Lompat ke kandungan

Majlis Lulusan Sekolah Latihan Gilead yang ke-136

Majlis Lulusan Sekolah Latihan Gilead yang ke-136

Selepas menyelesaikan kursus Bible yang dijalankan selama lima bulan, majlis lulusan Sekolah Gilead yang ke-136 telah diadakan pada hari Sabtu, 8 Mac 2014. Kursus ini telah membantu penyebar Saksi-Saksi Yehuwa yang berpengalaman untuk menyebar dengan lebih berkesan dan meneguhkan iman para Saksi yang lain. Sebanyak 11,548 orang menghadiri program ini di pusat pendidikan Saksi-Saksi Yehuwa di Paterson, New York, dan menerusi siaran video yang ditayangkan di Amerika Syarikat, Jamaica, Kanada, dan Puerto Rico.

“Hendaklah Kamu Memiliki Fikiran dan Sikap Ini.” Selaku pengerusi bagi program ini, Saudara David Splane, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa mengucapkan kata-kata pembukaannya dengan menyebut ayat di Filipi 2:​5-7: “Hendaklah kamu memiliki fikiran dan sikap seperti fikiran dan sikap Kristus Yesus.” Semasa di bumi, Yesus tidak mengutamakan kedudukan. Sebaliknya, dia dengan rendah hati melakukan kerja Tuhan.

Misalnya, Yesus menolak setiap godaan Iblis dengan berkata, “Ada tertulis.” Sebenarnya, Yesus sedang memetik kata-kata Musa yang diucapkan kepada bangsa Israel. (Matius 4:4, 7, 10; Ulangan 6:13, 16; 8:3) Sebagai Anak Tuhan, Yesus boleh menjawab Syaitan dengan menggunakan kata-kata sendiri. Namun, tindakan Yesus menunjukkan bahawa dia menghargai usaha Musa dalam menulis firman Tuhan. Begitu juga, kita harus menyedari kebolehan orang lain dan sentiasa memuji mereka dengan ikhlas.

Saudara Splane juga menjelaskan cara Yesus menunjukkan fikiran dan sikap yang betul semasa di bumi. Pada penghujung hayatnya, Yesus berdoa, “Aku sudah memuliakan Engkau di bumi dengan menyelesaikan kerja yang Engkau berikan kepadaku. Maka sekarang, ya Bapa, biarlah aku dimuliakan di sisi-Mu dengan kemuliaan yang aku miliki di sisi-Mu sebelum dunia ada.” (Yohanes 17:4, 5) Yesus tidak mengejar kedudukan yang lebih tinggi. Dia hanya menginginkan kedudukannya yang asal semasa kembali ke syurga. Begitu juga, pelajar Gilead harus meniru Yesus dengan bertumpu kepada tugasan mereka, dan bukannya kedudukan. Mereka juga harus bersikap puas walaupun tidak diberikan tanggungjawab tambahan apabila kembali ke tugasan mereka.

“Membuat Pengorbanan Tanpa Berasa Kesal.” Saudara William Malenfant, seorang pembantu kepada Jawatankuasa Mengajar di bawah arahan Badan Pimpinan, menggalakkan para pelajar untuk meniru semangat rela berkorban yang ditunjukkan oleh rasul Paulus. Walaupun Paulus sudah meninggalkan banyak perkara demi khidmat kepada Tuhan, dia tidak berasa kesal. Dia berkata, “Saya meninggalkan perkara-perkara lampau dan mencapai matlamat yang di hadapan.”​—Filipi 3:13, 14, Phillips.

Dengan membuat pengorbanan tanpa berasa kesal, para pelajar meniru umat Tuhan yang setia pada zaman kuno dan zaman moden. Saudara Malenfant memetik kata-kata Clara Gerber Moyer, seorang saudari yang berkhidmat kepada Yehuwa sejak kecil lagi. Saudari ini menulis, “Saya tidak pernah menyesal apabila mengenang khidmat saya selama lebih daripada 80 tahun. Ini memang suatu peluang istimewa! Jika saya dapat mengulangi hidup saya, saya akan memilih cara hidup yang sama.”

“Menyebar tentang Kerajaan Tuhan Bersama Malaikat dan sebagai Malaikat.” Saudara Gerrit Lösch, seorang ahli Badan Pimpinan, menjelaskan dua peluang istimewa yang dinikmati oleh para penyebar. Pertama, mereka berkhidmat sebagai malaikat Tuhan semasa membawa berita baik Kerajaan Tuhan, kerana perkataan “malaikat” dalam bahasa Ibrani dan Yunani bererti “utusan.” Kedua, seperti Filipus, kerja penyebaran yang dijalankan oleh para pelajar juga dibimbing oleh malaikat Tuhan.​—Kisah 8:26-35.

