Video dalam Ratusan Bahasa
Saksi-Saksi Yehuwa telah menterjemahkan bahan terbitan mereka ke dalam banyak bahasa. Pada bulan November 2014, kami telah menterjemahkan Bible ke dalam 125 bahasa dan bahan-bahan bacaan Bible ke dalam 742 bahasa. Kami juga menterjemahkan video. Pada bulan Januari 2015, video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? boleh didapati dalam 398 bahasa, dan video Mengapa Belajar Bible? dalam 569 bahasa. Mengapakah kami menghasilkan video-video ini dalam pelbagai bahasa? Bagaimanakah kami melakukannya?
Pada bulan Mac 2014, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa mengarahkan pejabat cawangan di serata dunia untuk menghasilkan rakaman audio dalam pelbagai bahasa. Rakaman itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam video yang tersedia. Tujuannya adalah untuk membantu lebih banyak orang mempelajari Bible.
Terdapat beberapa langkah yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah video. Pertama, kumpulan penterjemahan tempatan akan menterjemahkan skrip video itu ke dalam bahasa tempatan. Selepas para penutur asli bahasa itu dipilih untuk menyumbangkan suara bagi setiap watak dalam skrip, kumpulan audio/video akan merakam suara mereka. Kemudian kumpulan audio/video akan menyunting hasil rakaman itu dan memproses teks yang akan muncul di skrin. Akhirnya, rakaman audio, teks, dan video akan digabungkan bersama lalu dimuat naik ke dalam laman web.
Sesetengah pejabat cawangan mempunyai studio rakaman sendiri dan orang yang terlatih untuk melaksanakan tugas ini. Tetapi bagaimana pula jika orang yang menuturkan suatu bahasa tinggal di tempat yang terpencil? Bagaimanakah kami menghasilkan video dalam bahasa itu?
Di serata dunia, petugas audio menggunakan sistem rakaman mudah alih untuk menjalankan tugas ini. Dengan menggunakan mikrofon dan komputer riba yang mempunyai perisian rakaman audio, petugas itu akan mendirikan satu studio rakaman sementara di pejabat, Dewan Perjumpaan, atau rumah. Para penutur asli bahasa pula akan ditugaskan untuk membaca, mengarah, dan memeriksa hasil rakaman. Apabila rakaman suara siap, petugas audio akan mengemaskan semua peralatannya dan pergi ke lokasi yang seterusnya.
Kaedah ini telah membolehkan kami menghasilkan video dalam lebih banyak bahasa, iaitu tiga kali lebih banyak berbanding sebelumnya.
Video-video kami mendapat sambutan hangat, kerana bagi banyak orang, video kami ialah video pertama yang ditonton oleh mereka dalam bahasa mereka sendiri.
Salah satu bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa Pitjantjatjara, yang dituturkan oleh lebih daripada 2,500 orang di Australia. Rakaman bahasa itu telah dilakukan di Alice Springs, sebuah pekan di utara Australia. “Video-video ini mendapat sambutan yang amat baik,” kata Callan Thomas, yang telah membantu menghasilkan rakaman audionya. Dia menyambung, “Orang tempatan asyik melihat skrin dan menanya di mana mereka dapat mencari lebih banyak video sebegini. Mereka jarang mendapat bahan bacaan dalam bahasa mereka. Jadi sewaktu mereka mendengar rakaman dan terutama menonton videonya, mereka berasa sangat kagum.”
Di Cameroon, dua orang Saksi-Saksi Yehuwa yang menyusuri sungai dalam sebuah perahu berhenti di sebuah perkampungan orang Pigmi. Mereka bercakap dengan ketua kampung di situ, yang juga merupakan seorang guru. Apabila mereka mendapati bahawa ketua kampung itu pandai bercakap bahasa Bassa, mereka pun menunjukkan video Mengapa Belajar Bible? kepadanya. Dia amat kagum dengan video itu dan meminta bahan bacaan daripada mereka.
Di sebuah kampung di Indonesia, seorang pemimpin agama tempatan menentang Saksi-Saksi Yehuwa, dan membakar semua bahan bacaan yang telah diedarkan oleh mereka di kampung itu. Penduduk kampung yang lain juga mengugut untuk membakar Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Tidak lama kemudian, empat orang polis pergi ke rumah seorang Saksi-Saksi Yehuwa dan menyoal siasat Saksi itu dan keluarganya. Mereka ingin tahu apa yang berlaku di dalam Dewan Perjumpaan. Maka Saksi itu menunjukkan video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? dalam bahasa Indonesia kepada mereka.
Selepas menonton video itu, salah seorang polis berkata, “Sekarang barulah saya sedar bahawa orang lain salah faham terhadap kamu, dan mereka juga tidak memahami organisasi kamu.” Seorang lagi polis berkata, “Bolehkah kamu beri saya video ini? Saya ingin menunjukkannya kepada orang lain. Video ini akan membantu orang memahami organisasi kamu.” Kini pihak polis berpandangan positif terhadap Saksi-Saksi Yehuwa dan melindungi mereka.
Jika anda belum lagi menonton video-video ini dalam bahasa anda, kami ingin menjemput anda untuk berbuat demikian.