Lompat ke kandungan

Buku Kejadian Kini Terdapat dalam Bahasa Isyarat Amerika

Buku Kejadian Kini Terdapat dalam Bahasa Isyarat Amerika

HADIRIN yang pekak melambai-lambaikan tangan ketika pengumuman berikut dibuat: “Anda pasti gembira untuk tahu bahawa beberapa buku Bible daripada Kitab Ibrani [Perjanjian Lama] sedang diterjemahkan. Rakaman [video] untuk buku Kejadian sudah disiapkan!”

Pengumuman itu telah dibuat dalam Bahasa Isyarat Amerika semasa ceramah terakhir untuk konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa baru-baru ini.

Pada tahun 2005, Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru ke dalam Bahasa Isyarat Amerika, bermula dengan buku Matius. Pada tahun 2010, kesemua 27 buku yang lazimnya dikenali sebagai Perjanjian Baru telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Amerika.

Saksi-Saksi Yehuwa juga telah menterjemahkan buku-buku Bible ke dalam lima bahasa isyarat yang lain.

Mengapakah mereka bersusah payah berbuat demikian? Saksi-Saksi Yehuwa sedar bahawa bahan bacaan yang dicetak menggunakan bahasa percakapan yang tidak pernah digunakan oleh banyak orang pekak. Jika Bible diterjemahkan dengan tepat, jelas, dan natural ke dalam bahasa isyarat, lebih banyak orang pekak dapat membacanya dan menjadi sahabat akrab Tuhan. Adakah terjemahan Bible ini disambut baik?

Seorang pemuda yang pekak berkata, “Semasa buku Matius dikeluarkan beberapa tahun yang lalu, saya berasa bahawa itulah bukti bahawa Tuhan Yehuwa mengasihi saya. Semasa buku Kejadian dikeluarkan, perasaan itu telah bertambah kuat. Tuhan sedang memastikan agar saya dapat mengenalinya.”

Seorang wanita yang pekak berkata, “Bahasa isyarat yang digunakan sangat jelas dan penuh dengan perasaan! Saya sudah jatuh cinta dengan Bible. Saya nampak Yehuwa mahu saya membaca Firman-Nya mengikut konteks, ayat demi ayat, supaya pemahaman saya tentang-Nya menjadi lebih lengkap. Terjemahan yang jelas itu menyentuh hati saya. Semasa berdoa, saya dapat meluahkan perasaan saya kepada Tuhan dengan lebih baik.”