Lompat ke kandungan

Pemberian Berupa 19,000 Penerbangan

Pemberian Berupa 19,000 Penerbangan

Pada Julai 2013, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa telah menghantar sepucuk surat yang sangat menarik kepada para mubaligh dan semua pekhidmat sepenuh masa di luar negara. Surat itu menyatakan aturan untuk membantu semua yang sedang berkhidmat di luar negara agar dapat menghadiri konvensyen serantau dan konvensyen antarabangsa yang akan berlangsung pada tahun 2014 sehingga awal tahun 2015.

Aturan ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu mereka yang sedang berkhidmat di luar negara untuk menghadiri konvensyen, tetapi membolehkan mereka meluangkan masa bersama keluarga atau sahabat. Surat ini juga menyatakan bahawa kos penerbangan mereka akan dibiayai dengan sepenuhnya.

Aturan pada tahun ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Di bawah penyeliaan Badan Pimpinan, Jawatankuasa Mengajar telah menubuhkan World Headquarters (WHQ) Travel yang bertanggungjawab untuk menempah tiket penerbangan.

WHQ Travel menerima permintaan daripada pekhidmat khas sepenuh masa sebaik sahaja surat jemputan dihantar. Pada Januari 2014, WHQ Travel telah dibanjiri dengan permintaan untuk tiket penerbangan. Mereka yang bertugas di bahagian itu mencari dan membuat tempahan untuk pekhidmat khas sepenuh masa dari seluruh dunia.

Aturan bagi sesetengah penerbangan agak mencabar. Contohnya, tiket diperlukan untuk penerbangan dari Reykjavík, Iceland, ke Cochabamba, Bolivia. Terdapat juga mereka yang memerlukan tiket penerbangan dari Nouméa, New Caledonia, ke Antananarivo, Madagascar. Ada yang perlu melakukan perjalanan dari Port Moresby, Papua New Guinea, ke Seattle, Washington, A.S., dan ada pula yang pergi ke Winnipeg, Kanada, dari Ouagadougou, Burkina Faso.

Seramai lima orang yang bertugas di bahagian WHQ Travel telah membuat tempahan bagi 19,000 penerbangan. Mereka menggunakan dana yang disumbangkan oleh sidang-sidang dan tiket penerbangan telah dihantar kepada kira-kira 4,300 orang dari 176 negara.

Para pekhidmat sepenuh masa sangat menghargai aturan ini. Sepasang suami isteri yang merupakan mubaligh menulis, “Hari ini, kami akan pulang ke tempat kami berkhidmat, iaitu di Asia Tenggara. Kami sangat berterima kasih atas bantuan anda yang membolehkan kami untuk pulang ke negara asal kami, England, dan kami dapat bersama dengan keluarga kami buat kali pertama dalam masa lima tahun. Tanpa aturan ini, kami tidak mungkin dapat melakukan perjalanan ini. Terima kasih kepada semua yang telah membantu kami!”

Seorang mubaligh yang berkhidmat di Paraguay menulis, “Saya dan isteri ingin merakamkan penghargaan kami yang mendalam kerana berpeluang menghadiri konvensyen antarabangsa di New Jersey, A.S. Kami mula merancang untuk melawat ibu pejabat sedunia di Amerika Syarikat pada awal tahun 2011 dan telah mengumpulkan wang untuk perjalanan ini. Tetapi, pada bulan Jun, kami menerima jemputan untuk melawat sidang-sidang bahasa isyarat di Paraguay dan tugas ini memerlukan kami membuat perjalanan yang jauh. Selepas memikirkannya, kami membuat keputusan untuk membatalkan perjalanan kami ke Amerika Syarikat. Kami menggunakan wang yang telah dikumpulkan itu untuk membeli sebuah kereta supaya kami dapat menjalankan tugas kami dengan lebih berkesan. Kemudian, kami menerima jemputan untuk menghadiri konvensyen antarabangsa. Impian kami menjadi kenyataan! Kami sangat bersyukur kepada Yehuwa atas kasih dan kebaikan-Nya yang ditunjukkan dalam cara ini.”

Sepasang suami isteri dari Malawi menulis, “Kami menghantar e-mel ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih! Kami tidak dapat bayangkan jumlah kerja, masa, dan perbelanjaan yang terlibat untuk menguruskan semua jadual perjalanan ini. Kami menghargai kerja keras anda, dan kami bersyukur atas kemurahan hati organisasi Yehuwa yang membolehkan kami pulang untuk menghadiri konvensyen antarabangsa serta meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat kami.”

Mereka yang berkhidmat di bahagian WHQ Travel menikmati tugas mereka. Mileivi berkata, “Membantu para mubaligh pulang ke kampung halaman untuk berjumpa dengan keluarga dan sahabat mereka ialah tugas yang sangat istimewa.” Dorise pula menambah, “Tugas ini membantu saya menghargai betapa dalamnya kasih yang ditunjukkan oleh organisasi kita kepada mereka yang berkhidmat di luar negara.” Rodney, penyelia bahagian ini, berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat melibatkan diri dalam projek ini.”

Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia gembira kerana berpeluang menyokong aturan ini agar saudara saudari mereka yang bekerja keras dan menunjukkan semangat rela berkorban dapat menerima pemberian ini.