versi rakaman audio Bible yang pertama. Kemudian, rakaman audio bagi sebahagian atau keseluruhan Bible telah dihasilkan dalam 20 bahasa.
Oleh sebab Bible New World Translation edisi 2013 telah dikeluarkan, rakaman audio Bible juga perlu dirakam semula. Versi rakaman audio yang sebelumnya mengandungi suara tiga orang pembaca sahaja. Tetapi rakaman audio yang baru mengandungi suara yang berlainan bagi lebih daripada 1,000 watak Bible.
Suara yang berlainan ini membantu pendengar membayangkan peristiwa yang tercatat dalam Bible. Walaupun tidak mempunyai kesan bunyi dan muzik seperti pembacaan Bible yang dramatik, rakaman ini dapat menyampaikan apa yang berlaku dalam kisah Bible dengan baik, seolah-olah pendengar sedang menyaksikan kisah itu.
Projek yang melibatkan begitu ramai pembaca ini memerlukan perancangan yang teliti. Pada mulanya, kajian perlu dilakukan untuk memastikan siapa yang sedang bercakap dan makna serta perasaan yang ingin disampaikan dalam setiap petikan. Sebagai contoh, jika petikan Bible menunjukkan bahawa seorang rasul sedang bercakap, tetapi namanya tidak disebut secara spesifik, suara siapakah yang harus digunakan? Jika nada kata-kata itu membawa perasaan ragu-ragu, mungkin suara watak Tomas akan digunakan. Jika dialog itu menunjukkan bahawa orang yang bercakap itu mempunyai sifat terburu-buru, suara watak Petrus mungkin digunakan.
Umur watak yang sedang bercakap juga perlu diambil kira. Bagi rasul Yohanes yang muda, suara seorang pemuda diperlukan. Bagi rasul Yohanes yang sudah tua pula, suara lelaki yang lebih tua akan digunakan.
Selain itu, pembaca yang baik diperlukan. Kebanyakannya dipilih daripada mereka yang berkhidmat di ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Syarikat. Uji bakat akan diadakan bagi mereka yang mungkin digunakan untuk rakaman. Para pembaca diminta untuk membuat persiapan dan membaca perenggan yang telah dipilih dalam majalah Sedarlah! Mereka juga akan membaca dialog dalam Bible yang menyampaikan emosi seperti kemarahan, kekecewaan, sukacita, atau dukacita. Melalui uji bakat ini, kebolehan pembaca boleh dinilai dan bahagian petikan yang paling sesuai boleh ditentukan untuk mereka.
Selepas tugasan diberikan, para pembaca akan pergi ke salah satu studio rakaman di Brooklyn atau Paterson untuk merakam pembacaan mereka. Seorang penyelia akan memastikan bahawa pembacaan disampaikan dengan nada atau suara yang bersesuaian. Penyelia dan pembaca akan menggunakan skrip khas yang telah disediakan agar pembaca tahu tempat untuk berjeda dan bahagian yang perlu ditekankan. Penyelia juga menggunakan rakaman audio New World Translation yang lepas sebagai rujukan.
Sesetengah penyuntingan dilakukan di studio semasa sesi rakaman. Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, para penyunting kadangkala perlu mencantumkan kata-kata atau ayat daripada beberapa rakaman.
Jangka masa yang diperlukan untuk merakam seluruh Bible New World Translation edisi 2013 tidak diketahui. Namun, apabila sebuah buku dalam Bible siap dirakam, rakaman itu akan dimuat naik ke jw.org dan ikon audio akan dipaparkan di sebelah nama buku Bible pada laman yang bertajuk, “Books of the Bible.”