Lompat ke kandungan

Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Latihan Gilead yang ke-137

Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Latihan Gilead yang ke-137

Pada 13 September 2014, majlis penyampaian sijil Sekolah Latihan Gilead yang ke-137 telah diadakan di pusat pendidikan Saksi-Saksi Yehuwa di Paterson, New York. Sekolah ini melatih para penginjil Saksi-Saksi Yehuwa yang berpengalaman agar mereka dapat menguatkan sidang dan pejabat cawangan tempatan. Seramai 12,333 orang menghadiri program ini di Paterson atau menerusi siaran langsung video di Amerika Syarikat, Jamaica, Kanada, dan Puerto Rico.

Saudara Samuel Herd, salah seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, merupakan pengerusi bagi program ini. Dalam kata-kata pembukaannya, dia menonjolkan betapa tingginya fikiran Yehuwa berbanding dengan fikiran manusia. (Yesaya 55:​8, 9) Dia berkata bahawa biarpun para pelajar Gilead telah mempelajari fikiran Tuhan selama lima bulan, “semua itu hanyalah sekelumit daripada perbuatan-Nya yang menakjubkan.” (Ayub 26:14) Saudara Herd turut mengatakan bahawa setiap kali kita berbincang tentang fikiran Tuhan, kita akan meraih manfaat, maka kita juga pasti akan meraih manfaat daripada program ini.

“Buah Kuasa Suci Tuhan ialah . . . Kesabaran.” (Galatia 5:​22) Kesabaran ialah salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan, dan Saudara John Larson, salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Amerika Syarikat, telah menyatakan dua cara kita dapat menunjukkannya. Pertama, kita perlu bersabar seraya Yehuwa melatih kita dan membantu kita untuk membina iman yang teguh. (1 Petrus 5:​10) Abraham merupakan contoh yang baik dalam hal ini. Dia menunjukkan kesabaran apabila Tuhan melatihnya, dan Tuhan telah menunaikan janji-Nya kepada Abraham.​—Ibrani 6:​15.

Kedua, kita perlu bersabar dengan diri kita sendiri. Setelah menerima latihan di Sekolah Gilead, para pelajar mungkin akan menetapkan piawaian yang terlalu tinggi untuk diri sendiri. Jadi jika sesuatu yang tidak terduga berlaku sewaktu mereka menjalankan tugasan mereka, mereka mungkin akan tertanya-tanya, “Apa yang tak kena dengan saya?” Berdasarkan pengalaman peribadinya, Saudara Larson meyakinkan mereka bahawa mereka dapat mengatasi cabaran jika mereka bersabar dan terus berkhidmat dengan rajin seraya Tuhan menyempurnakan latihan mereka.​—Ibrani 6:​11, 12.

“Semoga Kamu Tetap Rendah Hati dan Hidup buat Selama-lamanya!” Saudara Anthony Morris, salah seorang ahli Badan Pimpinan, mendasarkan ceramahnya pada bahagian akhir Mazmur 22:26, yang boleh diterjemahkan secara harfiah sebagai “semoga hati kamu hidup buat selama-lamanya.” Untuk menerima berkat ini, kita mesti bersikap rendah hati. Saudara Morris menekankan bahawa kita tidak berguna di mata Yehuwa jika kita tidak rendah hati. Sesiapa sahaja, bahkan orang Kristian yang telah lama dibaptis, mungkin akan lupa pentingnya untuk meniru keperibadian Kristus Yesus dan bersikap rendah hati.​—2 Petrus 1:9.

Bible menyebut tentang orang yang rendah hati dan orang yang sombong. Contohnya, Herodes Agripa yang sombong telah menerima pujian yang sepatutnya diberikan kepada Tuhan, maka malaikat Tuhan menyebabkannya “dimakan ulat lalu meninggal.” (Kisah 12:21-​23) Sebaliknya, Petrus tidak marah atau kecil hati semasa ditegur oleh Yesus kerana mempunyai ‘fikiran manusia, dan bukannya fikiran Tuhan.’ (Matius 16:21-​23) Dia menerima disiplin Yesus dan menjadi teladan baik dalam menunjukkan kerendahan hati.​—1 Petrus 5:5.

