Lompat ke kandungan

Sebuah Bible yang Tahan Lama

Sebuah Bible yang Tahan Lama

Bible ialah buku yang terpenting bagi Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka selalu mengkaji Bible dan menggunakannya untuk mengajar orang tentang Kerajaan Tuhan. (Matius 24:14) Oleh sebab mereka sering menggunakan Bible, para Saksi berusaha sedaya upaya agar Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru edisi 2013 bukan sahaja cantik malah tahan lama.

Bible baru itu haruslah tahan lasak. Jadi wakil dari bahagian percetakan Saksi-Saksi Yehuwa di Wallkill, New York, A.S. bertemu dengan pengarah syarikat penjilid buku dan membincangkan rancangan mereka untuk menghasilkan Bible tersebut. Pengarah syarikat itu berkata, “Memang mustahil untuk menghasilkan Bible yang anda mahu. Hakikatnya, kebanyakan Bible dihasilkan hanya untuk menghiasi meja atau rak buku, tetapi sebenarnya tidak tahan lama.”

Sesetengah terbitan awal bagi Terjemahan Dunia Baru tidak tahan lasak, bahkan ada yang rosak apabila terdedah kepada cuaca yang panas. Mereka yang bekerja di bahagian percetakan mengkaji kulit buku, bahan pelekat, dan cara menjilid buku agar dapat menghasilkan Bible yang lebih tahan lasak. Berdasarkan kajian mereka, beberapa naskhah Bible dihasilkan dan diuji di negara-negara yang bercuaca panas dan sejuk.

Enam bulan kemudian, kesemua Bible itu telah dipulangkan untuk dikaji semula. Selepas membuat perubahan yang diperlukan, beberapa lagi naskhah Bible dihasilkan untuk diuji. Secara keseluruhannya, sebanyak 1,697 naskhah Bible telah diuji. Sewaktu kajian ini dijalankan, beberapa buah Bible telah mengalami keadaan yang ekstrem. Misalnya, sebuah Bible terkena hujan kerana tertinggal di luar sepanjang malam, dan sebuah Bible lain pula tenggelam dalam banjir akibat taufan yang melanda kawasan itu. Semua kejadian ini dan kajian yang dilakukan telah membantu para Saksi mengetahui sama ada Bible yang dihasilkan tahan lasak atau tidak.

Pada tahun 2011, semasa kajian masih dijalankan, para Saksi telah membeli mesin penjilid berkelajuan tinggi untuk bahagian percetakan di Wallkill dan Ebina, Jepun. Mereka bukan sahaja perlu mencetak jumlah Bible yang banyak tetapi mereka harus memastikan Bible yang dicetak di kedua-dua lokasi ini adalah serupa.

Masalah Kulit Buku yang Melengkung

Pada awal tahun 2012, bahagian percetakan di Wallkill dan Ebina mula mencetak Terjemahan Dunia Baru edisi 1984. Kulit buku Bible yang berwarna hitam dan merah diperbuat daripada poliuretana. Malangnya, mesin percetakan baru tersebut menggunakan bahan pelekat dan pelapik untuk kulit buku yang belum pernah diuji. Akibatnya, kulit buku segera melengkung apabila dilekatkan pada Bible. Oleh sebab masalah ini tidak dapat diselesaikan, kerja percetakan telah dihentikan buat sementara.

Sebuah syarikat yang menghasilkan salah satu bahan untuk kulit buku mengatakan bahawa masalah ini memang biasa berlaku, dan adalah susah untuk menghasilkan kulit buku yang lembut dan tidak melengkung. Namun para Saksi tidak ingin menggunakan kulit buku yang keras. Sebaliknya, mereka bertekad untuk menghasilkan Bible yang berkulit lembut dan kelihatan cantik. Setelah mencuba pelbagai jenis bahan pelekat dan pelapik selama empat bulan, akhirnya mereka berjaya menghasilkan kulit buku Bible yang tidak lagi melengkung. Kerja percetakan juga dapat diteruskan semula.

Kerja Percetakan Tergendala Sekali Lagi

Pada bulan September 2012, bahagian percetakan menerima arahan untuk menghentikan kerja percetakan Bible edisi 1984, dan mengedarkan semua Bible yang ada dalam stok mereka. Mereka perlu menunggu sehingga Terjemahan Dunia Baru edisi 2013 siap untuk dicetak dan dikeluarkan pada 5 Oktober 2013, semasa mesyuarat tahunan Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania.

Pada Jumaat, 9 Ogos 2013, bahagian percetakan menerima fail elektronik bagi Bible baru dan mula mencetak pada hari yang seterusnya. Pada 15 Ogos, Bible edisi 2013 yang pertama telah siap dicetak. Untuk memastikan agar semua orang yang menghadiri mesyuarat tahunan dapat menerima sebuah Bible, para pekerja di bahagian percetakan Wallkill dan Ebina bekerja siang malam selama tujuh minggu. Mereka telah menghasilkan dan mengirim lebih daripada 1,600,000 naskhah Bible.

Bible edisi 2013 bukan sahaja cantik dan tahan lasak, tetapi mesejnya yang dapat memberikan kehidupan adalah jauh lebih bernilai. Sehari selepas menerima Bible baru, seorang wanita di Amerika Syarikat menulis, “Edisi baru ini telah membantu saya lebih memahami Bible.”