Lompat ke kandungan

Brosur Bergambar yang Terdapat dalam Berbilang Bahasa

Brosur Bergambar yang Terdapat dalam Berbilang Bahasa

Odval tinggal di Mongolia. Dia tidak tahu berapa umurnya, tetapi dia berasa bahawa dia dilahirkan pada tahun 1921. Pada usia yang muda, dia menjaga ternakan ibu bapanya, dan dia hanya menghadiri sekolah selama setahun. Dia seorang yang buta huruf. Namun, dengan menggunakan sebuah brosur yang berwarna-warni, Odval dapat mengenal Tuhan dan mempelajari tentang harapan bagi orang yang mendengar cakap-Nya. Hatinya tersentuh setelah mempelajari hal ini.

Brosur tersebut diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 2011 dan disediakan dalam dua versi. Kedua-dua brosur tersebut mengandungi gambar yang menarik, tetapi jumlah perkataan adalah berbeza.

Tidak lama lagi, brosur Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya akan disediakan dalam 583 bahasa, manakala brosur Dengarlah Cakap Tuhan, yang lebih ringkas, akan disediakan dalam 483 bahasa. Setakat ini, hampir 80 juta naskhah bagi kedua-dua brosur ini telah diedarkan. Sebagai perbandingan, bagaimana pula dengan dokumen Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Menjelang Oktober 2013, dokumen tersebut hanya disediakan dalam 413 bahasa.

Di Brazil, seorang wanita yang lanjut usia gembira menerima brosur Dengarlah Cakap Tuhan. Dia berkata, “Saya gembira kerana ada orang yang mengambil berat terhadap orang seperti saya. Saya tidak pernah mengambil majalah kamu kerana saya buta huruf. Tetapi saya mahu brosur ini.”

Di Perancis, seorang wanita buta huruf yang bernama Brigitte berkata, “Setiap hari saya melihat gambar-gambar dalam brosur ini.”

Di Afrika Selatan, seorang Saksi menulis, “Saya mendapati bahawa brosur ini sangat baik untuk mengongsi kebenaran Bible kepada orang Cina. Saya pernah menginjil kepada lulusan universiti, orang yang berpendidikan, dan juga orang yang tidak pandai membaca. Brosur Dengarlah Cakap Tuhan dan Hidup Selama-lamanya membantu saya mengongsi ajaran Bible yang asas. Hal ini dapat dilakukan dalam masa setengah jam.”

Di Jerman, dua orang Saksi mengadakan pembelajaran Bible dengan sepasang suami isteri yang berpendidikan. Suami tersebut sangat menyukai brosur ini dan berkata, “Kenapa kamu tidak beri saya brosur ini sejak awal lagi? Brosur ini bantu saya faham tentang kisah Bible dan ajarannya dengan mudah.”

Di Australia, seorang wanita yang pekak berkata, “Selama bertahun-tahun saya tinggal bersama biarawati. Saya sangat rapat dengan pemimpin gereja. Tetapi tidak seorang pun yang mengajar saya tentang Kerajaan Tuhan. Gambar-gambar di dalam brosur ini membantu saya memahami maksud sebenar ayat Matius 6:​10.”

Di Kanada, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa menulis, “Apabila brosur Dengarlah Cakap Tuhan disediakan dalam bahasa Krio, kebanyakan daripada masyarakat Sierra Leone di Kanada memuji Saksi-Saksi Yehuwa kerana rajin mengongsi mesej Bible. Ada yang berkata, ‘Kamu tidak seperti orang lain. Kamu sangat prihatin.’”