Saudara Lösch kemudian menceritakan beberapa pengalaman tentang kerja menginjil yang dilakukan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Salah satu pengalaman adalah tentang seorang Saksi dari Mexico yang bernama Gabino. Semasa menginjil, dia biasanya mengetuk pintu sebanyak satu atau dua kali sahaja. Tetapi pada hari itu, dia mengetuk pintu sebuah rumah sebanyak empat kali. Penghuni rumah itu keluar dan memberitahu Gabino bahawa dia hampir membunuh diri. Dia berkata, “Saya telah mengikat tali gantung pada leher saya. Tetapi, saya menanggalkannya kerana ingin membuka pintu. Terima kasih kerana terus mengetuk. Kalau tidak, saya sudah bunuh diri.”

Kebanyakan kejadian sebegini memang tidak berlaku secara kebetulan. Hal ini jelas membuktikan bahawa malaikat Tuhan sedang membimbing kerja penyebaran sedunia.​—Wahyu 14:6.

“Orang yang Dihormati Akan Diberkati.” Saudara Michael Burnett, seorang pengajar Gilead, menghuraikan tema ini dengan menggunakan contoh Yabes, seorang keturunan Yehuda “yang paling dihormati dalam keluarganya.” Yabes berdoa kepada Tuhan, ‘Ya Tuhan, berkatilah aku, dan berilah aku tanah yang luas. Sertailah aku dan jauhkanlah aku daripada kejahatan yang akan menyebabkan aku kesakitan.’​—1 Tawarikh 4:​9, 10.

Para pelajar boleh meniru contoh baik Yabes dengan berdoa secara spesifik. Mereka boleh meminta bantuan Tuhan agar mereka dapat melaksanakan tugasan selaras dengan latihan daripada Sekolah Gilead. Mereka juga boleh memohon bantuan Tuhan agar dapat bertahan semasa menghadapi kesedihan atau kesusahan, dan bukannya melindungi mereka daripada segala masalah. Sepertimana Tuhan telah menjawab doa Yabes, Dia juga akan berbuat demikian untuk para pelajar Gilead.

“Kekalkan Semangat yang Membara.” Saudara Mark Noumair, seorang pengajar Gilead dan juga pembantu kepada Jawatankuasa Mengajar, menyampaikan ceramahnya berdasarkan 1 Tesalonika 5:​16-​19. Sepertimana api memerlukan bahan bakar, oksigen, dan haba untuk bernyala, para pelajar juga memerlukan tiga perkara untuk memastikan semangat mereka terhadap kerja penyebaran terus membara.

Pertama, “hendaklah kamu sentiasa bersukacita.” (1 Tesalonika 5:​16) Hubungan yang erat dengan Yehuwa merupakan suatu berkat. Dengan merenungkan berkat ini, para pelajar akan lebih bersukacita dan bersemangat. Kedua, “berdoalah sentiasa.” (1 Tesalonika 5:​17) Doa bagaikan oksigen yang dapat memastikan api terus bernyala. Jadi, kita harus mencurahkan isi hati kita kepada Tuhan dalam doa. Ketiga, “ucapkanlah syukur untuk segala sesuatu.” (1 Tesalonika 5:​18) Hati yang penuh kesyukuran akan mengeratkan hubungan kita dengan Yehuwa dan rakan seiman. Saudara Noumair berkata, “Teruslah menunjukkan kesyukuran dan bukannya sikap suka mengkritik.”

“Memuji Yehuwa Bersama dengan Alam Semesta.” Saudara Sam Roberson, seorang pengajar sekolah teokratik, memulakan ceramahnya dengan menyebut ayat Bible yang menyatakan bahawa matahari, bulan, dan bintang memberikan pujian kepada Yehuwa. (Mazmur 19:2; 89:38; 148:3) Dia berkata bahawa para pelajar juga mempunyai peluang untuk memuji Yehuwa. Kemudian, para pelajar dijemput untuk melakonkan semula beberapa pengalaman semasa menjalankan kerja penyebaran. Misalnya, seorang pelajar Gilead menghentikan keretanya agar seorang lelaki yang menggunakan kerusi roda dapat melintasi jalan raya. Kemudian, lelaki itu mengucapkan terima kasih dan mereka pun mula berbual. Lelaki itu juga telah menerima tawaran pembelajaran Bible yang percuma. Dalam beberapa minggu yang seterusnya, pelajar Gilead tersebut berpeluang untuk menginjil kepada beberapa orang yang melawat lelaki itu semasa pembelajaran Bible mereka diadakan. Hasilnya, tujuh pembelajaran Bible yang lain telah dimulakan.

