Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Saya Bukan Lagi Hamba Keganasan”

“Saya Bukan Lagi Hamba Keganasan”
  • Tahun Lahir: 1956

  • Negara Asal: Kanada

  • Latar Belakang: Putus harapan, hidup tidak bermoral, dan ganas

KISAH SILAM SAYA

 Saya lahir di Calgary, Kanada. Ibu bapa saya bercerai semasa saya masih bayi. Jadi saya dan ibu berpindah ke rumah datuk dan nenek saya. Mereka sangat sayang ibu dan saya. Pada masa itu, kehidupan saya sangat gembira. Saya ada kenangan yang manis semasa zaman kanak-kanak saya.

 Semasa berumur tujuh tahun, kami berpindah ke St. Louis, Missouri, di Amerika Syarikat kerana ibu berkahwin semula dengan ayah saya. Malangnya, hidup saya berubah sepenuhnya kerana ayah seorang yang sangat kejam. Contohnya, pada hari pertama di sekolah, saya dibuli tetapi saya tidak lawan balik. Apabila ayah tahu hal itu, dia sangat marah dan memukul saya dengan teruk! Sejak peristiwa itu, saya mula bersikap ganas dan suka bergaduh dengan orang lain walaupun saya hanya berumur tujuh tahun.

 Ibu saya juga selalu marah dan kecewa kerana sikap ayah yang panas baran. Jadi mereka selalu bertengkar dengan teruk. Semasa berumur 11 tahun, saya mula mengambil dadah dan minum alkohol. Saya juga selalu bergaduh dengan orang di jalanan. Selepas saya tamat sekolah, saya menjadi seorang yang sangat ganas.

 Semasa berumur 18 tahun, saya menyertai khidmat tentera laut Amerika Syarikat. Di sana, saya belajar cara-cara untuk mencederakan dan bahkan membunuh orang. Selepas lima tahun, saya berhenti menjadi tentera lalu saya belajar bidang psikologi kerana ingin menyertai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). Saya menghadiri universiti di Amerika Syarikat, tetapi kemudiannya saya pindah balik ke Kanada dan meneruskan pengajian saya di sana.

 Semasa di universiti, saya mula sedar bahawa semua orang hanya mementingkan diri sendiri. Segalanya dalam dunia ini sia-sia sahaja dan ada banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan. Saya tahu manusia tidak dapat menjadikan dunia ini lebih baik. Jadi saya rasa sangat kecewa dan putus harapan.

 Hidup saya tiada hala tuju, jadi saya mula menyalahgunakan alkohol dan dadah. Saya hidup hanya untuk berseronok. Saya menjadi tamak dan menggilakan wang dan seks. Saya juga semakin berani untuk mencari gaduh dengan orang, terutamanya selepas mendapat latihan sebagai tentera. Jika saya lihat hal yang tidak adil berlaku, saya akan bertindak mengikut cara sendiri untuk menegakkan keadilan. Namun hakikatnya ialah saya telah menjadi hamba kepada keganasan.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Pernah sekali, saya dan kawan-kawan berada di tingkat bawah tanah rumah saya untuk hisap dadah. Pada masa itu, kami juga sedang bersedia untuk membuat penghantaran dadah kepada pembeli. Tiba-tiba, kawan saya tanya jika saya percaya Tuhan. Jadi saya kata, “Kalau Tuhan menyebabkan penderitaan di dunia ini, saya tidak mahu tahu apa-apa tentang Dia.” Pada keesokan hari, semasa di tempat kerja baharu, seorang rakan sekerja yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa menanya saya, “Adakah kamu rasa Tuhan yang menyebabkan semua penderitaan di dunia ini?” Saya sangat terkejut sebab saya baru sahaja cakap tentang hal itu semalam, dan ini buat saya mahu tahu lebih lanjut lagi. Selama enam bulan, kami banyak berbincang tentang Bible dan dia menunjukkan jawapan kepada soalan tentang kehidupan.

 Sedihnya, tunang saya tidak mahu dengar tentang hal-hal yang saya pelajari. Pada suatu hari, saya beritahu dia bahawa saya telah menjemput para Saksi untuk datang mengajar kami tentang Bible. Selepas kerja pada keesokan harinya, saya pulang ke rumah. Betapa terkejutnya saya apabila saya mendapati tunang saya telah meninggalkan saya dan semua barangnya pun tiada lagi di rumah. Hati saya hancur berkecai dan saya tidak dapat menahan kesedihan saya. Pada saat itu, saya merayu dan meminta tolong daripada Yehuwa. Itulah kali pertama saya menggunakan nama peribadi Tuhan dalam doa saya.—Mazmur 83:18.

