Lompat ke kandungan

Menghasilkan Gambar yang Mengindahkan Bahan Bacaan

Menghasilkan Gambar yang Mengindahkan Bahan Bacaan

Bagaimanakah jurugambar kami menghasilkan gambar yang sesuai dengan teks dan yang mengindahkan bahan bacaan kami? Untuk memahami langkah-langkahnya, sila perhatikan bagaimana muka depan majalah Sedarlah! terbitan September 2015 direka dan dihasilkan. a

  • Rekaan. Selepas membaca rencana “A Balanced View of Money” (Pandangan yang Seimbang tentang Wang), para pereka di Bahagian Seni, yang terletak di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, New York, membuat lakaran untuk menggambarkan teks tersebut. Kemudian mereka menghantar lakaran-lakaran itu kepada Jawatankuasa Penulisan di bawah penyeliaan Badan Pimpinan, yang telah memilih lakaran yang sesuai digunakan sebagai asas bagi penggambaran.

    Beberapa rekaan muka depan yang dihantar kepada Jawatankuasa Penulisan

  • Lokasi. Para jurugambar kami tidak mengadakan sesi penggambaran di sebuah bank. Sebaliknya, mereka menggunakan sebuah lobi di Pusat Pendidikan Watchtower. b

  • Pemilihan watak. Semua calon yang terlibat merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka berlakon sebagai pelanggan sebuah bank yang terletak di kawasan bandar raya. Rekod-rekod disimpan agar calon yang sama tidak muncul terlalu banyak kali dalam bahan bacaan kami.

  • Peralatan. Bahagian Seni mendapatkan mata wang asing agar bank tersebut kelihatan seolah-olah di luar Amerika Syarikat. Para jurugambar menggunakan pelbagai peralatan agar keadaannya digambarkan dengan lebih tepat. “Semuanya mesti dirancang dengan teliti,” kata jurugambar yang bernama Craig.

  • Pakaian dan dandanan. Untuk sesi penggambaran sebuah bank, semua calon membawa pakaian sendiri. Namun jika latarnya ialah pada zaman kuno atau jika pakaian seragam tertentu diperlukan, Bahagian Seni akan membuat penyelidikan lalu menyediakan kostum yang sesuai. Jurusolek akan menyolekkan seseorang itu sesuai dengan latar, konteks, dan zaman yang ingin digambarkan. Craig berkata, “Disebabkan paparan gambar beresolusi tinggi dewasa ini, kami perlu sangat teliti. Bahkan kesalahan kecil pun akan merosakkan gambar.”

  • Sesi penggambaran. Para jurugambar memastikan agar pencahayaan yang sesuai digunakan untuk menggambarkan sebuah bank pada waktu siang. Bagi setiap sesi penggambaran, para jurugambar mesti memastikan agar pencahayaan yang digunakan tepat (menggambarkan cahaya matahari, cahaya bulan, atau cahaya palsu), dan agar pencahayaan itu sesuai dengan pencahayaan yang sudah ada di lokasi penggambaran dan sesuai dengan suasana yang ingin disampaikan. “Gambar bukan macam video, hanya ada satu imej untuk menggambarkan suatu suasana dengan baik, jadi pencahayaan sangat penting,” kata Craig.

  • Penyuntingan. Setelah itu, para penyunting memastikan mata wang yang digunakan dalam gambar itu dikaburkan agar pembaca berfokus pada orang dan bukannya dari mana asalnya mata wang tersebut. Pintu dan bingkai tingkap yang pada asalnya berwarna merah telah diubah kepada warna hijau. Dengan itu, gambarnya kelihatan sepadan dengan warna keseluruhan majalah itu.

Selain daripada penggambaran yang dibuat di Paterson, pejabat cawangan di seluruh dunia, iaitu di Afrika Selatan, Australia, Brazil, Jepun, Jerman, Kanada, Korea, Malawi, dan Mexico, mempunyai jurugambar yang boleh menghasilkan gambar bagi bahan bacaan kami. Setiap bulan, Bahagian Seni di Paterson menambahkan kira-kira 2,500 gambar ke dalam pangkalan data mereka. Kebanyakan daripada gambar itu diterbitkan dalam majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! Pada tahun 2015, jumlah edaran bagi kedua-dua majalah itu adalah sebanyak 115 juta naskhah setiap bulan. Anda dialu-alukan untuk melawat pejabat kami di Paterson, New York, atau mana-mana pejabat cawangan di serata dunia untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Menawarkan majalah semasa kerja penyebaran

a Banyak gambar diambil untuk suatu muka depan, namun bukan semuanya digunakan. Tetapi lebihan gambar yang diambil itu disimpan dalam pangkalan data dan digunakan untuk projek lain.

b Jika gambar perlu diambil di suatu jalan, Bahagian Seni sering kali perlu memohon permit daripada pihak berkuasa. Mereka perlu melaporkan bilangan orang yang terlibat, jumlah peralatan yang diperlukan, dan jenis pencahayaan yang akan digunakan.