Lompat ke kandungan

Bible Setebal Enam Kaki

Bible Setebal Enam Kaki

Sebelum anda memesan Bible Braille daripada Saksi-Saksi Yehuwa, pastikan anda mempunyai ruang yang mencukupi untuk menyimpannya. Seluruh Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru telah diterbitkan dalam Braille bagi bahasa Inggeris, Belanda, Itali, Portugis, dan Sepanyol. Bible Braille mempunyai 18 hingga 28 jilid dan memerlukan ruang rak buku yang berukuran sekurang-kurangnya dua meter (6 kaki 5 inci) panjang!

Terdapat format lain yang dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada orang buta. Berbanding dengan Bible Braille dalam bentuk buku, format-format ini tidak mengambil ruang yang besar. Contohnya, Braille note taker merupakan sejenis alat elektronik yang dapat menghasilkan huruf Braille, dan membolehkan orang buta membuat catatan dan mencari semula maklumat yang diingini. Terdapat satu lagi alat elektronik yang boleh digunakan, iaitu pembaca skrin. Alat ini dapat membantu orang buta mencari dan mendengar rakaman bagi bahan bacaan. Pembaca skrin akan membaca teks yang dipaparkan pada skrin.

Selain itu, para Saksi telah menghasilkan program komputer yang dapat mengubah teks ke dalam Braille bagi pelbagai bahasa. Mula-mula, suatu jadual yang mengandungi teks biasa dan huruf Braille harus disediakan. Kemudian, program itu akan mengubah teks biasa ke dalam Braille dan menyusun teks bagi bahan bacaan tersebut agar orang buta dapat membacanya dengan mudah. Dengan adanya program ini, Bible dan bahan bacaan Braille dapat dihasilkan ke dalam mana-mana bahasa yang mempunyai huruf Braille, termasuk bahasa yang tidak menggunakan tulisan Rumi.

Selama lebih daripada 100 tahun, para Saksi telah menghasilkan bahan bacaan Bible dalam bentuk Braille. Kini, bahan bacaan Braille terdapat dalam lebih daripada 19 bahasa. Meskipun bahan bacaan ini adalah percuma, kebanyakan orang buta memberikan derma sukarela.

Sebelum ini, apabila terdapat bahan bacaan baru dikeluarkan semasa konvensyen, hadirin dimaklumkan bahawa bahan bacaan baru dalam Braille boleh dipesan pada kemudian hari. Pada tahun yang lalu, pejabat cawangan Amerika Syarikat telah membuat suatu tinjauan untuk mengetahui mana satu konvensyen yang akan dihadiri oleh orang buta. Tinjauan juga dibuat untuk mengenal pasti jenis format bahan bacaan Braille (cetakan, fail elektronik note taker, atau fail elektronik pembaca skrin) yang biasa digunakan oleh orang buta.

Bahan bacaan Braille dalam bentuk cetakan akan dihantar ke konvensyen yang dihadiri oleh mereka yang buta. Maka, mereka yang buta juga dapat menerima bahan bacaan yang baru serentak dengan hadirin yang lain. Kemudian, bentuk elektronik bagi bahan bacaan tersebut akan dihantar menerusi e-mel kepada mereka seminggu selepas konvensyen.

Salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa yang buta berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat menerima bahan bacaan baru seperti orang lain di konvensyen. Mazmur 37:4 berkata bahawa Yehuwa akan memuaskan keinginan hati kita. Yehuwa memang berbuat demikian semasa konvensyen ini!” Seorang lagi lelaki buta berkata, “Mereka benar-benar berfikir tentang saya. Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia menjaga kami dengan baik sekali.”