 Dua hari kemudian, saya mula belajar Bible dengan sepasang suami isteri Saksi. Selepas mereka beredar, saya sambung baca buku You Can Live Forever in Paradise on Earth. a Saya habis baca buku itu pada malam itu juga. Hati saya tersentuh setelah belajar tentang Yehuwa dan Anak-Nya, Yesus Kristus. Yehuwa penuh dengan belas kasihan dan Dia berasa sakit hati apabila melihat kita menderita. (Yesaya 63:9) Hal yang paling menyentuh hati saya ialah kasih Tuhan terhadap saya dan pengorbanan yang dibuat oleh Anak-Nya untuk saya. (1 Yohanes 4:10) Saya sedar bahawa Yehuwa sudah lama bersabar dengan saya “kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Petrus 3:9) Yehuwa benar-benar sedang memimpin saya kepada-Nya.—Yohanes 6:44.

 Pada minggu itu juga, saya mula menghadiri perjumpaan di sidang. Penampilan saya menakutkan, rambut saya panjang, dan telinga saya bertindik. Namun, para Saksi melayan saya seperti ahli keluarga mereka. Mereka memang orang Kristian yang sejati. Suasana di sana membuat saya terkenang zaman kanak-kanak saya, semasa saya tinggal bersama datuk dan nenek saya.

 Tidak lama kemudian, saya mula buat perubahan dalam hidup saya. Saya gunting rambut saya, menghentikan perbuatan yang tidak bermoral, dan tidak lagi menyalahgunakan dadah dan alkohol. (1 Korintus 6:9, 10; 11:14) Saya ingin menyenangkan hati Yehuwa. Sebaik sahaja saya tahu bahawa perbuatan saya melanggar prinsip Yehuwa, saya tidak akan berdalih atau mencari alasan. Sebaliknya, saya bertekad untuk mengubah fikiran dan tingkah laku saya dan tidak lagi melakukan perbuatan yang salah itu. Saya berkata kepada diri sendiri, “Saya tidak akan buat hal itu lagi.” Hasilnya, saya mula meraih manfaat kerana melakukan segala sesuatu mengikut cara Yehuwa. Pada 29 Julai 1989, iaitu enam bulan selepas pembelajaran Bible saya yang pertama, saya telah dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Bible telah mengubah keperibadian saya. Dahulu, saya selalu bertindak dengan ganas semasa berdepan dengan orang yang ganas. Tetapi sekarang, saya berusaha untuk “berdamai dengan semua orang.” (Roma 12:18) Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana mengurniakan kuasa suci dan Firman-Nya untuk membantu saya membuat perubahan.—Galatia 5:22, 23; Ibrani 4:12.

 Saya bukan lagi hamba kepada dadah, keganasan, dan keinginan yang tidak bermoral. Kini saya berusaha untuk menyenangkan Tuhan Yehuwa, memberi-Nya yang terbaik, dan berusaha membantu orang mengenali-Nya. Beberapa tahun selepas dibaptis, saya berpindah ke negara lain untuk menginjil di kawasan yang lebih memerlukan bantuan. Selama bertahun-tahun, saya menikmati sukacita kerana membantu orang mempelajari Bible dan mengubah hidup mereka. Saya juga gembira kerana perubahan dalam hidup saya telah mendorong ibu saya untuk menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

 Pada tahun 1999, saya telah menghadiri sekolah Bible (kini dipanggil Sekolah Latihan Penginjil) di El Salvador. Sekolah itu melatih dan mempersiapkan saya untuk mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran serta mengajar dan menggembala sidang. Pada tahun yang sama, saya berkahwin dengan isteri kesayangan saya, Eugenia. Kami berkhidmat sepenuh masa bersama-sama di Guatemala.

 Sekarang saya sangat gembira. Saya tidak lagi tawar hati dan kecewa dengan hidup saya. Ajaran Bible telah membebaskan saya daripada perbuatan yang ganas dan yang tidak bermoral. Akhirnya, saya dapat menikmati kasih sejati dan kedamaian.

a Kini, bahan pembelajaran Bible yang sering digunakan Saksi-Saksi Yehuwa ialah Nikmati Hidup Selama-Lamanya!