Sesetengah pelajar akan menerima tugasan untuk berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa, dan Saudara Morris mengingatkan mereka bahawa jika mereka tidak rendah hati, mereka akan merana. Tetapi susah bagi seseorang untuk menyedari bahawa dia tidak rendah hati. Untuk menekankan hal ini, Saudara Morris menceritakan bahawa seorang penatua, yang telah ditegur kerana bersikap sombong, menulis surat kepada pejabat cawangan dan berkata, “Saya tidak pernah berjumpa dengan orang yang begitu rendah hati seperti saya.” Saudara Morris menasihati para pelajar agar menghindari sikap sedemikian. Mereka dapat terus menunjukkan kerendahan hati jika mereka mempunyai pandangan yang seimbang terhadap kekuasaan yang diberikan kepada mereka dan sentiasa ingat bahawa Yehuwa dan Yesuslah yang benar-benar berkuasa.

“Tuhan Memberikan Kuasa Suci-Nya Secara Berlimpah-limpah.” (Yohanes 3:34) Saudara Michael Burnett, salah seorang pengajar Gilead, mengingatkan para pelajar bahawa kuasa suci Tuhan akan membantu mereka menghadapi cabaran dan keraguan yang timbul sewaktu mereka menjalankan tugasan mereka. Kuasa suci Tuhan telah membantu Bezaleel untuk mengatasi cabaran yang dihadapinya sewaktu dia membina khemah suci. (Keluaran 35:30-​35) Kuasa suci Tuhan bukan sahaja mengasah bakat semula jadi Bezaleel dalam bidang seni, kuasa suci Tuhan bahkan juga membolehkannya untuk mengajar orang lain. Kuasa suci Tuhan juga dapat membantu para lulusan Gilead dalam cara yang sama, terutamanya apabila mereka menggunakan Bible untuk mengajar orang.

Pada zaman Bezaleel, wanita Israel juga memainkan peranan penting dalam kerja membina khemah suci. (Keluaran 35:25, 26) Begitu juga, para saudari dalam kelas ini juga dapat menjadi “wanita yang mahir” seraya mereka menyokong suami mereka. Saudara Burnett mengakhiri ceramahnya dengan nasihat berikut: “Meskipun anda mempunyai banyak bakat, pastikan anda sentiasa rendah hati dan patuh. Jika anda berbuat demikian, Yehuwa akan memberikan kuasa suci-Nya kepada anda secara berlimpah-limpah.”

“Sudikah Anda Menari dengan Saya?” Saudara Mark Noumair, salah seorang pembantu dalam Jawatankuasa Mengajar, mengembangkan tema ceramahnya dengan membincangkan kisah Raja Daud membawa tabut perjanjian ke Yerusalem. (2 Samuel 6:​12-​14) Dengan rendah hati, Daud menari bersama “hamba-hamba perempuan milik para pegawainya” seraya tabut Yehuwa dibawa masuk ke kota. (2 Samuel 6:​20-​22) Hamba-hamba perempuan itu pasti tidak akan melupakan saatnya Raja Daud menari bersama mereka. Saudara Noumair kemudiannya menggalakkan para pelajar untuk mencontohi teladan Daud dan ‘menari bersama hamba-hamba perempuan.’ Dia menanya mereka, “Adakah anda dikenali sebagai orang yang suka membantu ahli-ahli sidang yang tidak mempunyai banyak tanggungjawab? . . . Adakah anda akan menghargai orang lain kerana sifat-sifat rohani mereka?”

Para lulusan sekolah sedang meniru teladan Yehuwa jika mereka terus menunjukkan kasih dan kesetiaan dalam cara sedemikian. (Mazmur 113:​6, 7) Biarpun orang lain di sekeliling mereka tidak rendah hati, mereka tidak patut membiarkan sikap buruk itu untuk mempengaruhi mereka. Saudara Noumair mengingatkan mereka agar tidak menganggap diri hebat, dan dia juga menasihati mereka, “Tirulah cara Yehuwa melayan kawanan-Nya.”

