Kerja Penterjemahan di Mexico dan Amerika Tengah
Di Mexico dan Amerika Tengah, kira-kira 290 orang penterjemah, yang tinggal di enam buah negara, menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam lebih daripada 60 bahasa. Mengapakah kerja penterjemahan ini dijalankan dalam skala yang begitu besar? Hal ini demikian kerana hati orang akan tersentuh apabila mereka menerima bahan bacaan Bible yang ditulis dalam bahasa yang difahami oleh mereka.—1 Korintus 14:9.
Untuk meningkatkan mutu penterjemahan, sesetengah penterjemah yang bekerja di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Bandar Raya Mexico telah berpindah ke kawasan yang menggunakan bahasa yang diterjemahkan oleh mereka. Apakah hasilnya? Para penterjemah dapat berkomunikasi dengan penutur asli bahasa itu, dan hal ini membantu mereka untuk menghasilkan terjemahan yang mudah difahami.
Apakah perasaan para penterjemah tentang perubahan itu? Federico, seorang penterjemah bahasa Guerrero Nahuatl, berkata, “Selama hampir 10 tahun di Bandar Raya Mexico, saya hanya menjumpai sebuah keluarga yang menuturkan bahasa saya. Tetapi sekarang, di pekan-pekan sekitar pejabat penterjemahan, hampir semua orang menuturkan bahasa saya!”
Karin, seorang penterjemah bahasa Low German di Chihuahua, Mexico, berkata, “Oleh sebab saya tinggal dalam komuniti pengikut Menno, saya dapat mengikuti perkembangan bahasa mereka. Mereka tinggal di sebuah pekan yang kecil dan bekerja di situ. Apabila saya melihat ke luar tingkap, saya dapat melihat orang yang akan meraih manfaat daripada kerja penterjemahan yang kami lakukan di sini.”
Neyfi, yang kini berada di pejabat penterjemahan di Mérida, Mexico, berkata, “Apabila kami mengadakan pembelajaran Bible dalam bahasa Maya, kami dapat mengenal pasti ungkapan-ungkapan yang susah difahami orang Maya. Jadi semasa menjalankan kerja penterjemahan, kami akan menterjemahkannya dalam cara yang lebih mudah difahami.”
Apakah manfaat yang diraih oleh orang yang membaca hasil terjemahan ini? Mari kita lihat kisah Elena. Bahasa ibunda Elena ialah bahasa Tlapanec. Selama kira-kira 40 tahun, dia menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa secara tetap. Tetapi memandangkan perjumpaan-perjumpaan itu diadakan dalam bahasa Sepanyol, dia tidak dapat memahami apa yang didengarnya. Dia berkata, “Saya hanya tahu bahawa saya patut pergi ke perjumpaan.” Tetapi setelah dia mempelajari Bible dengan menggunakan brosur dalam bahasa Tlapanec, dia semakin mengasihi Tuhan. Hasilnya, dia membaktikan diri dan dibaptis pada tahun 2013. Elena berkata, “Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana Dia membenarkan saya untuk memahami Bible.”