Lompat ke kandungan

Estonia Mengiktiraf “Satu Pencapaian yang Sangat Menakjubkan”

Estonia Mengiktiraf “Satu Pencapaian yang Sangat Menakjubkan”

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Estonia telah dicalonkan untuk anugerah Language Deed of the Year Award 2014 di Estonia. Selepas keputusan muktamad, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baru menduduki tempat ketiga antara 18 calon bagi anugerah itu.

Terjemahan Alkitab yang baru ini dikeluarkan pada 8 Ogos 2014 dan telah dicalonkan bagi anugerah tersebut oleh Kristiina Ross, seorang pakar bahasa di Institut Bahasa Estonia. Menurutnya, Terjemahan Dunia Baru “senang dan menarik untuk dibaca.” Dia menambah, “Usaha yang dicurahkan untuk menghasilkan Alkitab ini telah meningkatkan mutu bidang penterjemahan bahasa Estonia.” Rein Veidemann, seorang profesor dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan Estonia, menyatakan bahawa terjemahan ini ialah “satu pencapaian yang sangat menakjubkan.”

Alkitab Estonia yang pertama telah diterbitkan pada tahun 1739. Sejak itu, beberapa terjemahan Alkitab dalam bahasa Estonia telah pun dihasilkan. Jadi, mengapakah Terjemahan Dunia Baru merupakan “satu pencapaian yang sangat menakjubkan”?

Tepat. Sebuah Alkitab Estonia yang terkenal, yang diterbitkan pada tahun 1988, menterjemahkan nama Tuhan sebagai “Jehoova” (Yehuwa). Dalam Alkitab itu, nama Tuhan muncul sebanyak lebih daripada 6,800 kali dalam Kitab Ibrani (Perjanjian Lama). a Begitu juga dengan Terjemahan Dunia Baru dalam bahasa Estonia, tetapi bukan itu sahaja. Jika terdapat bukti yang jelas, Terjemahan Dunia Baru telah menggunakan nama ilahi ini dalam Kitab Yunani Kristian (Perjanjian Baru).

Jelas. Adakah Terjemahan Dunia Baru tepat dan mudah dibaca? Seorang penterjemah Alkitab yang ternama, Toomas Paul, menulis di akhbar Eesti Kirik (Gereja Estonia) bahawa Terjemahan Dunia Baru “berjaya diterjemahkan ke dalam bahasa Estonia yang mudah dibaca.” Dia juga menambah, “Percayalah, inilah kali pertama matlamat ini tercapai.”

Terjemahan Estonia membawa manfaat

Sambutan orang Estonia terhadap Terjemahan Dunia Baru sangat menggalakkan. Sebuah stesen radio kebangsaan telah menyiarkan satu program khas untuk Alkitab ini yang berlangsung selama 40 minit. Pemimpin gereja dan ahli-ahlinya telah menghubungi Saksi-Saksi Yehuwa untuk mendapatkan Alkitab ini. Sebuah sekolah elit di Tallinn juga memohon 20 naskhah Terjemahan Dunia Baru untuk digunakan dalam kelas mereka. Orang Estonia gemar membaca dan Saksi-Saksi Yehuwa berbesar hati untuk menyediakan terjemahan yang tepat dan jelas bagi buku yang terunggul di dunia.

a Selepas menjelaskan bagaimana orang Estonia mula menyebut nama ilahi sebagai “Jehoova,” ketua bahagian Kajian Perjanjian Baru di Universiti Tartu, Ain Riistan, menyimpulkan, “Saya rasa perkataan Jehoova memang sesuai digunakan hari ini. . . . Nama ini sangat penting dan membawa makna yang mendalam bagi banyak generasi​—Jehoova ialah nama Tuhan yang mengutus Anak-Nya untuk menyelamatkan umat manusia.”