“Lebih Baik daripada Wayang”
Setiap tahun, Saksi-Saksi Yehuwa menghasilkan banyak video untuk ditayangkan semasa konvensyen mereka. Kebanyakan video tersebut dirakamkan dalam bahasa Inggeris. Jadi, bagaimanakah orang yang menghadiri konvensyen dalam ratusan bahasa, selain bahasa Inggeris, dapat memahami video-video tersebut? Bagi kebanyakan video, proses alih suara, iaitu rakaman baharu dalam bahasa yang diingini, akan ditambahkan dalam video-video tersebut. Apakah kesannya terhadap para hadirin?
Reaksi Orang terhadap Video
Perhatikan luahan beberapa orang yang bukan Saksi, yang menghadiri konvensyen di Mexico dan Amerika Tengah:
“Saya bukan sahaja dapat memahami filem ini, tetapi juga menjiwainya. Video-video ini menyentuh hati saya.”—Hadirin konvensyen dalam bahasa Popoluca di Veracruz, Mexico.
“Saya rasa seolah-olah berada di kampung halaman sendiri dan berbual bersama kawan akrab. Video-video ini lebih baik daripada wayang lain sebab saya dapat memahaminya dengan sepenuhnya.”—Hadirin konvensyen dalam bahasa Nahuatl di Nuevo León, Mexico.
“Bila saya nampak video-video itu dalam bahasa saya, saya rasa watak dalam video itu seperti sedang bercakap kepada saya.”—Hadirin konvensyen dalam bahasa Chol di Tabasco, Mexico.
“Organisasi ini mahu bantu orang belajar dalam bahasa ibunda sendiri. Tiada organisasi lain seperti ini!”—Hadirin konvensyen dalam bahasa Cakchiquel di Sololá, Guatemala.
Saksi-Saksi Yehuwa tidak mengupah juruteknik yang terlatih atau menggunakan suara pelakon yang mahir. Rakaman mereka juga biasanya dilakukan di tempat terpencil dan di kawasan yang kurang membangun. Jadi, bagaimanakah mereka dapat menghasilkan rakaman yang berkualiti?
“Kerja yang Paling Memuaskan”
Belakangan ini, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Tengah telah menyelia kerja mengalih suara bagi video-video konvensyen ke dalam bahasa Sepanyol dan 38 bahasa peribumi. Kira-kira 2,500 sukarelawan telah menghulurkan bantuan. Juruteknik dan pasukan terjemahan tempatan membuat rakaman di pejabat cawangan, di pejabat terjemahan, atau di lokasi lain yang menggunakan studio sementara. Secara keseluruhan, pasukan terjemahan telah membuat rakaman di lebih daripada 20 kawasan di Belize, Guatemala, Honduras, Mexico, dan Panama.
Para sukarelawan perlu bekerja keras dan perlu kreatif untuk membina studio sementara. Bilik yang kalis bunyi perlu dibina dengan menggunakan apa sahaja bahan-bahan yang boleh didapati di kawasan tempatan, termasuklah selimut dan tilam.
Banyak orang yang menyumbangkan suara bagi video-video dalam bahasa peribumi merupakan orang yang hidup sederhana. Jadi mereka perlu membuat pengorbanan besar untuk datang ke studio rakaman yang terdekat. Ada antara mereka yang perlu membuat perjalanan selama 14 jam! Ada seorang ayah dan anaknya bahkan perlu berjalan kaki kira-kira lapan jam untuk sampai ke studio.
Dari kecil, Naomi telah membantu keluarganya untuk membina studio-studio sementara. Dia menceritakan, “Kami selalu menanti-nantikan hari untuk rakaman. Bapa saya bekerja keras untuk menyelia kerja itu. Kadangkala, ibu saya akan memasak bagi 30 orang sukarelawan.” Kini, Naomi menjadi sukarelawan di salah sebuah pejabat terjemahan di Mexico. Dia berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat curahkan masa untuk membantu orang mendengar mesej Bible dalam bahasa ibunda mereka. Inilah kerja yang paling memuaskan.”
Setiap tahun, Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan konvensyen di serata dunia yang terbuka kepada umum. Lihat bahagian KONVENSYEN untuk mendapat maklumat lanjut.