“Menjadi Semakin Kuat Menerusi Pendidikan daripada Tuhan.” Saudara Donald Gordon, seorang pembantu kepada Jawatankuasa Penerbitan, menemu ramah dua pasangan pelajar Gilead. Salah seorang saudara yang ditemu ramah menyatakan bahawa Efesus 3:16-20 sering digunakan semasa Sekolah Gilead. Ayat ini membantu pelajar untuk bersikap rendah hati, mudah didekati, dan menyedari bahawa Yehuwa masih mempunyai banyak kerja untuk setiap Saksi. Dengan ini, para pelajar dapat “menguatkan hati dan fikiran” mereka. Seorang saudari berkata bahawa dia menghargai galakan yang diberikan oleh seorang pengajar Gilead. Pengajar itu menggalakkan para pelajar agar menjadi seperti ikan kecil di dalam laut, bukannya seperti ikan besar yang tidak mempunyai ruang untuk membesar di dalam akuarium yang kecil. Saudari itu berkata, “Saya pelajari bahawa jika saya menjadi seperti orang yang berkedudukan rendah dalam organisasi Yehuwa, Tuhan akan membantu saya untuk bertumbuh secara rohani.”

“Semoga Yehuwa Mengingati Anda.” Saudara Mark Sanderson, seorang ahli Badan Pimpinan, menyampaikan ceramahnya berdasarkan doa Nehemia: ‘Ya Tuhan, ingatlah akan semua kebajikan yang sudah aku lakukan.’ (Nehemia 5:19; 13:31) Nehemia bukannya risau bahawa Yehuwa akan melupakan dia dan kerja yang dilakukannya untuk Tuhan. Sebaliknya, dia memohon agar Tuhan mengingatinya dengan penuh kasih dan memberkatinya.

Begitu juga, para pelajar boleh yakin bahawa Yehuwa akan mengingati mereka dengan penuh kasih jika mereka menerapkan ajaran yang diperoleh daripada Sekolah Gilead. Misalnya, ibadat mereka haruslah berdasarkan kasih kepada Yehuwa. (Markus 12:30) Abraham sangat mengasihi Yehuwa. Meskipun Abraham sudah lama meninggal, Tuhan masih mengingatinya dengan penuh kasih, bahkan memanggilnya sebagai “sahabat-Ku.”​—Yesaya 41:8.

Kemudian, Saudara Sanderson mengingatkan para pelajar untuk mengasihi orang lain, terutamanya rakan seiman mereka. (Markus 12:31) Seperti orang Samaria yang “mengasihi lelaki yang dirompak itu,” pelajar Gilead juga harus mengambil langkah pertama untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. (Lukas 10:36) Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut, dia menggunakan contoh Saudara Nicholas Kovalak, seorang lulusan Gilead yang pernah berkhidmat sebagai penyelia distrik. Saudara Kovalak dikenali sebagai seorang yang peramah dan pengasih. Pernah sekali dia menggalakkan seorang penyelia lawatan dan isterinya untuk lebih giat dalam kerja penyebaran dengan berkata, “Mula awal setiap pagi, setiap minggu, setiap bulan, dan setiap tahun.” Tetapi selepas memerhatikan isteri penyelia lawatan itu, dia berkata, “Lupakan saja apa yang saya cakap. Kamu sudah bekerja terlalu keras. Kamu perlu seimbang supaya dapat terus berkhidmat kepada Tuhan.” Nasihatnya yang mencerminkan sikap bertimbang rasa telah membantu saudari itu untuk terus menceburi khidmat sepenuh masa selama puluhan tahun.

Akhir sekali, Saudara Sanderson menggalakkan para pelajar untuk mengajar dan melatih orang lain. Dengan itu, mereka sedang memanfaatkan latihan yang diterima di Sekolah Gilead. (2 Timotius 2:2) Seraya mereka melaksanakan tugasan yang diberikan, mereka dapat mengukuhkan persaudaraan Kristian. Mereka juga boleh yakin bahawa Yehuwa akan mengingati mereka dengan penuh kasih.​—Mazmur 20:2-6.

Kesimpulan. Selepas menerima sijil mereka, salah seorang pelajar membaca surat penghargaan yang telah ditulis oleh para pelajar Gilead. Kemudian, 15 orang daripada pelajar Gilead tersebut mengakhiri program itu dengan menyanyikan sebuah lagu tanpa iringan alat muzik, lagu nombor 123 yang bertajuk “Gembala—Kurniaan Tuhan” daripada buku Nyanyilah kepada Yehuwa.