Badan Pimpinan Menggalakkan Saudara Saudari di Rusia dan Ukraine
“Kami dilimpahi kasih!” kata seorang wanita di Ukraine setelah dia mendengar surat yang penting yang dibacakan oleh Saudara Stephen Lett, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Sebanyak 165,000 orang Saksi-Saksi Yehuwa telah mendengar ceramah Saudara Lett semasa lawatannya ke Ukraine pada 10 dan 11 Mei 2014.
Ceramah Bible dan pembacaan surat itu telah diterjemahkan ke dalam lima bahasa dan disiarkan di kira-kira 700 buah Dewan Perjumpaan di seluruh Ukraine.
Pada masa yang sama, Saudara Mark Sanderson, yang juga seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, telah membaca surat itu kepada saudara saudari kita di Rusia. Program itu diterjemahkan ke dalam 14 bahasa, dan disiarkan di lebih daripada 2,500 sidang di Belarus dan Rusia. Seramai 180,413 orang telah menghadiri program itu.
Surat itu ditulis oleh Badan Pimpinan dan ditujukan kepada semua sidang di Rusia dan Ukraine. Setelah Saudara Sanderson membaca surat itu dalam bahasa Rusia, pejabat cawangan Rusia menulis, “Saudara dan saudari dapat merasai keprihatinan Badan Pimpinan, dan hal ini amat menyentuh hati mereka. Kami semua berasa seperti dipeluk erat oleh Badan Pimpinan.”
Surat itu bertujuan untuk melegakan hati dan menguatkan Saksi-Saksi Yehuwa yang tinggal di kawasan yang mengalami pergolakan politik. Surat itu menggalakkan mereka untuk tetap neutral dari segi politik dan tidak menjadi “sebahagian daripada dunia.”—Yohanes 17:16.
Selain itu, Badan Pimpinan mengingatkan rakan seiman kita bahawa mereka haruslah selalu berdoa, dan mempelajari dan merenungkan Firman Tuhan agar mereka dapat terus mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Mereka juga diingatkan bahawa tidak kira apa cubaan yang melanda mereka, mereka dapat yakin bahawa Yehuwa pasti akan menunaikan janji-Nya yang tercatat di Yesaya 54:17: “Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna.”
Badan Pimpinan mengakhiri surat mereka dengan menulis, “Kami amat mengasihi kamu. Yakinlah bahawa kami selalu berfikir tentang kamu dan bahawa kami akan sentiasa berdoa kepada Yehuwa bagi pihak kamu.”
Berkenaan lawatan-lawatan itu, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Ukraine menulis, “Saudara saudari amat tersentuh dengan kasih dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Badan Pimpinan. Kehadiran Saudara Lett dan Saudara Sanderson di Ukraine dan Rusia telah menonjolkan perpaduan umat Tuhan dan membuktikan kasih Yehuwa dan Yesus kepada saudara saudari di sini. Kami semua berasa bahawa mereka telah melawat kami tepat pada masanya. Sekarang kami dikuatkan untuk terus menyembah Yehuwa tidak kira apa pun cabaran yang melanda kami.”