Lompat ke kandungan

Penterjemahan Tanpa Kata-Kata

Penterjemahan Tanpa Kata-Kata

Saksi-Saksi Yehuwa menterjemahkan bahan-bahan Bible daripada bahasa Inggeris ke dalam lebih daripada 900 bahasa. Kerja penterjemahan ini memang amat mencabar. Namun, kerja penterjemahan ke dalam bahasa isyarat memerlukan lebih banyak usaha. Biasanya, orang pekak berkomunikasi melalui isyarat tangan dan raut wajah. Maka para penterjemah harus menterjemahkan bahan yang disediakan dalam bentuk teks ke dalam video. Melalui kaedah ini, para Saksi telah menterjemahkan bahan bacaan ke dalam lebih daripada 90 bahasa isyarat yang berbeza.

Siapa yang membantu dalam kerja menterjemah?

Para Saksi yang berkhidmat sebagai penterjemah, tidak kira dalam bahasa yang dituturkan atau bahasa isyarat, harus fasih dalam bahasa sasaran. Kebanyakan penterjemah untuk bahasa isyarat merupakan orang pekak dan menggunakan bahasa isyarat sejak kecil. Ada juga yang tidak mempunyai masalah pendengaran, tetapi mereka membesar dengan ahli keluarga yang pekak. Para penterjemah ini sangat gemar mempelajari Bible.

Para penterjemah baharu juga menerima latihan dan diajar prinsip-prinsip untuk kerja penterjemahan. Contohnya, Andrew berkata, “Sejak kecil, saya menghadiri sekolah untuk orang pekak dan menggunakan bahasa isyarat. Tetapi latihan untuk para penterjemah ini telah mengajar saya struktur tatabahasa untuk bahasa isyarat. Penterjemah yang lain juga membantu saya untuk menggunakan isyarat tangan, raut wajah, dan pergerakan, dengan lebih mahir supaya dapat menyampaikan mesej dengan tepat.”

Memastikan mutu kerja yang tinggi

Para penterjemah bekerja secara berkumpulan. Setiap orang melakukan peranan tertentu, sama ada menterjemah, memeriksa, dan menonton atau membaca semula bahan yang telah diterjemahkan. Mereka juga berusaha mendapatkan maklum balas daripada panel yang merupakan orang pekak daripada pelbagai latar belakang. Langkah ini sangat penting untuk meningkatkan mutu penterjemahan. Hasilnya, penterjemah dapat menggunakan raut wajah dan isyarat yang bersesuaian, dan memastikan bahawa mesej yang ingin disampaikan adalah jelas dan tepat.

Para penterjemah Bahasa Isyarat Finland sedang membincangkan bahan yang perlu diterjemahkan

Lazimnya, para penterjemah akan menghadiri perjumpaan sidang bahasa isyarat. Mereka juga mengajar orang pekak yang lain tentang Bible. Dengan demikian, mereka dapat mengasah kemahiran untuk menggunakan bahasa isyarat.

Seorang penterjemah Bahasa Isyarat Brazil sedang merakam hasil penterjemahan ke dalam bentuk video

Mengapakah begitu banyak usaha dicurahkan?

Bible menunjukkan bahawa orang “daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa” akan menerima berita dan harapan yang disampaikan dalam Firman Tuhan. (Wahyu 7:9) Sudah pasti, mereka juga termasuk orang yang menggunakan bahasa isyarat.

Para penterjemah berbesar hati untuk menggunakan masa dan kemahiran dalam kerja yang bermakna ini. Tony, seorang penterjemah, berkata, “Saya seorang yang pekak. Jadi saya dapat faham cabaran yang dialami orang pekak. Selama ini, saya memang berhasrat untuk memberitahu harapan daripada Bible kepada sebanyak orang pekak yang mungkin.”

Seorang lagi penterjemah bahasa isyarat yang bernama Amanda menambah, “Saya rasa kerja menterjemahkan mesej Bible untuk orang pekak sangat bermakna dan membawa jauh lebih banyak manfaat berbanding kerja yang saya lakukan dulu.”

Bagaimanakah anda dapat mencari bahan dalam bahasa isyarat anda?

Terdapat bantuan yang disediakan dalam bahagian “Cari Maklumat dalam Bahasa Isyarat.” Anda boleh mengikut langkah-langkah yang dinyatakan untuk mencari video bahasa isyarat di laman web jw.org.