“Menginjil pada Setiap Kesempatan.” Saudara William Samuelson, salah seorang penyelia Bahagian Sekolah Teokratik, menyebut tentang Rasul Paulus yang menggunakan setiap kesempatan untuk menyebarkan berita baik. (Kisah 17:17) Saudara Samuelson kemudiannya menjemput para pelajar untuk melakonkan semula beberapa pengalaman mereka dalam kerja penyebaran semasa di Sekolah Gilead. Misalnya, sepasang suami isteri berjumpa dengan seorang kerani di pasar. Mereka menunggu sehingga dia kurang sibuk, dan kemudian menunjukkan video Mengapa Belajar Bible? kepadanya. Mereka juga menunjukkan laman web jw.org, dan memberitahunya bahawa dia dapat membaca maklumat dalam bahasa Lao, iaitu bahasa ibundanya. Pasangan itu dapat membuat kunjungan kembali dan mengadakan perbincangan yang selanjutnya dengan wanita itu.

“Terus Membuat Pengorbanan demi Kerajaan Tuhan.” Saudara William Nonkes, yang berkhidmat di Bahagian Kerja Penyebaran di pejabat cawangan Amerika Syarikat, menemu ramah empat orang pelajar. Biarpun mereka sudah menunjukkan semangat yang disebutkan di Yesaya 6:8 dengan memperluas khidmat mereka, sekolah ini telah melengkapi mereka untuk membuat lebih banyak pengorbanan demi Kerajaan Tuhan. Saudari Snolia Maseko menjelaskan bahawa Sekolah Gilead menunjukkan kepadanya aspek-aspek yang dapat dia perbaik, khasnya cara dia menggunakan masanya selepas bekerja sehari suntuk. Dia berkata, “Latihan dalam sekolah ini telah membantu saya memperbaik khidmat saya dan melakukan lebih banyak daripada apa yang sedang saya lakukan sekarang.” Saudara Dennis Nielsen pula menceritakan bagaimana Zefanya 3:​17 membantunya mengatasi rasa tawar hati dalam kerja penyebaran. Saudara Nielsen berkata, “Meskipun saya tidak mendapat sambutan yang baik semasa menginjil, saya harus ingat bahawa Yehuwa sedang bersorak dengan gembira.” Dia menyambung, “Saya juga patut bersukacita.”

“Perhatikanlah Burung di Langit.” (Matius 6:​26) Saudara Stephen Lett, salah seorang ahli Badan Pimpinan, menyampaikan ceramah utama program ini. Ceramahnya berdasarkan ajaran Yesus bahawa kita patut memerhatikan, atau melihat dengan teliti, burung di langit. Saudara Lett menyatakan beberapa pengajaran yang dapat kita peroleh jika kita berbuat demikian.​—Ayub 12:7.

Pertama, Yehuwa memberikan makanan kepada burung-burung itu, maka Dia pasti akan memenuhi keperluan hidup kita. Kita ialah sebahagian daripada “rumah tangga Tuhan,” dan Dia memberikan jaminan bahawa Dia akan ‘menyediakan keperluan orang di bawah jagaan-Nya.’ (1 Timotius 3:​15; 5:8) Tetapi kita juga perlu memainkan peranan kita. Sepertimana burung harus mencari makanan yang disediakan oleh Tuhan, kita juga harus terus “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan” untuk mendapat berkat-Nya.—Matius 6:​33.

Kedua, sepertimana burung akan memberikan amaran apabila menghadapi bahaya, kita juga harus memberikan amaran atau menasihati rakan seiman kita yang “mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya.” (Galatia 6:1) Kita juga memberikan amaran kepada orang lain tentang “hari Yehuwa” menerusi kerja penyebaran kita. (Zefanya 1:​14) Selain itu, Saudara Lett menjelaskan bahawa sepertimana burung yang berhijrah harus terbang merentasi gunung yang tinggi, kita juga dapat mengatasi cabaran yang menggunung tinggi dengan bantuan Yehuwa.​—Matius 17:20.

Kesimpulan. Selepas sijil diserahkan, salah seorang lulusan Gilead membaca sepucuk surat penghargaan daripada kelas mereka. Sebagai penutup, Saudara Herd menyamakan proses memupuk fikiran Yehuwa dalam hati kita dengan kerja menancapkan pasak ke dalam landasan kereta api. Pasak itu perlu dipalu beberapa kali agar masuk sepenuhnya ke dalam landasan. Begitu juga, para lulusan sekolah perlu terus merenungkan apa yang dipelajari oleh mereka di Sekolah Gilead. “Luangkan masa agar fikiran Yehuwa tertancap jauh dalam lubuk hati anda,” kata Saudara Herd. Kemudian dia menambah, “Ikutlah fikiran Tuhan, dan anda akan menjadi berkat kepada orang lain.”